Harga RON95, RON97, diesel naik 25 sen berkuat kuasa tengah malam ini

28/02/2015 9:49pm

KUALA LUMPUR - Harga runcit baharu RON95, RON97 dan diesel sepanjang Mac masing-masing RM1.95, RM2.25 dan RM 1.95 seliter, naik 25 sen berbanding harga runcit sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, sepanjang Februari harga runcit bagi RON95 adalah pada harga RM1.70 seliter selain RON97 pula adalah RM2 seliter, manakala, diesel pula ditetapkan pada harga RM1.70 seliter.

"Harga baharu bahan api itu hanya berkuat kuasa bagi bulan Mac sahaja, kerajaan akan sentiasa mengikuti perkembangan semasa pasaran minyak global bagi menentukan harga runcit petrol dan diesel untuk bulan-bulan berikutnya.

"Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 November lalu memutuskan bahawa penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal iaitu kaedah sama digunakan bagi menetapkan harga runcit RON97 sejak Julai 2010," katanya dalam kenyataan petang ini.

Justeru, semua syarikat minyak serta pengusaha minyak diingatkan agar mematuhi penetapan harga baharu ini.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan

berhubung harga baharu yang ditetapkan kerajaan," ujarnya. - KOSMO!