Akustik istimewa Siti Nurhaliza


SITI NURHALIZA sentiasa memberikan sesuatu yang baharu dalam persembahannya.


BULAN April mempunyai signifikan yang tersendiri kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza. Setiap kali April menjelma, beliau akan meraikan ulang tahun penglibatannya dalam bidang seni. Bulan April 2015 dianggap bulan permulaan kerjaya seninya untuk tahun ke-20.

Sebagaimana janji beliau kepada para peminatnya sebelum ini, Siti Nurhaliza bakal mengadakan sebuah konsert akustik istimewa yang dinamakan Datuk Siti Nurhaliza Unplugged 2015 pada 7 April depan di Panggung Sari, Istana Budaya, bermula pukul 8.30 malam.

Konsert yang berlangsung cuma sehari itu diadakan bersesuaian dengan slot yang diberikan pihak Istana Budaya dan beliau mengambil peluang tersebut sebagai pembukaan kepada persembahan berskala konsert untuk tahun 2015.

Penyanyi itu bagaimanapun akan tampil dengan pementasan konsert Muzikal Fragmen Siti, selama lapan hari di Istana Budaya pada bulan November depan.

Memahami bahawa tempoh sehari mungkin tidak cukup untuk jumlah peminatnya, Siti berharap khalayak memahami tujuan persembahan itu diadakan. Baginya, peluang berkenaan harus diambil, apatah lagi bertepatan dengan bulan April yang sinonim sebagai bulan sambutan ulang tahun beliau dalam bidang seni.

Konsert Siti Nurhaliza Unplugged 2015 juga melengkapkan perjalanan seni Siti selama 20 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, dia belum pernah muncul dalam persembahan bercorak akustik secara keseluruhan. Persembahan itu akan lebih menonjolkan vokal Siti dan juga garapan muzik oleh Aubrey Suwito terhadap lagu-lagu yang bakal dipersembahkan nanti.

Bakal berlangsung selama dua jam, konsert tersebut dianjurkan sendiri Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. dengan kerjasama Istana Budaya. Siti memilih untuk menyampaikan lagu-lagu daripada album popnya serta beberapa lagu lain untuk memberikan warna kepada persembahan pada malam bersejarah itu.

“Saya berharap agar persembahan konsert akustik ini dapat memberi kelainan berbanding konsert sebelum ini. Konsert ini juga jawapan kepada pertanyaan peminat tentang kelainan terkini yang ingin saya tonjolkan dalam sesebuah persembahan,” ujar Siti.

Tiket untuk menonton Siti Nurhaliza Unplugged 2015 boleh dibeli secara online di www.AirAsiaRedtix.com dengan harga RM78, RM108, RM218, RM28, RM258, RM278, RM338 dan RM518. Harga berkenaan tidak termasuk caj tiket dan cukai barangan dan perkhidmatan atau GST.

Tiket-tiket boleh dibeli di Rock Corner The Gardens, KLCC, Subang Parade dan The Curve. Tiket juga dijual di Victoria Music di Plaza Sungei Wang, Amcorp Mall, Tropicana Mall dan Bangsar Shopping Centre serta di Box Office Istana Budaya.