Sukaneka erat ikatan kekeluargaan


Baling selipar ke arah tin merupakan acara sukaneka paling meriah dengan penglibatan seluruh ahli keluarga.


TIADA yang lebih menggembirakan Amir Taib, 79, apabila dapat berkumpul bersama seluruh ahli keluarganya.

Bagi warga emas yang berasal dari Padang Serai, Manjung, Perak itu, peluang berkumpul dengan 10 orang anak dan cucu merupakan saat penting ketika meniti usia senjanya.

Di kampung, Amir sentiasa menantikan kepulangan anak-anaknya yang mencari rezeki di negeri lain. Jika bernasib baik, kesemua anak-anak pulang dan dapat disatukan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menyedari kepentingan meluangkan masa bersama bapa tercinta, anak-anak Amir melakukan inisiatif tersendiri untuk mengumpulkan seluruh ahli keluarga dengan menganjurkan hari keluarga.

Penganjuran acara itu merupakan salah satu langkah terbaik bagi menyatukan seluruh ahli keluarga Amir seramai 38 orang yang terdiri daripada 10 anak, menantu (6) dan cucu (22). Keluarga tersebut telah menganjurkan hari keluarga selama empat tahun berturut-turut.

“Alhamdulillah, hari keluarga pada tahun ini merupakan antara acara yang paling meriah. Pada tahun sebelum ini, tidak semua anak-anak dapat menyertainya.

“Namun, pada tahun ini, 10 orang anak saya dapat berkumpul. Jika dipanjangkan umur, diharap anak-anak dapat menganjurkan acara seperti ini pada tahun-tahun akan datang,” ujar Amir ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


Dua orang wakil setiap pasukan beraksi dalam acara renang sambil membawa batang pisang.


Program Hari Ikatan Ukhwah Keluarga Haji Amir itu berlangsung selama tiga hari dua malam di Sekin Fisherman Village Hotel & Resort, Sekinchan, Selangor.

Tahun lalu, hari keluarga Amir dianjurkan di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pada edisi kali ini, anak-anak Amir yang menetap di Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Pahang berjaya dikumpulkan dalam acara yang berlangsung meriah itu.

Acara sukaneka membuka tirai hari keluarga dengan permainan kampung seperti baling selipar, boling kelapa, menggagau ikan, mengutip tin di sawah dan berenang sambil membawa batang pisang di dalam parit.

Kutipan mata

Selain itu, sukaneka yang diuruskan oleh pihak Sekin Fisherman Village Hotel & Resort itu turut mengadakan permainan sesuai untuk kanak-kanak iaitu mengisi air ke dalam botol dan memancing botol.

Setiap keluarga akan dipecahkan kepada enam kumpulan dan bersaing antara satu sama lain dalam setiap acara. Kumpulan yang berjaya mengutip mata tertinggi dinobatkan sebagai juara Hari Ikatan Ukhwah Keluarga Haji Amir.

Selaku penganjur utama hari keluarga, Faiez Amir, 26, yang merupakan anak bongsu memberitahu, aktiviti sukaneka merupakan acara yang berupaya merapatkan kembali ikatan kekeluargaan anak-anak dan cucu walaupun jarang berjumpa.

Jelasnya, kelainan yang diketengahkan pada edisi tahun ini ialah acara makan malam dengan tema tersendiri.

“Kami menetapkan agar setiap keluarga perlu memakai pakaian mengikut tema Arab semasa makan malam yang juga merupakan acara penutup acara. Keluarga Fadzli Amir dinobatkan sebagai pemenang pakaian pilihan yang diadili oleh juri daripada pihak luar.

“Selain itu, kami juga menyediakan hadiah berupa hamper yang lumayan kepada pemenang acara sukaneka. Setiap keluarga juga diwajibkan membuat persembahan sebagai hiburan selingan semasa acara makan malam,” ujar Faiez.


Ahli keluarga Amir mengambil gambar kenangan selepas acara sukaneka.


Selain Faiez, Fazlinda Amir, Faizal Amir, Fazni Amir, Firdaus Amir dan Fatimah Amir merupakan antara tulang belakang penganjuran Hari Ikatan Ukhwah Keluarga Haji Amir pada tahun ini.

Selain itu, seluruh ahli keluarga diberi peluang menaiki trem selama dua jam yang disediakan oleh Sekin Fisherman Village Hotel & Resort untuk bersiar-siar di sekitar kawasan kampung dan sawah di Sekinchan.

Dalam acara riadah waktu petang itu, seluruh ahli keluarga di bawa melawat industri kecil dan sederhana di Sekinchan dan Pantai Redang yang menjadi lokasi tumpuan pelancong.

Kalendar tahunan

Sementara itu, anak kedua dalam keluarga itu, Fadzliah Amir, 43, memberitahu, acara tersebut merupakan salah satu aktiviti penting yang akan disenaraikan dalam kalendar tahunan mereka.

“Sebelum ini, anak dan cucu dapat bersua muka semasa Hari Raya Aidilfitri. Sejak acara itu dianjurkan tiga tahun lalu, saya akui ia memberikan impak positif terhadap hubungan kekeluargaan.

“Kepenatan perjalanan kami ke Sekinchan bagaikan hilang serta-merta apabila melihat abah sentiasa tersenyum gembira sepanjang hari sewaktu bersama ahli keluarga,” ujarnya yang kini menetap di Perak Road, Pulau Pinang.

Perkembangan dan aktiviti terkini keluarga Amir boleh dilihat menerusi pautan blog, anakhajiamir.blogspot.com.