HKSS juara MCKK Premier Sevens


PEMAIN HKSS, Jackson Cook (tengah) cuba merampas bola daripada pemain Scots College, Malo Manuao (kiri) pada perlawanan akhir MCKK Premier Sevens di Kuala Kangsar, Perak semalam yang berkesudahan HKSS menang 31-12.


HONG Kong Sports School (HKSS) muncul juara Kejohanan Ragbi MCKK Premier Sevens 2015 selepas menewaskan juara bertahan, Scots College dari New Zealand 31-12 pada perlawanan aksi akhir di padang Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Kuala Kangsar, Perak semalam.

Pada perlawanan tersebut kedua-dua pasukan tampil dengan aksi bertenaga, namun HKSS lebih menyerlah apabila melakukan catatan mata ter­tinggi bagi membolehkan mereka menjulang Trofi N.J. Ryan yang disampaikan oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Scots College terlebih dahulu memecah kebuntuan apabila men­dahului 7-0 menerusi try dan conversion daripada Connor Garden-Bachop, namun HKSS mengikat kedudukan seminit kemudian menerusi Mark Coebergh yang berjaya meloloskan diri untuk melakukan try diikuti conversion yang disempurnakan oleh Paul Altier.

Bagaimanapun, Malo Manuo mengembalikan kelebihan buat Scots College menerusi try pada minit keenam bagi membolehkan mereka mendahului 12-7, namun ia tidak kekal lama apabila HKSS kembali menguasai permainan dengan menambah 24 lagi mata untuk menjadikan kedudukan 31-12.

Ia kejayaan paling manis buat HKSS yang sebelum ini gagal dalam tiga percubaan untuk bergelar juara.

Terdahulu pada aksi suku akhir, Scots College menyingkirkan SM Sains Pokok Sena dengan keputusan 24-7 sebelum membenam Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) 26-12 pada separuh akhir.

HKSS pula mengecewakan harapan MCKK All Blacks pada peringkat separuh akhir apabila tampil dalam kelas tersendiri untuk meraih kemenangan 22-0.

Terdahulu dalam aksi suku akhir, MCKK All Blacks yang menamatkan saingan kali ini di tempat ketiga, menewaskan Sekolah Alam Shah Putrajaya 19-10.

Cabaran jaguh tempatan, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam edisi kelima MCKK Premier Sevens juga berakhir pada peringkat suku akhir apabila dihampakan STAR 14-17.

Ini merupakan kali kedua SSTMI gagal untuk melepasi saingan pusingan kedua selepas cemerlang menjuarai dua edisi sebelumnya.

Pada 2014, SSTMI diaibkan dengan kekalahan 0-43 oleh Scots College pada peringkat separuh akhir.

Kejohanan tahunan ini dianjurkan bersama oleh MCKK dan All Blacks Revival (ABR) serta The Malay College Old Boys Association (MCOBA).