Ammar Alfian muhasabah diri


AMMAR mahu melupakan episod lama dalam hidupnya untuk membina nama sebagai pelakon berkaliber.


SEKITAR lima tahun lalu, wajah aktor Ammar Alfian sering muncul di kaca televisyen menghiasi telefilem dan drama rantaian popular. Watak Neo yang dipegangnya dalam drama Tari Tirana arahan Shahrulezad Mohameddin merupakan antara buah tangan awal berjaya melonjakkan nama anak kelahiran negeri Johor itu sebagai pelakon.

Bagaimanapun, pencapaian pelakon kacak berusia 27 tahun itu dalam bidang seni lakonan tidak kekal lama. Ammar pernah menggemparkan dunia hiburan apabila menjadi model seluar dalam dan kisah pergaduhannya dengan beberapa pengamal media sebelum ini.

Lebih malang, Ammar sekali lagi mengejutkan khalayak apabila bergaduh dengan pengarah Syamsul Yusof yang dikatakan menjadi perampas teman wanitanya, pelakon Puteri Sarah Liyana sekitar awal tahun lepas.

Masa berlalu, Ammar yang kini berharap diberikan peluang kedua untuk kembali mencipta nama selepas sekian lama menyepi mengakui banyak kekhilafan yang dilakukannya ketika dia masih mentah dalam bidang lakonan.

Ketika berpeluang bertemu dengannya pada sesi fotografi yang diatur di Ibu Pejabat Utusan Malaysia, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, Ammar memberitahu, dia bersyukur kerana khalayak mula menerimanya kembali untuk terus mewarnai industri seni lakonan tanah air.

“Secara peribadi, sangat bersyukur dan berterima kasih kerana masyarakat dapat menerima saya kembali dalam industri seni. Biarpun pernah melakukan bermacam-macam perkara yang memberikan impak negatif, tetapi sehingga hari ini masih bernafas dengan sokongan peminat yang mahu melihat saya kembali berlakon dan berjaya dalam hidup.

“Lebih mengejutkan, peminat siap buat akaun fanpage di Instagram sebagai tanda sokongan. Terus terang, sukar untuk saya gambarkan perasaan dengan kata-kata tetapi momen ini sungguh istimewa sepanjang berada dalam lapangan seni tanah air,” ujar Ammar yang tidak berhenti bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberikan peluang kedua setelah sekian lama menyepi dalam industri seni lakonan.

Menganggap apa yang berlaku sebelum ini sebagai salah satu cabaran dalam dunia seni, Ammar menjadikan ia sebagai satu pengalaman mengajar dirinya untuk menjadi seorang insan yang lebih baik pada masa depan.

“Kebanyakan kesilapan berpunca daripada sikap saya yang tidak berfikir panjang dalam membuat keputusan. Saya membuat kenyataan tanpa memikirkan perasaan orang lain.

“Bagaimanapun, selepas memikirkan impak buruk, saya cuba dekatkan diri dengan Islam semula. Ini kerana, takkan selamanya saya mahu terperuk dengan kehidupan yang akan memusnahkan kehidupan. Lagipun, saya percaya Tuhan pasti mahu melihat saya berusaha untuk menjadi lelaki yang lebih baik.

“Sejak itu, saya cuba berubah secara perlahan-lahan menjadi seorang insan yang berguna. Alhamdulillah pengalaman lalu banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar. Apabila semakin meningkat usia saya jadi semakin matang dan sedar untuk tidak melakukan perkara-perkara yang bakal mengundang masalah kepada diri dan orang lain,” kongsi Ammar menutup bicara.