Mama Juwie meninggal dunia akibat kanser prostat


MAMA JUWIE


KUALA LUMPUR – Dunia seni dan kewartawanan hiburan tempatan berduka apabila wartawan hiburan veteran dan penulis lirik terkenal, Mama Juwie meninggal dunia di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras di sini kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Allahyarham meninggal akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser prostat.

Mama Juwie, 62, yang telah dua minggu dimasukkan ke hospital kerana menjalani pembedahan akibat pe­nyakit ber­kenaan sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi apabila kesihatannya tidak stabil.

Juwie atau nama sebenarnya Abdul Jalil Salleh kali terakhir menjalani pembedahan pada Khamis lalu dan keadaan beliau bertambah kritikal akibat kegagalan beberapa organ lain termasuk buah pinggang sehingga terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keluarga.

Karier kewartawanan Mama Juwie bermula sebagai wartawan di Berita Harian pada tahun 1974 sebelum menyertai Utusan Malaysia pada 1984. Semasa di Utusan Malaysia beliau terkenal apabila mengendalikan ruangan pojok hiburan iaitu Salam Juwie menerusi sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.