Farid Kamil terkilan

FARID mengakui semakin bersikap selektif terhadap filem-filem yang bakal dilakonkannya.


KISAH kontroversi yang melanda pasangan suami isteri, Farid Kamil dan Diana Danielle boleh diibaratkan seperti gulungan ombak yang membadai pesisiran pantai. Walaupun paluan gelora yang menghempas tidak tentu skala magnitudnya, namun pasir yang terhampar masih tetap menerima tujahan bertubi-tubi.

Selepas menghangatkan atmosfera dunia hiburan dengan isu cemburu yang melibatkan suaminya dan pelakon Nora Danish sekitar Januari lalu, Diana sekali lagi mencetuskan ribut kontroversi.

Kali ini, pelakon filem Magika itu tampil berani menggayakan coli pada sesi fotografi yang diaturkan oleh sebuah majalah fesyen untuk lelaki terbitan Mac lalu. Walaupun menerima banyak kritikan di blog-blog hiburan dan laman sosial, baik Farid mahupun Diana, masing-masing mengambil sikap mengunci mulut.

Justeru, sewaktu berkesempatan bertemu dengan Farid pada majlis tayangan perdana filem Abang Lejen di Cathay Cineplexes @Curve, Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini, peluang tersebut digunakan sebaiknya untuk mengajukan pelbagai soalan mengenai isu tersebut.

Tenang dan terus mengukirkan senyuman, Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 34, merungkai satu persatu persoalan yang selama ini menerawang di benak fikiran khalayak.

Terkilan

“Saya terkilan,” ungkapnya ringkas apabila diajukan soalan mengenai kesanggupan Diana Danielle hanya mengenakan coli bagi sesi fotografi dengan sebuah majalah baru-baru ini.

“Sejujurnya, saya tidak mempunyai sebarang komen mengenai gambar tersebut. Apa yang pasti, soalan-soalan itu (berkenaan isu gambar Diana) sepatutnya ditanya kepada pihak pengurusan Diana, ProKuyaStudios.

“Jika saya menjawab soalan-soalan itu daripada sudut pandang seorang suami, bermakna saya sudah mencampuradukkan soal peribadi dan karier. Kalau boleh, saya mahu elakkan perkara tersebut daripada berlaku,” katanya.

Sebelum ini, Farid pernah mewakili isterinya dan meminta maaf selepas isu cemburu yang dicetuskan Diana di akaun Instagramnya terhadap Nora Danish hangat diperkatakan umum.

Jadi, apabila diminta mengulas mengenai isu Diana bercoli dalam majalah, Farid menjelaskan, dia tidak mempunyai sebarang hak untuk melakukan perkara tersebut.

“Saya anggap perkara itu datang daripada dua cabang seni yang berbeza. Saya tidak ada hak untuk campur tangan mahupun menjawab dengan lebih lanjut,” katanya lagi.

Ditebak dengan soalan adakah Farid ada menasihati Diana dan duduk berbincang untuk mengelakkan perkara seperti itu daripada berulang kembali, tuturnya: “Saya hanya mampu berdoa kepada Allah dan berharap semuanya baik-baik sahaja.

“Mungkin ini (kontroversi) merupakan cabaran yang perlu ditempuh oleh seseorang anak seni demi mencipta nama sebagai pelakon legenda,” katanya yang turut menyimpulkan kontroversi sebagai satu perkara yang datang tanpa diduga.

Memilih

Walaupun seringkali dihambat dengan pelbagai kontroversi, Farid masih lagi mampu berdiri sama tinggi dengan pelakon-pelakon seangkatan dengannya.

Bermula dengan membawakan peranan kecil dalam filem seram berjudul Mistik pada tahun 2003, graduan jurusan Seni Persembahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu terus mengambil peluang tersebut mencipta nama sebagai pelakon.

Antara filem yang menaikkan nama Farid sebagai pelakon termasuk Evolusi KL Drift, Papadom, I’m Not Single, Lagenda Budak Setan dan Estet.

Begitupun, sejak akhir-akhir ini, rutin Farid sebagai pelakon tidak lagi serancak dahulu. Walaupun hadir dengan empat buah filem pada tahun lalu seperti Anak Jantan, Kaki Kitai, Pengantin Malam dan Apokalips X, pelakon yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu lebih selesa memilih karya-karya yang dekat dengan jiwanya.

Ditambah dengan faktor usia, Farid lebih mengutamakan kualiti sesebuah karya berbanding kuantiti filem yang dijayakannya.

“Sebenarnya, bukan tujuan saya berada dalam industri untuk menjadi pelakon yang jarang muncul di layar perak. Apabila difikirkan perihal umur, saya menjadi lebih memilih terhadap filem yang ingin saya lakonkan.

“Sebelum ini, saya mengejar kuantiti berbanding kualiti. Tetapi, kini, saya mengutamakan karya yang mampu diingati oleh penonton sehingga 20 tahun yang akan datang,” katanya.

Diusik dengan pertanyaan, sama ada umurnya masih sesuai untuk memegang watak hero ataupun tidak, Farid menjelaskan, dia akan terus berlakon selagi masih diperlukan.

“Saya akan kekalkan apa yang saya lakukan sekarang. Jadi, jika rezeki dan peluang masih ada, saya tidak akan sia-siakan,” ujarnya.

Abang Lejen

Melanjutkan perbualan mengenai filem terbaharunya, Abang Lejen, Farid menganggap ia sebagai sebuah karya yang unik dan sedikit berbeza jika dibandingkan dengan karya-karya komersial sedia ada.

“Filem ini boleh dikatakan berbeza berbanding dengan filem-filem yang pernah saya lakonkan. Abang Lejen mengangkat kisah kasih sayang dan konflik yang tercetus antara seorang adik lelaki dengan abangnya.

“Saya percaya, subjek ini jarang diketengahkan oleh pembikin filem. Pada masa yang sama, elemen humor dan romantik turut diselitkan dalam filem yang diarahkan oleh Azaromi Ghozali ini,” katanya.

Dalam pada itu, Farid menambah, antara perkara yang tidak boleh dilupakan sepanjang sesi penggambaran filem Abang Lejen ialah ‘kejutan’ yang diterimanya sewaktu menjayakan babak nyanyian dan tarian.

“Pengarah tidak memberitahu saya terlebih dahulu mengenai babak tersebut. Saya hanya tahu bahawa saya perlu menari dalam sebuah babak setelah tiba di lokasi.

“Selepas diajar koreografi, saya terus merakamkan babak tersebut sehingga lewat petang,” kata Farid sambil tertawa.

Filem Abang Lejen mengisahkan pasangan adik beradik bernama Ajim lakonan Farid Kamil dan Aman (Fadlan Hazim). Selepas kematian kedua ibu bapa, Ajim bertanggungjawab menguruskan kehidupan adiknya sehingga dewasa.

Sengketa antara Ajim dan Aman mula tercetus apabila rahsia kematian ibu bapa mereka diketahui oleh Aman.