Shamsul penyelamat Elizad



Saat pengacara majlis mengumumkan ketibaan kedua mempelai, jelas terserlah sinar kegembiraan pada mata pengantin perempuan Siti Elizad Mohd. Sharifuddin, 31, yang manis diapit belahan jiwanya, Shamsul Baharin Rahman, 43.

Alunan lagu Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain mengiringi langkah pasangan pengantin dengan Siti Elizad yang kemas memaut lengan sang suami, sambil melempar senyuman kepada tetamu membangkitkan semerbak suasana cinta.

Anggun mengenakan busana songket rekaan Jimmy Couture, pandangan tetamu tidak lepas menyorot pasangan yang bagai pinang dibelah dua, terutamanya pada Shamsul yang pertama kali wajahnya didedahkan secara rasmi oleh wanita yang mesra dipanggil Ejad itu.

Sebetulnya, ini adalah majlis memperkenalkan Shamsul kepada umum setelah berita pernikahan mereka bocor hanya beberapa hari sebelum majlis resepsi dijalankan.

Mengulas lanjut tentang kronologi perhubungan mereka, Ejad memberitahu, dia dan Shamsul telah dinikahkan oleh bapanya, Mohd. Sharifuddin Baharuddin pada 11 Januari lalu hanya dengan sekali lafaz.

Ejad menerima tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang, mas kahwin berjumlah RM777 dan wang hantaran pula dirahsiakan.

Majlis pernikahan yang dijalankan secara tertutup di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu hanya dihadiri ahli keluarga terdekat kedua belah pihak.

Taat

Demi menjaga hati bapa, Ejad menurut kemahuan Sharifuddin apabila tidak mahu hal pernikahannya dihebahkan kerana pada ketika itu atas alasan keadaan kesihatan orang tuanya itu kurang baik.

Biarpun dituduh tidak jujur dan lebih teruk lagi menipu, Ejad berkata, semua itu bukan satu kepentingan baginya kerana apa yang dilakukannya adalah semata-mata untuk taat pada orang tua.

“Abah sebenarnya merajuk dengan saya apabila asyik menangguhkan tarikh perkahwinan. Hingga ke tahap dia langsung tidak bercakap dengan saya,” tuturnya.


SITI Elizad menangis memeluk bapanya, Sharifuddin sewaktu majls persandingan di Kampung Pengantin hujung minggu lalu.


Sebagai anak perempuan tunggal dan rapat dengan keluarga, Ejad tidak sanggup berperang dingin dengan ayah sendiri dan akhirnya dalam masa seminggu majlis pernikahan dia dan Shamsul dijalankan.

Menurutnya lagi, pada saat dia diijabkabulkan, tiada siapa mengenali Siti Elizad kerana drama Teman Lelaki Upahan (TLU) belum disiarkan di slot Akasia TV3 dan masih dalam proses penggambaran.

“Bagi saya, bukannya perkahwinan ini dirahsiakan. Cuma saya tidak menghebahkan kepada umum. Biasalah mulut orang, ketika TLU belum dikenali, apa saja saya buat tidak menarik perhatian.

“Kini selepas TLU meletup, semua menegur perlakuan saya sedangkan sejak dulu, sebagai pelakon inilah pekerjaan saya. Malahan suami sendiri tidak mempunyai halangan dan memberi izin,” jelasnya.

Ketika ditanya perasaan setelah semuanya selesai, titis-titis kaca jernih jatuh di pipinya yang mulus sambil tangannya erat menggenggam jari jemari suami.

Hiba mengenangkan arwah ibunya yang meninggal dunia dua tahun lalu, Nazariah Mohd. Salleh yang tidak sempat melihat dia berkahwin, Ejad berkata, andai arwah ibu masih ada pasti dia menjadi insan paling gembira pada majlis pernikahannya.

“Sewaktu arwah mama sakit, dia sempat berpesan pada saya dua perkara iaitu kembali aktif berlakon dan berkahwin. Hari ini, kedua hasratnya menjadi kenyataan tetapi mama tidak ada bersama,” serak suara Ejad menutur kata sambil air mata diusap Shamsul.

Shamsul yang setia memeluk bahu isteri turut menambah, antara sifat yang membuat dia jatuh hati pada Ejad adalah keakraban wanita itu dengan keluarga.

“Dia seorang yang sangat mementingkan keluarga. Apa sahaja keputusan yang dilakukan, dia fikirkan ibu bapa dan adik beradik dahulu. Paling penting, dia bukan hipokrit,” ujarnya sambil mengelus dagu Ejad manja.

Shamsul juga menyatakan perasaan terharu kerana Ejad menerima diri dan dua anaknya, Shakira Shamsul, 12, dan Syabil Shamsul, 9, hasil perkahwinan sebelum ini seadanya tanpa sebarang syarat mahupun peraturan.

Dia yang menduda selama dua tahun sebelum bertemu Ejad, berharap pernikahannya untuk kali ketiga ini kekal ke akhir hayat.


SALING melengkapi... Siti Elizad menyifatkan suaminya, Shamsul sebagai seorang penyelamat bagi dirinya yang hilang kasih sayang seorang ibu.


Sikap sama

Bagi Ejad pula, kematangan yang dimiliki oleh Shamsul menambah keyakinan dirinya memilih lelaki itu sebagai teman hidup dan imamnya.

Tambahnya lagi, kehadiran lelaki itu saat dia sedang kehilangan tempat bergantung banyak memberi semangat bagi Ejad meneruskan kehidupan.

“Ketika arwah mama meninggal dunia akibat sakit Parkinson dua tahun lalu, saya hilang arah dan abang (panggilan kepada Shamsul) hadir mendorong saya, membimbing saya dan mengingatkan saya tentang solat serta agama.

“Sikapnya itu tidak ubah seperti arwah mama,” akui Ejad sebak.

Ditebak tentang soal cahaya mata, Shamsul mencelah mengatakan mereka tidak terburu-buru untuk mendapat zuriat.

Memandangkan Ejad baru membuat kemunculan semula dan sedang mendapat permintaan ramai, Shamsul memberi ruang untuk isterinya menyambar peluang yang ada.

“Pada masa ini, Ejad sedang hangat selepas kejayaan TLU, tawaran filem dan drama mencurah-curah dan saya anggap itu juga rezeki. Barangkali dalam setahun lagi baru kami merancang untuk mendapatkan anak,” katanya disambut tawa halus.

Diusik tentang destinasi pilihan untuk berbulan madu, Ejad berkata, suaminya sudah bersetuju untuk melunaskan hasratnya yang mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah sejak dua tahun lalu.

Namun begitu, dia sendiri belum pasti bila tarikh tetap untuk menunaikan umrah kerana jadual penggambarannya padat sehingga bulan Mei.

“Saya memang sudah lama menyimpan niat untuk ke sana sejak kehilangan arwah mama dan kebetulan apabila abang bertanya mahu ke mana untuk berbulan madu, saya terus menjawab Mekah,” katanya mengakhiri bicara.