Juara Pujaan ketengah konsep malar segar


JUARA Pujaan terbitan RTM memilih konsep malar segar sebagai teras utama program mingguan itu.


STESEN televisyen RTM tidak pernah jemu mengambil inisiatif menerbitkan program-program hiburan yang bermatlamat mencungkil bakat baharu dalam bidang seni suara.

Sejak lebih enam dekad beroperasi, bukan sedikit usaha yang dirintis oleh RTM menjejaki bakat-bakat seni yang akhirnya bergelar penghibur tersohor tanah air.

Melalui pelbagai program mencungkil bakat termasuk Bintang RTM, Bintang HMI dan berpuluh rancangan lain, nama-nama besar seperti Datuk Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Datuk Siti Nurhaliza, Liza Hanim dan ramai lagi merupakan antara produk kelahiran stesen televisyen terunggul itu.

Kini, RTM menerusi Unit Hiburan TV menerbitkan sebuah lagi rancangan pertandingan mencari penyanyi-penyanyi baharu yang dikenali sebagai Juara Pujaan pula yang ditayangkan pada setiap hari Sabtu pukul 9 malam di TV2.

Juara Pujaan bukan program sembarangan kerana cetusan idea ke arah penerbitan rancangan ini ialah mencari penyanyi-penyanyi baharu yang mempunyai minat dan kecintaan yang mendalam terhadap lagu-lagu malar segar.

RTM sengaja memilih konsep tersebut sebagai teras utama Juara Pujaan kerana menyedari lagu-lagu malar segar khususnya yang pernah popular di sekitar tahun 1960-an hingga 1990-an sangat masyhur dan sungguh dekat dengan masyarakat.

Dalam program Juara Pujaan itu, setiap bintang baharu yang ditampilkan setiap minggu diwajibkan menyampaikan sebuah lagu malar segar sementara lagu pilihan lain pula mengikut cita rasa mereka.

Tidak sekadar memberi keutamaan pada lagu-lagu malar segar, Juara Pujaan sebaliknya juga, turut memberi penghormatan kepada komposer dan penulis lirik yang aktif pada era muzik berkenaan.

Menerusi episod sulung Juara Pujaan misalnya, unit penerbitan Juara Pujaan memberi penghormatan kepada penulis tersohor negara, Habsah Hassan dengan menjadikan karya-karya beliau sebagai lagu wajib.

Menurut penerbit Juara Pujaan, Haliza Mat Kharsa, idea penerbitan program tersebut merupakan gabungan idea seluruh kakitangan Unit Hiburan TV yang berpendapat, konsep mengetengahkan lagu-lagu malar segar lebih dekat dengan penonton-penonton tempatan.

Beliau berkata, konsep sedemikian juga bertepatan dengan aspirasi dan citra RTM yang tidak pernah meminggirkan karya-karya terdahulu memandangkan khazanah muzik yang dimiliki stesen berkenaan sangat luar biasa.

“Bagaimanapun, kami juga tidak lupa memberi pilihan kepada bakat-bakat baharu menyampaikan sebuah lagu pilihan yang berkonsepkan kontemporari. Mereka bebas menyanyikan lagu pilihan yang mereka minati.

“Namun, lagu wajib harus berkonsep malar segar kerana nilai sentimental yang ada dalam lagu malar segar tiada tolok bandingnya,” kata Haliza mengulas mengenai konsep penerbitan Juara Pujaan.

Penerbitan Juara Pujaan secara mingguan tentu sekali menuntut idea dan kreativiti yang tinggi dan kerana itu juga, RTM tidak membataskan penerbit program itu hanya pada Haliza sahaja.

Sebaliknya, penerbit senior itu turut dibantu oleh beberapa penerbit lain iaitu Sarena Mohd. Salleh, Ain Sabrina On, Nur Ashidah Abd. Hamid dan Nor Khuzaimah Abd. Aziz yang secara berganti-ganti menerbitkan Juara Pujaan.

Berbeza dengan pertandingan realiti lain yang sebilangan besar memberi kepercayaan kepada penonton mengundi dan memilih peserta yang difikirkan sebagai berbakat, RTM sebaliknya, memberi kepercayaan kepada juri profesional untuk memilih peserta yang terbaik pada setiap minggu untuk dibawa ke peringkat suku akhir dan akhir.

Pada setiap minggu, Juara Pujaan yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur itu mengundang tiga juri profesional termasuk ikon yang karya-karya mereka menjadi pilihan untuk mengadili persembahan peserta.

Program ini juga dikendalikan oleh pengacara muda berbakat besar Alif Hadi yang pada setiap minggu akan digandingkan dengan deejay-deejay popular radio RTM seperti DJ Sonic KLfm, DJ Muaz dan DJ Odey dari Nasionalfm dan Dj Abby (Radio Klasik).

Kepada anda yang mungkin belum berkesempatan untuk menonton Juara Pujaan, pastikan temu janji anda pada setiap hari Sabtu pukul 9 malam di TV2. Juara Pujaan juga boleh ditonton di myklik.rtm.gov dan di RTM Mobile.