Karya elemen hidupan liar


HARIS menjadikan dunia seni lukis sebagai mata pencarian tetap.


PAMERAN Beauty In The Beast hasil karya pelukis muda, Haris Rashid merupakan langkah pertamanya untuk membuktikan bakat yang dimiliki itu mampu melangkah lebih jauh lagi.

Memiliki personaliti cukup ringkas, keupayaan Haris yang baru berusia 23 tahun wajar dibanggakan kerana mengambil keputusan menjadikan dunia lukisan sebagai mata pencarian.

"Selepas tamat pengajian di One Academy, saya mengambil keputusan untuk menjadikan hobi dan bakat melukis sebagai rezeki utama. Ini kerana, saya yakin jika diberikan tumpuan sepenuhnya, bidang lukisan mampu menjanjikan kepuasan baik dari segi hasil jualan lukisan tersebut mahupun masa serta tenaga yang diluangkan.

"Misalnya, ini merupakan pameran solo pertama saya, tetapi pengunjung tetap menghargainya," katanya ketika ditemui di pameran Beauty In The Beast di Galeri Artemis Art (Artemis Art), Publika Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beauty In The Beast akan berakhir pada 12 April ini mempamerkan sebanyak 20 lukisan yang disiapkan Haris dalam tempoh dua tahun.

Tema yang dipilih iaitu Beauty In The Best tersebut mengetengahkan seni alam dengan membawa elemen hidupan liar dalam dimensi berbeza, namun kreatif.

"Lukisan saya banyak menggunakan hidupan liar antaranya, harimau, serigala, burung hantu dan beruang dengan campuran imej alam semula jadi. Apa yang dikatakan dimensi berbeza ialah langit diwarnakan dengan warna kuning manakala kucing berwarna merah jambu," jelasnya.

Katanya, setiap hidupan membawa nilai estetik tersendiri yang mewakili kecantikan dan pesona haiwan dengan mencerminkan sisi berbeza binatang buas.

"Selain minat melukis, saya gemar menyertai aktiviti masuk hutan dan pengalaman itu digunakan dalam menghasilkan seni lukisan ini.

"Persekitaran banyak membantu saya mengolah idea-idea dengan lebih kreatif," katanya yang mewarisi bakat melukis daripada ibunya.


ANTARA karya lukisan Haris yang dipamerkan sempena pameran solonya di Publika, Jalan Dutamas, Kuala Lumpur.


Media campuran

Tambah Haris, tema tersebut juga tepat dengan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat iaitu mencintai alam semula jadi dan haiwan terancam.

Sementara itu, mengenai teknik lukisan pula, Haris menjelaskan penggunaan media campuran iaitu bancuhan pelbagai jenis bahan warna menjadi pilihan utama dalam setiap karya yang dihasilkan.

"Kesemua lukisan saya menggunakan jenis warna yang banyak misalnya dakwat, pensil warna dan cat air bagi mendapatkan efek menarik. Teknik ini, paling saya gemari tetapi harus pandai bermain dengan warna yang sepatutnya.

"Lukisan sebegini mempunyai peminat tersendiri dan terbukti apabila ada lukisan saya yang terjual. Lukisan paling mahal berharga RM6,800 iaitu Forgotten Glory 11 mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan juga sudah terjual," katanya.

Mengulas mengenai harapannya sempena pameran kali ini, Haris semakin bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak karya menarik.

Perancangan

Karya-karya itu akan dibawanya ke Amerika Syarikat sebagai perkongsian dengan peminat di negara tersebut.

"Amerika Syarikat merupakan perancangan besar yang memerlukan kesungguhan menghasilkan karya lebih kreatif.

"Bagaimanapun, untuk perancangan dalam tempoh terdekat ini, saya ingin mengadakan lebih banyak siri jelajah," jelasnya.

Dalam pada itu, Penganjur dan pemilik Artemis Art, Syed Jamal Al-Idrus berkata, lima daripada 20 lukisan hasil karya Haris berjaya dijual dalam tempoh dua hari pameran itu berlangsung.

"Pameran Beauty In The Beast mendapat sambutan yang baik sejak dilancarkan. Pengunjung berpendapat Haris bijak mengadun campuran warna pada lukisannya. Rata-rata antara mereka merupakan peminat seni visual tempatan.

"Hasil karya yang dibeli oleh lima individu itu terdiri daripada pelbagai saiz dengan kaedah lukisan berbeza.

"Setiap lukisan itu dihasilkan pada medium yang berlainan," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Lima karya yang telah dijual itu ialah Forgotten Glory, Forgotten Glory II, Sun Bear, Whispering Rose dan Parrot. Kesemua lukisan itu dijual pada harga RM480 hingga RM6,800.