Abam Bocey sasar turun berat 30 kilogram


DINOBAT sebagai Pelakon Komedi Lelaki Popular membuktikan berat badan bukan halangan untuk Abam berjaya dalam bidang seni.


BERMULA dengan program Bintang Mencari Bintang bersama kumpulan Bocik pada 2013 dan berterusan sebagai Bocey dalam Maharaja Lawak 2014 ternyata menjadi langkah yang tepat buat pelawak bernama Abam.

Secara nakalnya, tuah ayam nampak di kaki, tuah Abam nampak di badan. Menjadi anggota paling comel dalam kalangan dua lagi rakannya, Achey dan Fad, kegemukan bukan satu penghalang untuk Abam atau pemilik nama sebenar, Syed Umar Mokhtar Syed Redzuan, 29, itu menyinar sebagai pelawak generasi yang disegani.

Biarpun kerap dijadikan mahu pun ‘menjadikan’ aset fizikalnya (gemuk) sebagai bahan lawak di pentas, pengaruh dan pendekatan lawak lelaki dengan berat 192 kilogram itu sentiasa menang dalam hati peminat.

Abam yang membuat kejutan memenangi anugerah pada Bintang Popular 2014 (ABP2014) bagi kategori Artis Komedi Lelaki Popular dengan menewaskan nama-nama besar seperti Zizan Razak, Jep dan Shuib Sepahtu seolah-olah membuka mata masyarakat bahawa orang berbadan besar juga mampu mencipta kejayaan.

Kosmo!: Tahniah kerana Abam telah berjaya memenangi kategori Artis Komedi Lelaki Popular sekali gus menewaskan pelawak yang lebih senior dan popular berbanding Abam. Boleh anda kongsikan sedikit tentang perasaan setelah memenangi anugerah tersebut?

ABAM: Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat yang bersusah payah memberikan undi semangat kepada saya. Walaupun tidak langsung menjangka gelaran yang diberi, namun saya bersyukur dengan rezeki Allah. Bagaimanapun itu bukan tiket untuk membangga diri kerana ini hanyalah permulaan, jauh lagi perjalanan karier seni saya berbanding mereka yang telah lama berdiri kukuh dalam industri ini.

Adat bertanding, apabila seseorang artis memenangi sesuatu gelaran, secara automatik harga bayaran barangkali akan naik. Adakah anda akan meningkatkan jumlah bayaran mengikut status terkini yang sudah diiktiraf popular?

Tidak. Apa gunanya gelaran andai hasil kerja tidak memuaskan. Prinsip saya biar kita makan sedikit, tapi berulang. Jangan makan banyak, tetapi sampai ke sudah tiada makanan. Saya masih Abam yang dahulu, menghargai rezeki yang diberi dan berusaha memberi yang terbaik.

Anda dinobatkan popular secara individu, bukan bersama Bocey? Adakah anda akan masih kekal sebagai satu kumpulan?

Jatuh bangun saya bersama Bocey. Saya menang anugerah juga adalah demi Bocey dan bukan seorang. Maka tiada istilah individu atau solo bagi Abam, kerana Bocey adalah sebahagian daripada diri saya dan akan kekal begitu sampai bila-bila.

Sewaktu memberi ucapan kemenangan, anda melaungkan ‘Gemuk Is Awesome’ yang kini menjadi hashtag dan viral dalam laman sosial. Adakah ini sebagai bukti kepada masyarakat bahawa mereka yang mempunyai bentuk fizikal besar juga boleh menempa kejayaan?

Sejujurnya, memang itulah yang saya mahu sampaikan kepada masyarakat. Sebelum ini, saya sentiasa dipandang rendah oleh sesetengah pihak yang mempersoalkan apa yang boleh saya lakukan dengan badan begini. Pada ketika itu, saya hanya membalas “Insya-Allah, akan cuba yang terbaik”. Sekarang, lihatlah di mana saya berada berkat usaha gigih menepis persepsi orang ramai.

Abam anda sedar atau tidak, pakar kecergasan, Kevin Zahri menawarkan bantuan untuk membantu anda tampil lebih sihat. Adakah anda sudi menerima tawaran tersebut?

Saya tidak anggap tawaran itu sebagai satu isu. Saya pasti, niat Kevin Zahri baik. Namun saya berharap dia berbuat demikian kerana salah anggap tujuan saya melaungkan slogan tersebut. ‘Gemuk Is Awesome’ melambangkan bahawa orang yang berbadan besar turut boleh maju dalam setiap bidang yang diceburi, bukan menggalakkan orang lain untuk terus mengamalkan cara hidup yang tidak sihat.

Adakah anda tidak menolak jika diberi peluang untuk menurunkan berat badan?

Saya tidak akan menolak. Sejujurnya, sejak tiga bulan lalu, saya sedang berusaha untuk menurunkan berat badan dengan mengawal pengambilan makanan. Saya juga sudah ‘berehat’ memakan nasi dalam tempoh waktu tersebut. Sebenarnya tujuan saya mahu menurunkan berat badan bukan untuk kurus, sebaliknya untuk sihat dan memudahkan pergerakan.

Jika tidak keberatan, boleh anda kongsi berat badan sekarang dan berapa kilogram yang ingin dikurangkan untuk mendapat berat ideal?

Kali terakhir saya timbang berat pada tahun lalu ialah 192 kilogram. Kalau boleh, saya mahu mengurangkan berat sebanyak 20 hingga 30 kilogram menjadikan berat hanya 120 kilogram sahaja. Seperti yang saya beritahu, saya bukan mahu kurus sangat, sebaliknya lebih mementingkan kesihatan.