Rock Bro francais terakhir filem Rock


Rock Bro akan memulakan penggambarannya dalam waktu terdekat dan dijangka memasuki pawagam pada tahun 2016.


Filem Rock boleh dianggap sebagai naskhah paling sukses hasil sentuhan pengarah yang terkenal dengan keunikannya, Mamat Khalid. Memasuki sekuel ketiga berjudul Rock Bro, Mamat memberitahu, naskhah itu merupakan francais terakhir bagi filem fenomena tersebut.

“Sejak pertama kali francais ini ditayangkan pada tahun 2005 melalui judul yang dikenali sebagai Rock, ia lebih menceritakan mengenai permulaan kisah sebuah kumpulan muzik dalam mengejar cita-cita menjadi sebuah kumpulan rock ternama di Malaysia.

“Selepas itu, sekuel kedua iaitu Rock Ooo pula menceritakan mengenai zaman transisi dan kejayaan sebagai kumpulan rock dalam meneruskan survival perjuangan rock mereka sewaktu itu.

“Bagaimanapun, menerusi francais terakhir filem tersebut yang dikenali sebagai Rock Bro, filem ini menyaksikan zaman kejatuhan irama rock dalam menghadapi pelbagai kesukaran dengan kemasukan genre baharu lain dalam industri muzik Malaysia. Jadi secara keseluruhan, filem Rock Bro akan menjadi filem penutup bagi francais filem Rock ini,” kata Mamat ketika ditemui pada sesi pelancaran penggambaran filem Rock Bro di pejabat Grand Brilliance, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menyambung bicara, Mamat memberitahu, filem Rock Bro akan mengalami beberapa pengguguran watak. Pada masa sama, terdapat perkembangan watak baharu di dalam filem tersebut yang akan menjalani penggambaran di sekitar negeri Perak itu.

“Terdapat beberapa perubahan besar melalui filem ini. Selain daripada jalan cerita, Rock Bro bakal menampilkan beberapa watak baharu seperti Kaka Azraf yang memegang sebagai Ella dan Jihan Muse sebagai Jojie.

“Kami juga menggugurkan beberapa watak utama yang sebelum ini mengalas peranan besar di dalam sekuel filem Rock sebelum ini iaitu Amy Mat Piah (Que Haidar) tanpa menjejaskan jalan penceritaan secara keseluruhan.

“Pada masa yang sama juga, saya berharap naskhah ini mampu mengubat rindu para peminat filem ini yang tentunya sebelum ini ternanti-nanti francais terbaharu filem Rock,” ujarnya.

Cabaran Pekin


Pengarah Mamat Khalid (tengah) bersama pelakon Rock Bro, Pekin Ibrahim dan Jihan Muse.


Sementara itu, Pekin yang memegang watak Slash memberitahu, perkembangan watak yang dipegangnya melalui filem terbaharu itu lebih mencabar berbanding galuran watak Slash yang dipegangnya melalui sekuel filem sebelum ini iaitu Rock Ooo.

Ujarnya, berbanding watak Slash sebelum ini, watak dan dialog yang dibawa pada kali ini lebih ringkas dan bersahaja.

“Bagaimanapun, kali ini Slash lebih banyak memainkan peranan dalam babak filem tersebut. Jadi, ia menjadi cabaran untuk saya dalam meneruskan momentum bersama watak Jijoe (Khir Rahman) sebelum ini,” katanya.

Meneruskan perbualan, Pekin melahirkan rasa teruja apabila dapat mengambil tempatnya semula memainkan watak Slash yang tentunya dikenali sebagai seorang gitaris terkenal dunia.

“Saya sangat meminati Slash, dia merupakan seorang gitaris yang sangat terkenal dan berkarisma. Sejak awal kemunculan Slash melalui sekuel filem Rock Ooo, saya sendiri yang membina watak tersebut.

“Semua aksesori dan kelengkapan Slash disediakan oleh saya sendiri. Saya mahu peminat mengingati Slash sekali gus menjadikan watak ini sebagai ikon yang diingati apabila bercerita mengenai francais filem ini,” ujarnya.

Filem Rock Bro secara ringkasnya mengisahkan tentang zaman kejatuhan era rock negara. Kemasukan aliran muzik baharu seperti rap dan hip hop pada awal 90-an sedikit sebanyak memberi impak kepada irama rock.

Disebabkan situasi tersebut, kumpulan rock Rimba Bara yang sudah lama tidak membuat persembahan terpaksa menyara hidup dengan membuat kerja-kerja sambilan di samping melakukan persembahan di tapak ekspo tani dan mendapat bayaran dalam bentuk sayur-sayuran.

Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan, Rimba Bara gigih meneruskan perjuangan dalam industri muzik yang penuh dengan permainan politik.

Pada masa yang sama, Rimba Bara semakin menuju kehancuran apabila watak Jijoe telah jatuh cinta pandang pertama dengan ratu rock Ella (Kaka Azraf) semasa terserempak di studio rakaman King’s Studio.

Disebabkan perasaan cinta yang terlalu mendalam terhadap Ella, Jijoe telah mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan Rimba Bara dan menjadi seorang kontraktor kelas F.

Berikutan daripada hal tersebut, Rimba Bara mulai goyah dan terjadi pelbagai konflik di antara setiap ahli anggota kumpulan di zaman kejatuhan muzik rock di Malaysia sewaktu itu.