Muzium Kapal Selam di Melaka terima 383,679 pengunjung

08/03/2015 4:07pm

MELAKA - Muzium Kapal Selam di bawah kendalian Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) menerima 383,679 pengunjung sejak beroperasi pada 4 Mac 2012 hingga bulan lepas.

Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas berkata, daripada jumlah pengunjung itu, pihaknya memperoleh pendapatan sebanyak RM417,940 hasil jualan tiket bagi melawat muzium tersebut.

"Dengan pelancong yang bertambah ke negeri ini, kita yakin muzium ini mampu menarik pelawat walaupun terletak agak jauh daripada kebanyakan muzium lain di bawah kendalian Perzim," katanya kepada pemberita selepas sambutan ulangtahun ketiga Muzium Kapal Selam di Dataran 1Malaysia, Klebang di sini hari ini.

Beliau berkata, muzium kapal selam itu akan dinaik taraf dengan pembinaan kemudahan asas seperti surau dan kiosk bagi keselesaan pengunjung dan peniaga melalui peruntukan RM2 juta yang akan disalurkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, dengan proses menaik taraf muzium tersebut, pihaknya yakin dapat menarik 100,000 pengunjung tahun ini. - Bernama