Pengalaman selamatkan mangsa terowong Selantik

RUZAIDI (empat dari kiri) bersama pegawai dan anggota UUBP di Pangkalan Udara Bomba dan Penyelamat, Subang, Selangor.


SEBAIK memasuki ruangan kokpit helikopter Mi-17, jiwanya seakan-akan dikuasai satu semangat juang yang tinggi. Cuaca sejuk di Miri, Sarawak cukup membuatkan diri selesa untuk terus diulit mimpi, namun semua itu tidak diendahkan.

Demi sebuah misi menyelamat, jari jemarinya digagahkan untuk menekan suis togol bagi menghidupkan rotor utama dan bahagian ekor pesawat. Abah-abah (harness) dilekap pada badan bagi tujuan keselamatan selain memerhati paparan navigasi (NAVD) bagi memeriksa panel minyak dan gear pendaratan.

Roda helikopter mula berputar meninggalkan pangkalan udara Miri dan menggerakkan rangka besi yang dilengkapi dengan paparan navigasi penerbangan (FND). Memeriksa ketinggian yang menunjukkan berada pada ketinggian 600 meter dari aras laut, sudah membuat saujana mata memandang.

Perjalanan ke Seri Aman disusun rapi, jadual penerbangan dan kawasan pendaratan sudah dikenal pasti. Makluman daripada pasukan darat memberitahu, satu letupan besar lombong arang telah berlaku sehingga menyebabkan tiga pelombong terbunuh manakala 26 lagi tercedera.

“Laporan menjelaskan seramai 29 mangsa berusia sekitar 20-an hingga lewat 30-an berada di dalam terowong tersebut dengan jarak pintu masuk adalah kira-kira 451 meter ketika kejadian berlaku. Terowong yang mempunyai kedalaman 69 meter itu merupakan lombong arang batu terletak di Selantik, Pantu, Sarawak.

“Keadaan di situ sangat teruk, ramai mangsa memerlukan bantuan rawatan pada kadar segera. Bunyi mengerang kesakitan turut kedengaran dan kelihatan pasukan perubatan sedang sibuk memberikan bantuan asas,” ujar Penolong Kanan II Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pangkalan Udara Subang, Mohd. Ruzaidi Ramlee, 36, mengimbau detik ketika terlibat dalam operasi menyelamat pada 22 November tahun lalu.

Kejadian itu menyebabkan tiga maut, manakala 26 cedera.

Jelas Mohd. Ruzaidi, kesemua mangsa yang parah perlu diselamat dan dihantarkan ke hospital secepat mungkin bagi mendapatkan rawatan lanjut. Sehubungan itu, jalan udara merupakan alternatif terbaik berikutan pengangkutan darat mengambil masa yang lama untuk ke hospital.

Pesawat ideal


LETUPAN yang berlaku di terowong arang batu Selantik, Sri Aman mencatatkan sejarah tragedi terburuk negara.


Menurut Mohd. Ruzaidi yang juga merupakan juruterbang kelompok kedua helikopter Mi-17, kenderaan tersebut dipilih untuk menyertai operasi berikutan kelajuan yang boleh dicapai dan jumlah komposisi penumpang mampu dimuatkan pada satu-satu masa. Maka, ia dilihat sebagai pesawat yang ideal digunakan dalam pemindahan pesakit.

Tambahnya, insiden tersebut adalah antara operasi paling mencabar dalam kariernya sepanjang berkhidmat di Unit Udara Bomba dan Penyelamat (UUBP) sejak 11 tahun lalu. Mereka terpaksa berdepan dengan cuaca buruk selain menjadi unit rawatan rapi (ICU) udara kepada dua orang pesakit tersebut.

“Mereka perlu dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu, Sabah ekoran hospital di sini sudah tidak mampu menampung pesakit. Keadaan mereka kritikal, rawatan rapi harus disegerakan menggunakan peralatan lengkap.

“Bagaimanapun cuaca buruk dan awan tebal ketika itu memaksa kami transit serta membuat pendaratan di Miri. Perjalanan yang dimulakan pada pukul 12.15 tengah hari dari bandar raya itu terpaksa dihentikan berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan,” jelas beliau ketika mengimbau peristiwa itu. Meskipun berdepan cabaran cuaca, akhirnya kedua-dua mangsa berjaya ditempatkan di Hospital Queen Elizabeth 2 selepas mengambil masa tiga jam dengan penerbangan seawal pukul 9 pagi keesokan harinya. Operasi tersebut dibantu 13 individu termasuk lima krew penerbangan daripada UUBP.

Kenderaan udara

Begitulah garis kerja UUBP yang merupakan unit bertanggungjawab dalam melaksanakan skop tugasan Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui udara.

Berpusat di Pangkalan Udara Subang, Selangor, penubuhan UUBP telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada Mac 1998 dengan berbekalkan dua kenderaan udara helikopter Mi-17. Ia telah dirasmikan secara serentak dengan majlis Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur pada September 1998.

Dua buah helikopter tersebut diberi nama Enggang dan Pekaka bagi merealisasikan misi menyelamat pasukan bomba.

Kumpulan perintis pertama terdiri daripada enam juruterbang dan enam Kuatermaster Udara (AQM) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), mereka dipinjamkan bagi memindahkan kepakaran pengendalian helikopter kepada anggota bomba.


PASUKAN elit smoke jumper kini berkembang dengan keanggotaan seramai 499 orang.


Dalam pada itu, kepakaran tersebut dilihat sudah berkembang dan mula dikuasai oleh pihak bomba. Sehingga kini UUBP mempunyai seramai 22 orang juruterbang yang terdiri daripada jabatan itu sendiri.

Jelas anak jati Kelantan itu lagi, antara fungsi utama UUBP ialah menjalankan tugas bantuan dalam bentuk tinjauan udara, melawan kebakaran melalui udara, mencari dan menyelamat serta pengangkutan barang, pegawai jabatan serta orang awam.

Dalam memenuhi keperluan semasa dan mengimbangi pengawasan udara antara tiga agensi utama lain seperti Maritim, Polis dan TUDM, UUBP kini mempunyai sebanyak dua pangkalan tetap (di Subang dan Bertam) serta satu pangkalan sementara di Miri, Sarawak bagi radius Borneo.

Seiring pertumbuhan unit itu yang kini mencecah 17 tahun, selain juruterbang, Kuatermaster udara, jurutera dan kawalan trafik udara, UBBP turut mempunyai unit pasukan khas (Paskub). Unit elit tersebut bertugas sebagai penyelamat sekiranya berlaku sebarang kecemasan yang tidak boleh diakses pasukan darat.

Untuk mencapai kecemerlangan itu, UUBP mempergiatkan lagi dalam melatih anggota bomba terutama sekali Paskub yang berupaya melakukan tugas menyelamat melalui udara.

Menurut Mohd. Ruzaidi, bagi memastikan anggota mereka benar-benar menepati taraf sebagai pasukan elit bomba, pasukan itu diwajibkan menjalani latihan ala ketenteraan termasuk khusus ikhtiar hidup.

“Sebagai pasukan elit penyelamat bomba, anggota Paskub wajib mahir dalam melaksanakan tugasan menaikkan mangsa menggunakan kaedah winc.

“Teknik ini memerlukan anggota turun dari helikopter ke kawasan berisiko tinggi dengan menggunakan spie-rig (badan diikat pada tali yang ditarik dengan helikopter) ia juga dikenali sebagai teknik buah rambai,” jelasnya penuh semangat.

Kawal api

Di bawah unit Paskub, terdapat satu pasukan payung terjun (smoke jumper) yang mempunyai kemahiran menggunakan payung terjun. Ia bagi membolehkan mereka itu digugurkan ke kawasan kebakaran di hutan untuk melaksanakan tugas mengawal api bagi mengelakkannya merebak ke kawasan lain.

“Pasukan ini dilatih untuk terjun dengan membawa beberapa peralatan pemadaman yang diperlukan bagi mengawal kebakaran hutan,” katanya.

Bagi meningkatkan kecekapan juruterbang anggota bomba, pihak jabatan tersebut menghantar mereka ke beberapa pusat latihan seperti di Ukraine dan Rusia untuk tujuan khusus simulator. Kemahiran itu amat penting agar mereka menguasai sistem dalam penerbangan helikopter yang digunakan.

Sementara itu, mengenai kemampuan helikopter Mi-17, Mohd. Ruzaidi berkata, ia berfungsi untuk mengawal kebakaran dari udara. Pesawat itu berupaya membawa 3,000 liter air bagi satu-satu masa untuk pemadaman api akibat kebakaran hutan iaitu kapasiti bagi sebuah teknik pemadaman water bombing (bambi bucket).

“Pesawat ini terbukti sesuai untuk menghantar bantuan logistik kepada pasukan penyelamat yang melaksanakan tugas memadam kebakaran di hutan,” katanya yang memberitahu UUBP dilihat semakin berkembang dengan penerimaan dua lagi helikopter iaitu Agusta 139 dan A109.