Umie Aida panduan Faye

BERASAL dari Miri, Sarawak dan berkelulusan Diploma Pengurusan Korporat dari Kolej Stamford, Kuala Lumpur, kini Faye memilih lakonan sebagai kerjaya.


PERTEMUANNYA dengan pelakon tersohor, Datin Umie Aida di gelanggang badminton di Kelab Equestrian Bukit Kiara, Kuala Lumpur sekitar empat tahun yang lalu tidak berakhir dengan omongan kosong atau sapaan biasa antara seorang peminat dan aktres terkenal.

Siapa sangka, pertemuan kali pertama dengan pelakon filem Embun itu telah membuka pintu buat Dayangku Faratiwan Adnil Pangeran Kusairi atau lebih senang disapa Faye Kusairi, 28, melebarkan sayap sebagai pelakon.

Tanpa berselindung, wanita kelahiran Miri, Sarawak itu berkata, Umie merupakan antara individu yang banyak memberikan sokongan kepadanya ketika awal pembabitan dalam lakonan.

“Kami berkenalan sewaktu saya serta ibu dan bapa sedang bermain badminton di Kelab Equestrian Bukit Kiara.

“Selepas berbual dan mendapat tahu Umie baru berjinak-jinak dengan sukan tersebut, saya mencadangkan agar ibu saya melatih Umie kerana dia sememangnya aktif bermain badminton sejak zaman muda.

“Selepas pertemuan itu, saya dan Umie mula rapat,” katanya yang ditemui selepas sesi fotografi yang diatur di ibu pejabat Kumpulan Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Uji bakat

Lanjut Faye, langkahnya dalam bidang lakonan bermula selepas Umie memintanya untuk menghadiri uji bakat yang diadakan oleh pengarah Ahmad Idham bagi mencari barisan pelakon untuk filem Cinderella sekitar dua tahun lalu.

“Mulanya saya menolak kerana risau tidak mampu menjayakan uji bakat itu. Maklumlah, saya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam lakonan.

“Setelah menghadiri uji bakat tersebut, saya akhirnya diberikan peranan kecil iaitu watak perempuan simpanan kepada Salman, watak utama yang dilakonkan Fizo Omar,” ujar Faye yang mengakui masih malu jika diminta untuk menonton kembali lakonan pertamanya itu.

Pemegang Diploma Pengurusan Korporat dari Kolej Stamford, Kuala Lumpur itu mengakui, walaupun lakonannya agak kaku ketika mula-mula muncul di layar perak, namun hal itu tidak mematahkan semangat Umie melatihnya menjadi pelakon.

“Saya sungguh terharu kerana pelakon seperti Umie Aida sudi untuk memberikan tunjuk ajar setiap kali kami berjumpa,” katanya.

Teruja

Menyelak portfolio seninya, nama Faye Kusairi mula dikenali selepas drama lakonannya, Istikharah Cinta mendapat perhatian ramai.

Tutur Faye, dia masih tidak menyangka akan diberikan tanggungjawab membawakan watak utama dalam drama tersebut memandangkan usianya dalam dunia lakonan masih setahun jagung.

“Ketika ditawarkan untuk memegang watak Dina Aliya, saya berasa sangat terkejut. Rasa gembira, teruja serta tidak percaya bercampur baur,” ujarnya yang bergandingan dengan pelakon Zul Ariffin menerusi drama itu.

Faye yang terlebih dahulu dikenali sebagai pelakon pembantu dalam drama bersiri Misi Ku Kuza 2 membawa watak Amy berkata, impak yang diterima setelah menjayakan watak Dina Aliya jauh berbeza berbanding watak lain yang pernah dibawakan sebelum ini.

Kata Faye, dia juga sering dibandingkan dengan pelakon Ayda Jebat yang sebelum ini mencetuskan fenomena bersama Zul menerusi drama Rindu Awak 200%.

“Ketika sesi promosi awal, saya menerima banyak kritikan dan sindiran yang mengatakan saya kurang sesuai bergandingan dengan Zul.

“Bagaimanapun, saya tidak berkecil hati dan menganggap itu sebagai kritikan positif,” ujar Faye yang turut belajar mengenai selok-belok lakonan daripada Zul.

Privasi

Melanjutkan bicara mengenai kehidupan peribadinya selepas mula dikenali, Faye memberitahu, dia masih meletakkan batas terhadap setiap perkara yang ingin dikongsinya bersama peminat.

Kongsi Faye, walaupun dia berpendapat hubungan dua hala antara peminat dan selebriti itu perlu, namun masih ada perkara yang tidak perlu didedahkan untuk pengetahuan umum.

“Pada pandangan saya, seseorang pelakon itu perlu tahu apa yang ingin disuarakan oleh peminatnya bagi memperbaiki kualiti lakonan serta penampilan diri sebagai seorang selebriti.

“Komunikasi dengan peminat itu kadangkala perlu. Namun, sebagai seorang manusia normal, kita juga perlu tahu batas yang perlu diletakkan antara selebriti dan peminat,” katanya yang kurang gemar berkongsi mengenai perkara peribadi di media sosial walaupun sebelum dia bergelar pelakon.

Ketika disoal tentang privasinya sebagai seorang individu yang dikenali, Faye akur bahawa setiap selebriti akan menjadi milik peminat dan perlu bersifat terbuka dengan sebarang pendapat dan kritikan umum.

“Sebagai seorang yang menjadi tumpuan, kita tidak akan terlepas daripada dikritik dan dihakimi.

“Sebab itu, kelakuan dan tingkah laku perlu dijaga agar tidak memudaratkan karier mahupun diri sendiri pada masa akan datang,” katanya yang baru-baru ini dihangatkan dengan kisah cinta dengan pelakon Syazwan Zulkifly.

Bercakap mengenai gosip hubungan cintanya dengan pelakon filem Suamiku Encik Perfect 10 itu, Faye berkata, perhubungannya dengan Syzwan yang turut dikenali menerusi drama Juvana itu berlangsung atas landasan kawan biasa.

Seraya tertawa, Faye memberitahu, dia menganggap Syazwan sama seperti rakan-rakan artis yang lain.

“Saya dan Syazwan agak rapat ketika sama-sama menjalani penggambaran Istikharah Cinta kerana kami jenis yang sekepala. Jadi, apabila cerita seperti itu timbul, saya sudah dapat mengagak

“Bagi saya, soal cinta adalah soal peribadi. Saya tidak gemar menunjuk-nunjuk.

“Jika ditakdirkan cinta itu tidak kesampaian, saya yang terpaksa menanggung rasa sedih,” katanya yang tidak kisah jika digandingkan dengan Syazwan dalam mana-mana produksi pada masa akan datang.