Ferris sah milik Felda United


FERRIS akan menyarung jersi Felda United pada kempen Liga Super musim ini.


FELDA United bakal menerima perkhabaran gembira menjelang aksi menentang Lions XII di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Sabtu ini ekoran ‘kejayaan’ mereka mendapatkan khidmat penyerang muda, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir.

Pemain tersebut sebelum ini telah menjadi perebutan antara Kelantan dengan Felda United, namun penyelesaiannya, Ferris sah bakal menjadi milik skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.

Menurut Irfan, beliau lega kemelut yang melanda Ferris sudah selesai selepas Felda United dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mencapai kata sepakat untuk membenarkan pemain berusia 22 tahun itu menyarung jersi The Fighters pada musim ini.

Malah, Irfan juga tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan Ferris pada aksi menentang Lions XII nanti.

“Isu Ferris sudah selesai dan dia kini sudah sah menjadi pemain Felda United.

“Ferris merupakan seorang pemain yang berpengalaman. Dia memiliki larian pantas serta mempunyai kemahiran individu yang tinggi.

“Kemungkinan besar saya akan menurunkan Ferris pada aksi menentang Lions XII nanti. Cuma, saya masih belum pasti sama ada dia akan berada dalam skuad utama atau di bangku simpanan sahaja,” kata Irfan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebelum ini, status Ferris menjadi persoalan apabila KAFA bertegas untuk tidak melepaskan pemain terbabit kepada pasukan lain sebaik kontraknya bersama skuad Harimau Muda A berakhir.

KAFA bertindak menyerah kes Ferris kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas mereka gagal mencapai kata sepakat dengan Felda.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau terpaksa berbuat demikian selepas KAFA dan Felda menemui jalan buntu berhubung status pemain Harimau Muda A itu meskipun beberapa perbincangan sudah dibuat sebelum ini.

Katanya, meskipun FAM mengesahkan pemain terbabit milik Kelantan dan pernah mengarahkan Ferris melapor diri dengan The Red Warriors, pemain berusia 22 tahun itu hingga kini masih gagal berbuat demikian.

Dalam perkembangan lain, Irfan tidak mahu fokus para pemainnya terjejas selepas tewas kepada Selangor pada aksi pusingan kedua Piala FA, Sabtu lalu yang menyaksikan The Fighters tersingkir selepas tewas 24 menerusi penentuan sepakan penalti.

“Saya mahu kembalikan moral pemain saya. Sejujurnya, kami tidak kalah dengan Selangor.

“Saya berharap pemainpemain memberikan tumpuan sepenuhnya dalam aksi Liga Super dan kali ini, kami mahu menang,” tegas Irfan.