Empayar luar biasa Siti



Memperkatakan tentang seorang Siti Nurhaliza memang tidak akan pernah berpenghujung. Ironi, bukan tidak ada keluhan yang dilemparkan seperti ‘Siti lagi? Atau balik-balik Siti’. Bagaimanapun, percayalah tanpa sedar kita sentiasa mahu diisi dengan perkhabaran tentang penyanyi tersohor negara itu.

Tidak memerlukan pakaian yang mencolok mata, apa lagi tarian berbaur erotik, Siti hanya memerlukan lontaran vokalnya untuk menyihir khalayak.

Itu yang beliau lakukan sepanjang kembara seninya sejak 20 tahun lalu. Hanya menggunakan vokal merdu kurniaan Ilahi, Siti menjadikan ia senjata menawan khalayak.

Untuk kesekian kalinya, biar sudah melakukan ribuan persembahan baik dalam skala kecil atau besar, Siti menyihir khalayak dengan kerendahan hatinya, tetapi tinggi nilai dalam kariernya.

Malam itu, 7 April, menjadi detik manis buat Siti serta peminat setianya yang digelar SitiZoners. Menerusi konsert eksklusif satu malam yang diberi judul Datuk Siti Nurhaliza Unplugged 2015, Istana Budaya disemarakkan dengan keampuhan vokal dan keutuhan seorang penyanyi legenda negara.

Pada konsert kali ini, sesuai dengan tema akustik, Siti tidak tampil berlebihan. Beliau hanya menyalin pakaian dua kali. Itu fakta bagi khalayak yang suka mencongak berapa persalinan yang dikenakan Siti setiap kali muncul di pentas.

Namun, fakta penting yang khalayak perlu tahu ialah bagaimana beliau membius para penonton selama dua jam lebih hanya untuk mendengarnya mengalunkan seleksi lagu hit yang berada kemas dalam portfolio seninya.

Bersama Aubrey Suwito yang sekian lama setia menemani melodi-melodi seninya, Siti mengalunkan untaian hit yang bukan sembarangan.

Siapa yang boleh lupakan betapa hebatnya kuasa lagu seperti Jawapan Di Persimpangan, Purnama Merindu atau Diari Hatimu.

Kita pergi lebih jauh, sentuhan magis komposer terkenal, Adnan Abu Hassan yang turut dirai Siti dengan menjemput beliau memecah keheningan bersama dentingan pianonya bagi lagu Jerat Percintaan, sudah cukup membuat audiens larut sama dalam emosi.

Sementelah, alunan matang vokal Siti yang dilagukan indah dan kemas membuat khalayak terkesima.


SITI diiringi Awi Rafael yang merupakan salah seorang komposer muda untuk album Fragmen.


Mantap, dan itulah yang dicari khalayak dengan makna sebuah konsert akustik.

Selain lagu-lagu tersebut, Siti turut mendendangkan Engkau Bagaikan Permata, Jaga Dia Untukku serta Aku Cinta Padamu, Biarlah Rahsia, Azimat Cinta juga Kau Kekasihku.

Penghibur unggul itu turut mengambil kesempatan menjadikan konsert tersebut sebagai medan memperkenalkan untaian lagu dalam album Fragmen yang selama ini tidak dipersembahkan dengan banyak dalam sesebuah persembahan.

Ia termasuklah Warna Dunia, Terbaik Bagimu, Sanubari, Kau Sangat Bererti serta Lebih Indah.

Mendendangkan dua buah lagu kegemarannya iaitu Epilog Cinta Dari Bromley dan Suratan Atau Kebetulan, ia nyata punya signifikan tersendiri dalam perjalanan panjangnya selama ini.

Ulang tahun ke-20

“Saya menjadi penyanyi secara kebetulan, tetapi ia bertukar suratan apabila karier ini berkembang sehingga 20 tahun,” ujar Siti yang ditemui usai konsert tersebut di Istana Budaya, Kuala Lumpur minggu lalu.

Beliau tersenyum, ada lakaran puas dan teruja kerana berjaya menempuh 20 tahun perjalanan yang bukan mudah. Sebab itu, biar hanya mencuri masa dua minggu bagi menjayakan konsert akustik tersebut, ia dijayakan dengan semangat luar biasa.

Katanya: “Sewaktu mula aktif menyanyi pada usia 17 tahun, saya memang mempunyai beberapa impian seperti mahu membuat album atau melakukan konsert.


MELALUI Datuk Siti Nurhaliza Unplugged 2015, Siti memperdengarkan dengan jelas keampuhan vokalnya yang semakin matang dan masih enak didengar.


“Bagaimanapun, untuk berimaginasi tentang perjalanan 20 tahun seperti yang saya kecapi sekarang, memang tidak ada. Ini adalah perjalanan yang luar biasa.”

Isteri kepada Datuk Mohamed Khalid Jiwa atau Datuk K itu kemudian menyifatkan Datuk Siti Nurhaliza Unplugged 2015 sebagai pelengkap kepada siri konsert miliknya.

“Saya sudah melakukan semua jenis konsert, entah konsert yang bagaimana lagi ingin dilunaskan, tolong beri cadangan,” selorohnya kepada teman media.

Terkini, Siti memberitahu, buat pertama kalinya juga, beliau akan muncul dengan persembahan muzikal mengenai karier seninya.

Muzikal selama lapan hari pada November depan itu akan dipentaskan di Istana Budaya dengan menggunakan khidmat pelakon hebat tanah air untuk menggalas watak individu penting dalam hidupnya.

“Kami turut mencari seorang pelakon yang sesuai membawa karakter sewaktu saya belum berhijab. Tunggu ya, saya harap ia mengujakan kita semua,” ujarnya.

Ditanya bagaimana beliau melihat masa hadapan kariernya dalam tempoh 20 tahun akan datang, segera beliau berseloroh.

Dalam tawa, Siti berkata: “20 tahun akan datang saya sudah berusia 56 tahun. Larat lagi ke mahu menyanyi?

“Apapun, saya berdoa agar Allah sentiasa memberi kesihatan kepada saya kerana apabila sihat, Insya-Allah seseorang itu diberi kekuatan untuk terus bekerja.”

Ah, Datuk Siti Nurhaliza. Sekuat mana pun kita untuk merendah atau menidakkan keampuhan Siti, sekuat itu juga wanita berusia 36 tahun ini akan terus membuktikan bahawa beliau memang seri panggung terbaik bagi kita semua.