Anak Iban pertama Jeneral dua bintang



BUNYI tembak-menembak memecah kesunyian dalam sebuah rumah panjang di satu kawasan pedalaman Batu Lintang, Sri Aman, Sarawak.

Perbualan rancak seorang kanak-kanak, Stephen Mundaw bersama datuk, ayah dan bapa saudaranya terhenti seketika sebaik mendengar dentuman bunyi tembakan itu.

Meskipun keluarga tersebut berada di kawasan selamat, peristiwa pertempuran antara pasukan keselamatan negara menentang anggota tentera negara jiran yang menggugat keselamatan negara semasa Konfrontasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1963 itu masih segar dalam ingatan Mundaw.

“Ketika mendengar bunyi tembak-menembak semasa konfrontasi itu, datuk saya memberitahu betapa perlunya kita memiliki semangat juang untuk mempertahankan diri dan tanah air sekiranya diancam.

“Kami perlu sentiasa bersedia. Tambahan pula, ketika itu tentera negara jiran melakukan serangan dalam usaha menghalang pembentukan Malaysia dengan melancarkan kempen Ganyang Malaysia.

“Mungkin tanpa disedari, di situlah detik mula membakar minat saya untuk menyertai pasukan keselamatan negara terutamanya Angkatan Tentera,” kata Mundaw kepada Kosmo! pada hari terakhir bertugas di Bahagian Inspektorat Tentera Darat, Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, Disember tahun lalu.

Mundaw, 57, kini boleh berbangga selepas mencatat satu sejarah dalam ketenteraan Malaysia apabila menjadi anak Iban pertama dari masyarakat Dayak berpangkat Brigedier Jeneral pada 1 November 2010.

Selepas empat tahun memegang jawatan berpangkat Brigedier Jeneral, Mundaw melakar satu lagi sejarah apabila dianugerahkan bintang kedua dan dinaikkan pangkat ke Mejar Jeneral bagi menggalas jawatan Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia di Kuching pada 1 Disember 2014.

Pemakaian pangkat itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan isterinya, Jacqueline Peris dalam satu majlis di Wisma Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu.

Tiada yang lebih bermakna buat wira Bumi Kenyalang itu selain kembali menabur bakti di negeri kelahirannya.

Namun, segala kejayaan itu tidak datang bergolek kerana beliau terpaksa menempuh banyak pahit jerih sebelum meraih kejayaan.


REAKSI Mundaw (kanan) ketika memegang jawatan Pengarah Combined-Joint Exercise di Markas Angkatan Bersama.


Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan di Sungai Melaban, Pakit, Sri Aman, Sarawak, Mundaw tidak mempunyai banyak pilihan untuk merencanakan perjalanan kerjayanya.

Beliau menamatkan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) St. Lawrence, Sibu, Sri Aman sebelum memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Columbus, Miri dan SMK Simanggang, Sri Aman sehingga tahun 1977.

“Ketika itu, hanya ada sebuah bas di Simanggang untuk mengangkut pelajar-pelajar ke sekolah. Namun, saya bernasib baik kerana kadang-kadang dibenarkan menumpang trak askar dari Kem Pakit untuk ke sekolah.

“Saya datang daripada keluarga yang susah. Jadi, saya tidak mahu menganggur sebaik menamatkan alam persekolahan di peringkat menengah. Selain menghantar borang untuk memasuki universiti, saya turut mencari pekerjaan dengan menghantar permohonan bekerja sebagai anggota polis dan tentera.

“Saya tidak meletakkan keutamaan dan permohonan saya untuk memasuki anggota tentera diterima lebih awal. Dengan perasaan gembira dan semangat yang berkobar-kobar serta tanpa berfikir panjang, saya terus menerima tawaran itu.

“Mungkin peristiwa tembak-menembak semasa konfrontasi dan kekerapan menumpang trak tentera untuk ke sekolah mencetuskan perasaan cinta saya kepada pasukan beruniform ini.

Keputusan tepat

“Saya tidak menoleh ke belakang dan bertekad meneruskan kerjaya ini meskipun menerima tawaran memasuki Universiti Auckland di New Zealand selepas tiga bulan menyertai sekolah Latihan Pegawai Kadet Sebatang Karah, Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Ketika itu, ibu suruh balik dan menerima tawaran daripada universiti tersebut tetapi saya menolaknya. Saya rasa, saya buat keputusan yang tepat kerana beberapa bulan selepas itu, saya terpilih untuk melengkapkan latihan di Sekolah Pegawai Kadet, Portsea, Victoria, Australia pada tahun 1978,” katanya lagi.

Sebaik menamatkan latihan di Australia, Mundaw ditugaskan ke Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD) yang berpangkalan di Kem Oya, Sibu sebagai Ketua Platun.

Sebulan selepas melapor diri, beliau diarahkan memasuki hutan di Kawalan Keselamatan Kawasan Rejang (RASCOM) bagi menyertai platun pertamanya menentang pengganas komunis.

Beliau memperoleh banyak pengalaman selepas menyandang jawatan penting seperti Pegawai Perisikan Pasukan, Ajutan (Pegawai Tadbir Pasukan) dan Penolong Pegawai Pemerintah Kompeni.


MUNDAW (tiga dari kiri) memakai pakaian tradisi Sarawak ketika mewakili Malaysia pada kursus USAWC di Amerika Syarikat pada tahun 2013.


Menentang komunis

Apabila batalion itu berpindah ke Kem Sulva Line, Ipoh, Perak pada tahun 1980, Mundaw sekali lagi terlibat dalam kempen menentang pengganas komunis.

Beliau kemudiannya menggalas jawatan Pegawai Latih di Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Malaya dari 1 Januari 1984 hingga 31 Disember 1987.

Mundaw berpindah ke Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (Mekanise) atau 7 RRD (Mek) sebagai Ketua Kompeni pada 2 Julai 1992. Kompeninya yang dikenali sebagai Tiger Company merupakan Kompeni Infantri pertama dalam RRD yang diserapkan menjadi Kompeni Infantri Mekanise pada tahun 1990.

Bapa kepada dua orang anak itu menyertai Command and General Staff College di Filipina pada 3 Julai 1992 hingga 10 Julai 1993 dan pulang dengan status pelajar asing terbaik.

Sebaik pulang ke tanah air, beliau ditugaskan sebagai Pegawai Logistik Briged di Briged Keenam Infantri Malaysia di Sungai Petani Kedah.

Selepas itu, beliau kembali ke 7 RRD (Mek) sebagai Penolong Pegawai Memerintah.

Mundaw dinaikkan pangkat sebagai Leftenan Kolonel pada 11 September 1995 untuk menggalas jawatan Timbalan Pegawai Memerintah Rejimen 509 Askar Wataniah di Pulau Pinang dengan bertanggungjawab memastikan kemajuan, pembaharuan dan pengambilan ahli baharu bagi memantapkan rejimen tersebut.

Selepas itu, beliau menjadi Pegawai Memerintah Rejimen Kesembilan Renjer Diraja (9 RRD) yang berpangkalan di Taiping, Perak pada 1 Jun 1997 hingga 7 Februari 1999 sebelum mengikuti kursus di Maktab Pertahanan Malaysia.

Selepas keluar dengan status graduan terbaik, beliau kembali menerajui 9 RRD. Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah ketika batalion tersebut ditugaskan menangani ancaman Kumpulan Al-Maunah di Sauk, Perak.

Selepas itu, beliau ditugaskan sebagai Ketua Jurulatih di Institut Pengurusan Tentera Darat di Port Dickson selama lima tahun dari 1 Februari 2001 hingga 22 Januari 2006.

Beliau dilantik sebagai Penolong Pengarah Latihan di Markas Tentera Darat pada 23 Januari hingga 3 Disember 2006. Pada 1 Januari 2007, beliau ditugaskan sebagai Kolonel Doktrin Tentera Darat.

Pada 1 Januari 2008, Mundaw dilantik sebagai Pengarah Combined-Joint Exercise di Markas Angkatan Bersama (MAB) ATM yang bertanggungjawab kepada semua latihan bersama antara Five Power Defence Agreement-FPDA, United States Pacific Command dan lain-lain negara di Asia Tenggara.

Ibarat sirih pulang ke gagang, beliau kembali berkhidmat di Bumi Kenyalang apabila dinaikkan pangkat ke Brigedier Jeneral pada 1 November 2010 sebagai Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia yang berpangkalan di Sibu, Sarawak.


Raja Mohamed Affandi (kiri) dan Jacqueline (kanan) memakaikan pangkat Mejar Jeneral kepada Mundaw dalam satu majlis di Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu.


Berdisiplin

Namun, beliau melanjutkan kursus di United States Army War College (USAWC) di Amerika Syarikat. Pada 6 Jun 2014 setelah kembali dari sana, beliau ditugaskan menjawat jawatan Inspektorat Jeneral Tentera Darat sebelum dinaikkan pangkat menjadi Mejar Jeneral pada 1 Disember 2014 sebagai Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia.

“Semasa sekolah dulu, saya memasuki beberapa pasukan unit beruniform. Saya seorang yang nakal tetapi berdisiplin. Saya mempunyai semangat tidak mudah menyerah kalah dan sentiasa mencabar diri. Saya mahu menjadi yang terbaik dalam kalangan terbaik.

“Ayah dan bapa saudara saya seorang anggota polis tetapi tiada ahli keluarga saya yang menjadi tentera.

“Mungkin situasi itu melonjakkan lagi minat saya untuk menyertai pasukan beruniform ini.

“Semasa sekolah, saya akan menangis kalau saya tidak memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan tetapi saya tidak akan berputus asa dan berusaha keras untuk merampas status itu pada peperiksaan yang akan datang,” begitulah kata-kata Mundaw.

Semangat juang yang tinggi itu terus dipraktikkan dalam kerjayanya sebagai seorang pegawai tentera dan ternyata semangat Agi Idup Agi Ngelaban mengalir dalam jiwa sanubari perwira Bumi Kenyalang itu.

“Saya mahu jadi yang terbaik dalam semua kursus yang disertai. Saya banyak menggenggam kejayaan sebagai penuntut terbaik termasuk semasa kursus di USAWC.

“Pada ketika itu, saya mewakili ATM dan membawa nama Malaysia. Apa yang saya lakukan semasa kursus itu, saya lakukan untuk Malaysia, saya bawa bendera Malaysia. Ia adalah satu semangat yang kompetitif,” kata Mundaw.

Kecemerlangan Mundaw turut terserlah dalam bidang sukan. Pada zaman remaja, beliau terkenal sebagai atlet yang hebat. Beliau pernah mewakili skuad bawah 23 tahun ATM dalam acara hoki dan skuasy.

Ketika bertugas di 7 RRD (Mek), beliau turut memenangi Anugerah Atlet Terbaik Briged Keempat Infantri Malaysia selepas memenangi dua pingat emas dalam acara lontar peluru dan lempar cakera pada Kejohanan Sukan Tahunan 1991.

Paling membanggakan, rekod Mundaw dalam acara 110 meter lari berpagar yang diciptanya ketika menyertai latihan Pegawai Kadet di Portsea, Australia pada tahun 1979 masih kekal hingga ke hari ini.