Hip hop Joe tidak canggung

JOE FLIZZOW menegaskan, kecintaannya menghasilkan genre hip hop akan terus kekal biar usianya meningkat.


JOE Flizzow bukan orang baharu dalam lapangan hiburan seni. Namanya terlebih dahulu harum dan melonjak naik sewaktu Too Phat menjadi fenomena pada penghujung tahun 90-an. Pada saat segelintir pihak begitu sukar menerima genre rap dan hip hop yang dibawanya bersama Malique, mereka terbang tinggi dan digilai banyak generasi muda dengan rangkaian hit seperti Anak Ayam, Ala Canggung dan Alhamdulillah.

Kejayaan demi kejayaan yang diraih Too Phat dan populariti yang mencanak tinggi bukan satu perkara asing buat Joe. Ironi, apabila perkara itu kembali berulang pada masa kini, terutamanya selepas lagu Apa Khabar dipilih sebagai Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM21) pada tahun lepas, genre muzik hip hop dan rap dilihat kembali mendominasi radar muzik tanah air sejak.

Joe hanya tersenyum saat persoalan tentang populariti, kejayaan dan hala tuju seninya dilontarkan. Dia yang sememangnya begitu petah berbicara senang melontarkan persespi secara tersusun.

Perkara pertama yang disentuh oleh lelaki dengan nama sebenar Johan Ishak itu adalah tentang perjalanan kariernya daripada usia muda belia sehingga kini melewati usia 30-an.

Dia menyifatkan roller coaster kehidupan yang telah dilaluinya sebagai begitu berliku, namun laluan tersebutlah yang telah merubah dirinya menjadi lebih matang.

Mengakui ketika zaman muda dahulu, reputasi dirinya pernah terpalit dengan beberapa kisah kontroversi akibat tersilap langkah dalam membuat percaturan hidup, kini dengan menggendong angka usia sebagai seorang lelaki dewasa, Joe lebih optimis dalam membuat sebarang keputusan.

“Apabila sudah berusia sekarang, saya sebenarnya semakin menghargai kehidupan. Ia (hidup) adalah satu rahmat dan sebagai seorang manusia yang dewasa, logik akal fikiran dan kematangan itu selalu hadir mengiringi keputusan yang perlu saya lakukan setiap hari.

“Saya akui, sewaktu muda remaja dahulu, saya pernah tersilap langkah namun itu semua adalah masa lampau. Saya sekarang adalah seorang Joe Flizzow yang semakin matang,” ujar Joe yang bagaimanapun enggan mengulas lanjut kekhilafan silamnya.

Bagaimanapun, dia mengakui, secara tidak langsung, kesilapan tersebut membuat dia menghargai kejayaan demi kejayaan yang dikecapi kerana ia merupakan kejayaan secara berkumpulan, bukan bersifat individu.

“Maksudnya, saya lebih suka berkongsi kegembiraan dalam kejayaan dengan semua orang yang selama ini banyak bertungkus-lumus dengan kerja kami semua.

“Sebab itu saya sangat berharap mana-mana artis baharu tidak akan mengulang perkara sama yang pernah saya lakukan kerana apa yang kita lakukan, kita harus berpijak di bumi yang nyata,” lontar Joe jujur.

Baek

Beralih bicara tentang perkembangan kariernya, dia yang bergerak secara solo selepas Too Phat bubar lebih lima tahun lalu, penyanyi yang turut terkenal dengan hit Havoc memberitahu, dia hanya mahu terus berkarya mengikut prinsip kariernya.

“Selepas lagu saya diiktiraf dalam beberapa anugerah berprestij sebelum ini, tidak semestinya saya mahu letakkan sasaran menghasilkan karya untuk mengejar anugerah semata-mata.

“Saya berkarya kerana saya seorang pengkarya. Saya buat lagu kerana saya suka. Saya menyanyi kerana ia diri saya. Bukan untuk kaut kemenangan dalam mana-mana anugerah. Kalau mahu berkarya, biarlah ikhlas,” tuturnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran klip video single terbaharunya, Baek.

Meletakkan perbezaan antara lagu Apa Khabar dengan single terbaharunya, Baek yang kini sedang hangat dimainkan di corong-corong radio, Joe mengakui, ada menerima pelbagai reaksi daripada peminatnya yang memberi perbandingan antara kedua-dua lagu tersebut.

“Saya letakkan tanda aras lagu Baek sebagai kesinambungan kepada rentetan muzik hip hop di negara ini. Selepas kejayaan yang tidak dijangka untuk lagu Apa Khabar, semua peminat di luar sana mengharapkan karya yang lebih kurang serupa.


PADA usia 36 tahun, Joe bukan sahaja mendominasi genre hip hop, tetapi kini bergelar usahawan berjaya.


“Sememangnya saya akan menghasilkan lagu-lagu yang berbeza. Mana mungkin saya akan mencipta lagu yang seakan-akan sama. Kalau semuanyan sama, di mana perbezaan dan keistimewaan karya saya?

“Bahasa yang saya gunakan dalam lagu ini sangat santai dan berkisar mengenai realiti kehidupan yang kita lalui setiap hari. Saya akui ramai yang akan labelkan Baek sebagai lagu bahasa pasar atau sehari-harian tetapi kalau tiada beza, ia bukan seni namanya. Suka atau tidak, inilah muzik hip hop,” ujar Joe tersenyum penuh makna.

Kongsi Joe, penggambaran klip video bagi lagu tersebut sengaja dilakukan di kota New York, Amerika Syarikat kerana mahu memberi kelainan selain mengimbas kenangan kegemilangan zaman muzik hip hop dan rap yang bermula di negara itu.

“Sengaja saya ke sana (New York) untuk lakukan penggambaran lagu ini. Ia dilakukan sekali dengan penggambaran lagu Apa Khabar sekitar bulan April tahun lepas.

“Lokasinya adalah sebuah tempat di Brooklyn, satu tempat yang menjadi angan-angan saya untuk melakukan penggambaran klip video. Selain mahu menampilkan kelainan, sebenarnya memang hajat saya untuk ke sana, sebab utamanya adalah kerana legasi muzik hip hop itu sendiri lahir di New York.

“Tambahan pula, pengarah muzik bagi klip video Apa Khabar dan Baek juga merupakan seorang graduasi dari situ, jadi tiada masalah untuk saya menjalankan kerja di sana memandangkan ada individu yang lebih mahir tentang tempat tersebut,” tutur Joe juga merupakan pemilik syarikat rakaman Kartel Records.

Gemilang hip hop

Survivalnya dalam industri muzik tanah air masih utuh. Sehingga ke hari ini, pemuja ikon hip hop antarabangsa Snoop Dogg, Dr. Dre, Warren G dan Tupac itu masih utuh berdiri meskipun hadir solo memperjuangkan muzik yang menjadi darah dagingnya.

“Muzik hip hop dan rap selamanya akan menjadi taruhan saya dalam industri. Itu yang menjadi nadi saya apabila pertama kali muncul dengan kumpulan Too Phat dahulu.

“Selepas lagu Apa Khabar diiktiraf dengan beberapa anugerah baru-baru ini, ia membuktikan lagu bergenre hip hop juga mampu diangkat sebagai karya terbaik. Ini sekali gus mampu menepis persepsi ramai yang memandang karya kami sebagai merapu.

“Dari dahulu sehingga kini, saya masih percaya Malaysia punya kualiti tersendiri dalam melahirkan penyanyi hip hop yang bagus dan menjadi platform terbaik untuk kami meluaskan genre muzik itu secara positif.

“Kalau dahulu, saya berkarya bukan untuk meraih apa-apa penghargaan berbentuk anugerah tetapi sekarang saya hanya mahukan genre muzik hip hop yang saya bawa kekal konsisten dalam dunia hiburan.

“Apa yang saya capai pada hari ini sedikit sebanyak membuktikan genre hip hop benar-benar relevan dan juga boleh diiktiraf sama seperti genre lain antaranya balada dan pop,” ujar Joe yang memasang impian untuk berduet bersama Sam Innuendo.