Siti Nurhaliza selepas dua dasawarsa

TERLALU banyak kenangan pahit manis yang boleh dikenang oleh Siti sepanjang 20 tahun penglibatannya dalam dunia seni.


SITI. Satu nama yang cukup ampuh untuk mewakilkan keseluruhan revolusi muzik Malaysia sepanjang 20 tahun pembabitannya dalam industri seni suara. Mempunyai 16 buah album, penyanyi yang memperjuangkan apresiasi muzik pop sejak debut Jerat Percintaan pada tahun 1996 masih menyeimbangkan legasi muzik tradisional dan kerohanian.

Pemilik nama sebenar Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tiada taranya. Makmurnya nama Siti bukan hanya di bumi bertuah Malaysia, bahkan juga di kepulauan nusantara seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

Srikandi seni ini masih menjadi dambaan peminat dan sukses membina empayarnya sendiri.

Jika bukan kerana penyertaan saat-saat akhir uji bakat Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) pada tahun 1995, Siti mungkin bukanlah Siti yang sekarang.

Santai memulakan bicara, pelantun popular lagu Purnama Merindu itu menceritakan, perjalanan seninya bermula ketika dia baru mencecah usia 16 tahun.

“Waktu itu, saya hanya berada di tingkatan empat, namun minat menyanyi memang menjadi hobi sejak kecil lagi. Selepas mendapat izin kedua-dua orang tua, saya nekad menghadiri uji bakat bersama abang. Itu pun pada hari terakhir dan kaunter pendaftaran sudah nak ditutup.

“Mungkin sudah tertulis rezeki saya di situ, jadi sempat mendaftarkan nama untuk sesi uji bakat tersebut,” katanya dalam senyum menguntum apabila tempoh tiga hari dari sekarang (1 April 2015), genap 20 tahun penyanyi yang popular menerusi lagu Terbaik Bagimu meladeni kehidupannya sebagai seorang bintang tersohor negara.

Tempoh dua dasawarsa bukanlah satu fasa yang singkat untuk figura ulung itu meletakkan dirinya di puncak kegemilangan serta menikmati kemasyhuran dan penghargaan hingga mampu digelar penyanyi nombor satu negara seperti yang dikecapi hari ini.

Hakikatnya, pelbagai pengalaman yang dikutip sepanjang hampir dua dekad berada dalam industri seni, sekali gus menjadi antara rahsia nama Siti terus unggul dan berada dalam kelasnya tersendiri.

Biarpun pernah berdepan detik hitam ketika namanya sedang meniti di bibir peminat, namun Siti tidak mudah melatah dengan setiap kontroversi negatif yang terpalit pada dirinya.

Katanya, sepanjang 20 tahun berkecimpung dalam industri nyanyian, beliau sangat bersyukur kerana masih diterima baik oleh pencinta muzik di Malaysia dan luar negara.

Baginya, momen ini sungguh istimewa termasuk memenangi beberapa pertandingan nyanyian yang dianjurkan.

“Ini membuatkan saya berasa seperti sedang bermimpi dan ia sukar diungkapkan dengan kata-kata.

“Bagaimanapun, itulah yang dinamakan rezeki dan Tuhan itu maha kaya kerana kalau kita berusaha keras tanpa mengira masa dan jujur dalam melakukan sesuatu perkara, pasti balasan itu akan datang dengan sendiri.

“Berkongsi mengenai pengalaman pahit pula, tiada apa yang perlu dikenangkan. Tidak dinafikan kalau tiada pahit dan cabaran, pasti saya tidak akan sekuat sekarang. Cuma, saya tidak mahu menoleh ke belakang untuk mengenang semula momen hitam yang pernah singgah dalam hidup kerana ia akan membuatkan hilang keyakinan diri,” jelasnya yang mahu terus berbakti terhadap industri seni hiburan tanah air.

Biduanita

Sehingga kini, dianggarkan lebih daripada 200 anugerah dari dalam dan luar negara yang menjadi milik mutlak penyanyi yang menjadi buah hati kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini sehingga tidak terhitung jumlahnya.

Namakan saja, Anugerah Juara Lagu, Bintang Popular, Industri Muzik, MeleTOP, Planet Muzik dan pelbagai lagi, semuanya sudah menjadi miliknya hampir saban tahun.

Lebih membangga dan meninggalkan kenangan manis, saat Siti mengadakan konsert solonya di Royal Albert Hall, London, sedekad lalu selain melakukan persembahan di luar negara dan melawat negara-negara yang selalu menjadi mainan mimpinya.

Kini selepas hampir 20 tahun berbakti kepada industri seni tanah air, ramai yang beranggapan Siti layak memegang gelaran Anugerah Biduanita Sepanjang Zaman seperti yang pernah diterima oleh Allahyarham Datuk Sharifah Aini (2006) dan Allahyarham Puan Sri Saloma (1978).

Bagaimanapun, bagi anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu, beliau tidak pernah terdetik untuk menggapai gelaran tersebut kerana menganggap pengiktirafan itu bukan dalam bidang kuasanya.

“Gelaran adalah satu penghormatan dan ia akan datang dengan sendiri selepas dinilai daripada hasil kerja keras dan usaha yang dilakukan seseorang. Tidak pernah terdetik di fikiran apabila khalayak meletakkan diri saya sebagai diva ataupun penyanyi nombor satu negara.

“Sejujurnya, lebih suka fokus kepada kerjaya kerana menyanyi adalah cinta hati saya dan ia adalah terapi paling baik. Soal panggilan atau pangkat tidak pernah saya harapkan.

“Bagaimanapun, andai kata saya tidak lagi diterima masyarakat, biarlah dengan cara yang baik dan terhormat. Itu saja doa kalau kehadiran saya nanti sudah tiada sambutan. Saya berharap peminat akan ingat dan bercakap perkara positif sepanjang berkecimpung dalam industri seni tanah air,” luahnya sekiranya beliau mengambil keputusan untuk memperlahankan karier seni nyanyian kelak.

Kematangan vokal

Diajak berkongsi mengenai kematangan suaranya selepas 20 tahun berbakti kepada industri muzik tanah air, kata Siti, beliau mengakui melihat perubahan pada suaranya yang semakin menuju kematangan.

“Siapa yang mengikuti perjalanan seni saya sejak usia 16 tahun hingga 36 tahun, sudah pasti ramai yang dapat mendengar perubahan suara daripada halus ke tona suara yang berbeza. Mungkin kerana saya selalu menggunakan kotak suara dan lama-kelamaan ia menjadi semakin matang.

“Dalam tempoh dua dekad terlalu banyak yang telah dipelajari dari segi penghayatan, pernafasan serta membina keyakinan diri. Jika dahulu terasa kekok berkomunikasi di atas pentas tetapi kini sudah pandai mengusik penonton dalam setiap persembahan,” kongsinya.

Tambah pengasas produk kecantikan Simply Siti itu, kejayaannya hari ini disokong oleh banyak pihak yang menjadi tulang belakang hingga terus berdiri kukuh dalam persada seni nusantara.

“Penghargaan paling ­uta­­ma yang harus disanjung adalah tangan-tangan kecil peminat yang terus menyokong, mempertahan dan mengikuti setiap langkah saya,” ujarnya.

Bagi menghargai kesetiaan penggemarnya, Siti mempunyai beberapa rancangan seperti mengadakan konsert sebagai hadiah daripada hati di atas keikhlasan Sitizoner menerima bakat kurniaan yang dipinjamkan oleh-Nya.

Paling hampir, konsert Unplugged yang bakal diadakan pada 7 April ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Selain itu, satu lagi persembahan muzikal dikenali konsert Muzikal Fragmen Siti bakal diadakan di lokasi sama pada November depan.

“Istimewanya di konsert Muzikal Fragmen Siti, peminat boleh mendapatkan buku fotobiografi mengenai perjalanan karier seni saya dalam industri,” jelasnya.

Pelbagai perancangan yang dilakukan bersama pasukan pengurusan Siti Nurhaliza Production membuktikan beliau masih belum mahu memperlahankan kerjaya seni kerana percaya terlalu banyak lagi yang harus disumbangkan kepada khalayak.

“Sebenarnya rezeki Allah itu sangat luas. Banyak perkara yang boleh dilakukan kalau kita berusaha keras untuk mencapai sesuatu yang diimpikan,” ujar Siti.