Tunjuk perasaan ekstrem manipulasi media Barat

Masalah jenayah di India tidak seburuk yang digambarkan media Barat.


SUASANA pada petang itu riuh dengan hilai tawa kanak-kanak yang bermain di persekitaran perkampungan kecil di Julu, Mumbai, India. Bunyi kocakan air ditakung pada kolah buatan tanah memecah hening apabila mereka turut berendam di dalamnya yang juga dijadikan tempat basuhan pakaian kotor.

Bagaimanapun, kegembiraan itu diragut. Saat bermain bola bersama abangnya, Jamal dikejutkan dengan puluhan lelaki bersenjatakan parang dan rod besi menyerang mukim mereka. Paling memilukan anak kecil berusia lima tahun itu menyaksikan sendiri kematian ibunya akibat dipukul perusuh ekoran konflik agama.

Dua beradik itu terpaksa lari menyelamatkan diri di celah-celah pergelutan tersebut yang sesekali terpercik darah pada bahagian muka. Mereka mendaki jauh ke puncak bukit sambil mata mengerling ke perkampungan yang turut musnah ditelan api.

Begitulah permainan plot digambarkan dalam filem British bertajuk Slumdog Millionaire arahan Danny Boyler yang mengisahkan tentang kesempitan hidup dua beradik. Bukan sahaja dicengkam masalah kemiskinan malah turut terjebak dalam konflik agama dan seksual seperti pelacuran.

Susunan cerita itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada Qidran Asyraf Ayob, 26, malah ia acap kali bermain dalam fikirannya. Persoalan timbul, adakah benar momokan tentang pergolakan sosial dan budaya serta krisis kemiskinan yang turut menyumbang pada isu seksual di negara itu benar-benar wujud?

Kerungsingan Qidran bersama 12 lagi rakannya yang merupakan kelompok pelajar baharu di Universiti Krishna, Karad, India, bertambah apabila melihat persekitaran lapangan terbang tersebut dipenuhi haiwan yang berkeliaran seperti babi, unta, lembu dan anjing.

“Pada waktu itu, apa yang saya fikirkan tentang India adalah seperti digambarkan dalam filem tersebut.

“Suasana itu seolah-olah menggambarkan realiti sebenar kehidupan tidak sistematik dan mundur di India, malah keracunan makanan sudah menjadi satu kebiasaan di sana berikutan kebersihan yang tidak dijaga,” ujarnya yang mengimbau kenangan ketika pertama kali menjejakkan kaki di India.

Enam tahun lalu, pelajar tahun akhir jurusan Perubatan & Surgeri (MBBS) itu berkata, perasaan risau turut ditambah dengan statusnya sebagai pelajar asing yang langsung tidak dijamin keselamatannya.

Malah, isu penunjuk perasaan melibatkan sistem pentadbiran dan rakyat juga ‘menghurung’ mindanya selain aktiviti rusuhan melibatkan kecederaan yang sehingga adakalanya meragut nyawa.

Cemas


QIDRAN (tiga dari kiri) bergambar kenang-kenangan bersama lima rakan di hadapan Institut Sains Perubatan Krishna, Karad, India.


Qidran pernah berdepan insiden cemas ketika berlaku rusuhan yang menyentuh konflik agama di sana.

“Pada waktu itu, saya sedang menunggu bas untuk ke lapangan terbang, tiba-tiba ratusan penunjuk perasaan berkumpul dan menuju ke bangunan pihak berkuasa bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya terperangkap di dalam lautan manusia dan berasa amat takut, namun salah seorang daripada mereka memberi ruang untuk keluar selepas mengetahui saya adalah pelancong,” ujarnya yang berasa lega selepas insiden tersebut.

Walaupun kita digembar-gemburkan dengan penunjuk perasaan yang ekstrem, India sebenarnya tidak seperti digambarkan malah manipulasi media Barat telah potret situasi sebaliknya.

Jelasnya, terpampang di dada akhbar tentang kemelut perselisihan agama yang menyebabkan perasaan tidak puas hati sehingga berlaku pergaduhan tanpa mengira individu selain kematian berpunca daripada keganasan tersebut.

Agensi melaporkan sebanyak 12 orang terbunuh dan lebih 40 orang lagi cedera dalam rusuhan antara masyarakat Hindu dan Islam di Utara India pada September dua tahun lalu.

Seorang wartawan bebas dan jurugambar polis antara terbunuh dalam rusuhan yang berlaku di daerah Muzaffarnagar di Uttar Pradesh. Malah, menurut Majistret daerah itu, Kaushal Raj Sharma, perintah berkurung telah dilaksanakan dan tentera dikerah mengawal keadaan.

“Sebanyak 12 orang terbunuh dalam pertempuran itu dan beberapa kawasan di luar bandar masih tegang. Tentera sedang mengawal keadaan,” katanya.

Sementara itu, saluran NDTV News memetik jurucakap polis Arun Kumar berkata, sebanyak 30 orang telah ditahan sehari selepas kejadian.

Uniknya, selepas kejadian itu, dia semakin mencintai bumi yang kaya dengan khazanah alam tersebut selain penuh dengan warna-warni budaya dan mengamalkan gaya hidup yang sederhana.

“Mana kebenaran laporan media Barat yang menunjukkan kononnya ramai terbunuh ketika rusuhan berlaku sehingga melibatkan keselamatan pelancong? Buktinya, saya tidak diapa-apakan dan selamat selepas insiden mendebarkan itu,” ujar Qidran yang berniat untuk membetulkan tanggapan.

Jenayah


BANJARAN Himalaya menjadi tumpuan pelancongan selain menjadi latar adegan percintaan dalam filem-filem Bollywood.


Hakikatnya apabila membincangkan tentang India, isu sinonim yang sering dikaitkan adalah wanita dan jenayah rogol.

Di satu kawasan terpencil di Satara yang terletak kira-kira 56 kilometer dari pusat bandar Karad, seorang wanita berkulit gelap berambut ikal mayang sedang menjinjing sebuah belanga berisi air dan seguni gandum bersaiz sederhana bersama kanak-kanak kecil berusia tujuh tahun.

Menyarung lengkap sari nuansa merah hati bersama perincian manik serta sulaman emas menampakkan penampilan sopan dan gambaran wanita desa. Berteduh di bangsal kecil berbekalkan sebuah kuali leper, dia mengusahakan perniagaan kecil-kecilan menjual capati dan air teh.

Kos sara hidup di India amat rendah dan selari dengan pendapatan mereka untuk perbelanjaan seharian kerana bahan asas mudah diperoleh selain diusahakan sendiri.

Sekeping capati berharga 10 sen manakala 25 sen untuk segelas teh, mereka sudah biasa dengan kehidupan seperti itu. Walaupun bergelar janda muda, dia tidak pernah diganggu oleh mana-mana lelaki dan berasa selamat.

Kemiskinan itu rupanya tidak sedikit pun menjadi penyebab kepada salah laku sosial mahupun menyumbang pada isu keganasan seksual terhadap wanita berikutan berdepan dengan tekanan kehidupan.

“Cara pemakaian mereka sangat sopan dan menutup bahagian-bahagian yang dianggap aset bagi wanita. Ia tidak seperti digambarkan dalam media Barat mahupun ditayangkan dalam filem-filem Bollywood.

“Disebabkan itu, saya berasa hairan golongan wanita dikaitkan dengan isu masalah seksual sedangkan mereka sangat menjaga tatasusila. Sepanjang di India, saya tidak pernah diganggu oleh mana-mana lelaki tempatan malah adab pergaulan mereka juga dijaga,” cerita Kohgillah a/p Narayanan, 31, yang menjalankan pengembaraannya ke negara itu selama 17 hari.

Ujar eksekutif kewangan sebuah syarikat swasta di Johor itu, keadaan di sana sangat tenang malah, maruah wanita itu terpelihara melalui pemakaian harian.

“Kebanyakan sari dan Punjabi yang dipakai adalah menutup hampir keseluruhan badan selain tubuh mereka dibalut dengan selendang bidang besar.

Pakaian tradisional itu turut diilhamkan dengan potongan lengan panjang dan agak labuh sehingga tidak menampakkan bahagian perut seperti yang selalu ditonton di televisyen,” ujarnya.

Keindahan

Dia sempat untuk menikmati keindahan negara yang mempunyai populasi kedua terbanyak di dunia itu apabila berkunjung di sepanjang Uttarakhand.

Uttarakhand merupakan negeri yang masyhur dengan kepelbagaian rekaan kuil dan dirujuk sebagai Devbhumi iaitu Tanah Para Tuhan oleh penduduk tempatan. Di situ juga terletak keindahan topografi semula jadi gunung Himalaya yang menjadi lokasi tarikan pelancong.

“Masyarakatnya sangat menghargai pelancong dan pasti akan memberikan layanan kelas pertama.

“Kebanjiran pengunjung akan memberi kebaikan dan melonjakkan pelaburan dalam sektor ekonomi pelancongan. Rakyat India juga memandang tinggi negara kita yang pesat dengan pembangunan selain mengagumi estetika sejarah di Malaysia,” jelasnya yang memberitahu slogan Malaysia Truly Asia sangat popular di sini.

Disebabkan itu, stigma tentang keganasan terhadap pelancong dan perkara buruk tentang India turut hilang apabila dia dilayan dengan penuh hemah oleh masyarakat setempat.