Tash tak sanggup gadai maruah


Tash bakal muncul buat pertama kali dalam filem kolaborasi Indonesia dan Malaysia yang berjudul Kelly Castle atau Kastil Tua.


WANITA persis wajah Amy Mastura dan terkadang Ezlynn ini mahu segera keluar daripada kedewasaan. Umur tujuh tahun melihat bapa mencipta lagu, Nur Natasha Shazlia Rosli atau nama pentasnya Tash Shazleya mula berminat dalam bidang seni.

Tash merupakan anak kepada komposer terkenal Rosli Selasih, yang pernah menghasilkan lagu-lagu indah seperti Ngajat Tampi (Noraniza Idris), Taat (Rohana Jalil), Di Jendela Separuh Terbuka (Erra Fazira) dan Canggai (Datuk Siti Nurhaliza).

Ketika kanak-kanak lain sedang sibuk dengan permainan dan buku, Tash sudah beramah-tamah dengan lagu dan irama. Dia memulakan langkah nyanyiannya pada usia yang sangat ranum.

“Sejak sekolah rendah lagi, saya sudah ditawarkan menyanyi untuk siaran RTM. Saya juga pernah menyanyi di penutup Sukan SEA 2001 dan juga menjadi penyanyi latar untuk album seorang penyanyi wanita terkenal,” katanya yang turut pandai menari, mencipta lagu dan berlakon.

Alunan suara, lenggok tari dan lakonannya yang tersendiri juga sudah mesra di mata penggiat teater. Manakan tidak, pada usia 11 tahun, Tash sudah bergiat dalam pementasan teater muzikal kanak-kanak berjudul Puteri Gunung Ledang.

Anak kelahiran Perlis yang dibesarkan di Cheras, Kuala Lumpur ini juga giat menyanyi di majlis-majlis sekolahnya, bahkan pernah menyertai program realiti Mentor musim ke-3.


Biarpun sering mendapat tawaran watak antagonis, namun Tash tidak sanggup membawa watak di atas ranjang.


“Masa umur 18 tahun, saya pergi ke uji bakat program Mentor ke-3. Saya menjadi peserta pilihan protege Lah Ahmad dari kumpulan VE. Malangnya, saya tidak berjaya ke peringkat akhir program yang pernah dijuarai oleh penyanyi Black itu.

“Agak kecewa ketika itu, namun ia berbayar apabila saya menjuarai pertandingan mencipta lagu asli untuk RTM pada tahun 2009. Lebih indah, lagu ciptaan saya iaitu Jalinan Kasih berjaya menewaskan lagu ayah yang turut dipertandingkan,” kongsinya yang juga pernah terlibat dalam pementasan teater besar berjudul Randai Kasih Menanti di Istana Budaya pada tahun yang sama.

Tidak lelah mencuba nasib dalam bidang seni, Tash kemudiannya menyertai Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), namun ibarat pepatah, disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Tash kemudian terjatuh dalam bilik mandi dan mengalami kecederaan saraf tulang belakang.

Selama tiga tahun, anak sulung daripada lapan beradik ini berehat atas nasihat doktor dan sekitar tahun 2013-2014, dia kembali berlakon.

Menganggap kemunculannya semula ke persada seni sebagai bayi, Tash memulakan langkah baharu sebagai pelakon drama dan telemovie.

“Dalam tempoh tiga tahun berehat, saya cuba mengisi masa dengan belajar teknik solekan. Alhamdulillah, sekitar tahun 2014, saya mula mendapat tawaran berlakon telemovie berjudul Kerana Anggun arahan Aziz M. Osman. Dalam telemovie tersebut saya bawa watak gadis pelayan pelanggan (GRO) yang kemudiannya kembali ke pangkal jalan,” jelasnya.

Melancarkan lagi perjalanan karier seninya yang baharu bermula, Tash mengakui enggan menerima watak di atas ranjang.

“Saya tidak kisah terima watak antagonis tetapi bukan watak simbol seks. Sebagai contoh, watak yang memerlukan saya berlakon di atas ranjang. Memang saya pernah dapat tawaran watak sebegitu tetapi kita ada pilihan bukan,” tegasnya.

Biar perlahan asalkan mendaki. Tegas dengan pendiriannya, Tash pasti dengan perjalanan karier seninya.

“Saya percaya pada bakat yang dikurniakan tetapi saya tak sanggup gadai maruah untuk mendapat tawaran,” katanya lagi.