Cinta dan pantang larang Adeline


Adeline sempat meluangkan masa bersama keluarganya selama lima hari di Kota Belud, Sabah baru-baru ini.


TUAH kedatangan Tahun Kambing sempena perayaan Tahun Baru Cina kali ini menyuburkan semula semangat pelakon dan pengacara jelita, Adeline Tsen.

Masih dalam rasa kemakmuran dan kemeriahan yang sama, biarpun perayaan tersebut sudah tiba ke hari terakhir, Adeline, 28, tidak melepaskan peluang untuk meraikannya.

Cap Goh Mei atau hari ke-15 Tahun Baru Cina bagi Adeline tetap bermakna walaupun ada segelintir masyarakat berketurunan Tionghua menganggap hari tersebut cuma penutup kemeriahan perayaan saban tahun.

Jelas Adeline, Cap Goh Mei yang sinonim dengan Festival Tanglung itu antara lainnya dipercayai sebagai hari sesuai untuk mencari jodoh yang paling sepadan.

“Cap Goh Mei merupakan hari terakhir perayaan Tahun Baru Cina dan pada kelazimannya, setiap ahli keluarga akan berkumpul bersama-sama dan akan makan besar. Akhir sekali, kami akan meraikan penutup sambutan tahun baharu dengan membakar mercun dan bunga api yang dipercayai akan menghalau roh-roh jahat.

“Membakar mercun juga sebagai tanda menerima rezeki yang akan diperoleh sepanjang tahun ini. Lebih banyak mercun dibakar, lebih melimpah rezeki yang masuk.

“Selain itu, ada yang menganggap Cap Goh Mei juga waktu paling ideal untuk berdoa agar dipertemukan dengan jodoh yang secocok dan saya percaya pada kepercayaan serta amalan tersebut.

“Memandangkan kami sekeluarga beragama Kristian, tiada amalan berdoa di kuil untuk memohon jodoh, namun amalan perayaan Tahun Baru Cina masih dilaksanakan setiap tahun dan itulah keistimewaan adat dalam keluarga kami,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Tanglung kupu-kupu

Mengimbau kembali memori Cap Goh Mei ketika usia remaja dan kanak-kanak, kata pelakon drama Hotel Mania itu, kemeriahan sambutan Cap Goh Mei paling dirasai apabila dia sering memenangi pertandingan menghasilkan tanglung di kawasan kejiranan dan sekolahnya di Kota Belud, Sabah.

“Selalunya apabila memasuki pertandingan, saya bersikap terlebih kompetitif dan akan memastikan diri menjadi juara.

“Jadi, setiap kali tibanya Festival Tanglung sempena Cap Goh Mei, itulah yang akan saya lakukan iaitu bersaing antara kawan-kawan menghasilkan tanglung paling cantik dan besar.

“Kalau bukan nombor satu, nombor dua pun sudah dikira juara bagi saya. Memandangkan Kota Belud itu kecil, masing-masing akan cuba menunjukkan kehebatan tersendiri dengan tanglung yang mereka hasilkan.

“Masih saya ingat, antara tanglung yang paling saya sayang dan susah untuk dihasilkan ialah tanglung kupu-kupu ketika di sekolah menengah.Paling lucu apabila saya turut mengupah kawan-kawan untuk menghasilkannya,” cerita Adeline.

Ujar Adeline, sambutan Tahun Baru Cina kali ini berbeza selepas dua tahun tidak meraikannya bersama keluarga tercinta. Dia akhirnya pulang menghadiahkan kejutan paling bermakna buat keluarganya di Kota Belud, Sabah.

Biarpun hanya sempat meluangkan masa selama lima hari di sana, Adeline masih merasakan kehangatan pelukan dan restu keluarganya sebelum kembali mencari rezeki di kota raya Kuala Lumpur.

“Masa beredar terlalu pantas dan peluang untuk bersama keluarga di kampung halaman seperti tidak terasa. Ibu saya mempunyai 15 orang adik-beradik dan cuba bayangkan apabila kami berkumpul bersama-sama serentak, pastinya kami sekeluarga sudah memadai untuk memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina dan acara makan besar. Tahun ini, kemeriahan Tahun Baru Cina, ditambah dengan kehadiran peminat saya di kampung halaman.

“Sebenarnya, keluarga saya terkejut apabila kepulangan saya ke kampung tidak dimaklumkan terlebih dahulu dan saya sememangnya sudah memperuntukkan waktu untuk bersama-sama keluarga sahaja pada tahun ini. Cuma, bonuslah apabila ada dalam kalangan tetamu yang berkunjung ke rumah terdiri daripada peminat,” ujar Adeline yang sudah kembali ke Kuala Lumpur untuk menyambung penggambaran sebuah rancangan travelog.

Rumah kebajikan

Pada tahun lalu, Adeline meraikan sambutan Tahun Baru Cina di rumah kebajikan orang tua-tua miliknya iaitu Suria Nursing Centre di Petaling Jaya, Selangor.

Tidak pernah merasa ralat apabila perayaan istimewa diraikan bukan bersama keluarga, sebaliknya pengalaman baharu itu disifatkan Adeline sebagai sebuah perkongsian kasih sayang sesama manusia.

“Saya mengadakan rumah terbuka di rumah jagaan orang tua pada hari pertama Tahun Baru Cina tahun lepas dan tidak mahu mereka rasa tersisih, sebaliknya terus dihargai serta disayangi.

“Apa salahnya jika saya berkongsi kemeriahan Tahun Baru Cina itu bersama-sama mereka memandangkan itu sahaja yang mampu saya lakukan,” katanya.

Berkongsi makna kedatangan Tahun Kambing, Adeline yang dilahirkan dalam zodiak harimau mengakui masih berpegang kepada pantang larang dalam keluarga, termasuklah tatacara warna dalam berpakaian dan harta benda.

“Tahun Kambing bagi saya membawa erti kerja keras tanpa kenal putus asa. Jadi, sempena Tahun Kambing ini, saya mahu lebih fokus dalam kerjaya saya dan tahun 2015 merupakan permulaan yang baik untuk bekerja lebih keras demi mencapai matlamat.

“Ada beberapa pantang larang masyarakat Cina masih saya pegang hingga sekarang. Misalnya, pemilihan warna untuk berpakaian. Memandangkan tiga orang dalam anggota keluarga saya dilahirkan dalam zodiak yang sama iaitu harimau, jadi saya memang banyak berpegang kepada nasihat bapa setiap tahun.

“Contohnya hari pertama Tahun Baru Cina, kami dinasihatkan memakai pakaian yang berwarna merah sahaja kerana dipercayai membawa lebih keuntungan.

“Bagi individu berzodiak harimau, kami biasanya memakai pakaian berwarna putih, kelabu dan biru. Begitu juga warna kenderaan dan rumah untuk mengelakkan nasib malang menimpa,” ceritanya yang mengelakkan pakaian berwarna jingga.

Pantang larang

Selain itu, Adeline menjelaskan, pantang larang yang masih diikutinya sejak kecil hingga dewasa termasuklah tidak mengamalkan mandi pada lewat malam hingga tiba dinihari, tidak memotong kuku pada waktu malam dan sentiasa membuka pintu rumah seawal pukul 6 pagi untuk memudahkan rezeki masuk.

Sudah pasti memori terindah seseorang individu beraya ialah ketika zaman kanak-kanak.

Bagi Adeline, usia kanak-kanak menyimpan detik paling indah setiap kali tibanya sambutan Tahun Baru Cina.

“Zaman itu (kanak-kanak) waktu terbaik untuk mengumpul angpau dan saya paling gemar beraya di rumah nenek memandangkan masakan yang akan dihidangkan beliau sangat sedap dan beraneka.

“Pada sebelah malamnya pula, kami beramai-ramai membakar mercun dan bermain bunga api. Apabila keluarga yang sudah sedia ramai, kami tidak perlu memanggil kawan-kawan lain untuk memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina kerana antara keluarga pun sudah cukup meriah,” tambahnya yang bakal muncul menerusi filem Pilot Café dan Gamatisme pada bulan April dan Mei nanti.

Selain sibuk dengan penggambaran rancangan travelog yang akan disiarkan tidak lama lagi, Adeline akan merakamkan sebuah single duet dengan seorang penyanyi tempatan.

Single yang dihasilkan oleh komposer dari Indonesia itu akan dirakamkan

di negara tersebut.