Pemilik beca, bot penambang di Terengganu terima insentif RM200 sebulan

18/03/2015 5:03pm

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu memberikan insentif RM200 sebulan sepanjang tahun 2015 kepada pemilik beca dan bot tambang di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pemberian itu bertujuan untuk meringankan beban kewangan mereka, khususnya pemilik beca kerana kenderaan itu tidak lagi menjadi medium pengangkutan pilihan ekoran kebanyakan masyarakat kini memiliki motosikal dan kereta.

Beliau berkata kini terdapat 56 pemilik beca yang masih aktif menawarkan perkhidmatan di bandar Kuala Terengganu, terutamanya di sekitar Dataran Shahbandar, Pasar Payang dan Kampung Cina.

"Kebanyakan pemilik beca ini terdiri daripada mereka yang telah mencapai usia warga emas, namun masih perlu bekerja membawa penumpang atau barang sebagai punca rezeki," katanya semasa menyampaikan bantuan itu kepada 30 pemilik beca di sini, hari ini.

Menteri Besar berkata kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan kesukaran yang dialami golongan berkenaan dan menyalurkan bantuan seperti sumbangan motor dan bateri untuk mengurangkan beban kayuhan pada tahun 2006. - Bernama