Darah Panas bongkar kehidupan di kota raya


FILEM Darah Panas memaparkan isu kepincangan masyarakat di ibu kota.


MELIHAT pada judulnya, pasti orang menyangka filem Darah Panas arahan Arjin Uppal membawa kisah kehidupan bohsia, mat rempit atau gengsterisme. Bagaimanapun, apa yang cuba diketengahkan pengarah muda berusia 27 tahun itu adalah lebih mendalam iaitu mengenai konflik hidup di kota raya.

Darah Panas sarat dengan pergolakan hidup anak kota yang berlaku tanpa kita sedari. Itulah yang ingin diketengahkan dalam filem kelima terbitan White Merpati Entertainment Sdn. Bhd.

Lebih menarik, filem tersebut bukan sekadar mempertaruhkan tiga aktor hebat, Sharnaaz Ahmad, Sofi Jikan dan Adam Corrie, malah filem berkenaan banyak memaparkan babak aksi yang mendebarkan.

Masakan tidak, sebuah kereta mewah BMW 3 Series dan sebuah motosikal berkuasa tinggi hancur dikerjakan ketika sesi penggambaran dilakukan.

Selain Sharnaaz sebagai Adi, Sofi Jikan (Aloi) dan Adam (Cicak), filem bergenre aksi romantik yang menelan belanja hampir RM2 juta itu turut menampilkan aktres jelita, Nur Fathia Abdul Latiff sebagai Syahana.

Mengisahkan Syahana, seorang gadis yang berpegang pada agama, namun bercita-cita menjadi seorang model Muslimah kerana terpengaruh dengan klip video di laman sosial.

Syahana berkenalan dengan Fandi melalui laman sosial dan meminta bantuan pemuda itu bagi merealisasikan cita-citanya tersebut. Syahana menyatakan hasrat kepada keluarganya, namun ditentang ayah dan abangnya. Dia tetap mahu meneruskan cita-citanya, lalu mengambil keputusan melarikan diri ke Kuala Lumpur.

Setibanya di ibu kota, Fandi membawa Syahana ke dunia pelacuran. Syahana tidak menyangka nasibnya jadi begitu. Cicak yang merupakan ketua rumah pelacuran telah membeli Syahana daripada Fandi.

Pengarah filem itu, Arjin Uppal berkata, mungkin ada yang berpendapat, isu diketengahkan sudah biasa dipaparkan dalam filem atau drama tempatan tetapi ia berbeza dengan Darah Panas.

“Masih banyak yang tidak kita ketahui mengenai pergolakan dan budaya hidup anak kota. Saya memaparkan apa yang terpendam tentang kejadian yang berlaku tanpa kita sedari. Isu seks bebas, pelacuran dan dadah cukup membimbangkan dan ia adalah gejala sosial yang tiada penghujungnya.

“Setiap masa dan ketika ada saja yang menjadi mangsanya, itulah yang kita tidak sedari selama hari ini. Besar harapan saya agar filem Darah Panas boleh dijadikan pengajaran buat golongan remaja.

“Saya memilih judul Darah Panas bukanlah kerana karakter tiga pelakon utama filem ini sebaliknya ia disesuaikan dengan aksi dan babak filem yang penuh mendebarkan,” katanya.

Arjin yang merupakan graduan bidang juruterbang di Sydney, Australia berkata, filem ini adalah arahan keduanya selepas filem Kerat 14.

Sebelum ini, Arjin pernah membantu bapanya, S. Baldev yang juga penerbit dan pengarah filem Akhirat, Kecoh Betul dan Rasuk sebagai penolong pengarah.

“Saya mengumpul banyak idea selepas menonton ratusan filem ketika mempunyai masa lapang. Ketika itu, saya masih menuntut dalam bidang kejuruteraan di Sydney. Idea inilah dikeluarkan satu persatu untuk menghasilkan filem di bawah terbitan syarikat perfileman bapa saya.

“Bagaimanapun, idea menghasilkan filem Darah Panas bukan datangnya daripada idea saya seorang, tetapi turut dibantu bapa dan abang. Saya akan pastikan setiap genre yang diterbitkan berbeza kerana mahukan kelainan dan sesuatu yang baharu untuk berkarya,” kongsinya.

Filem ini bakal menemui penonton di 70 pawagam seluruh Malaysia pada 4 Jun ini.

Filem yang menjalani penggambaran sekitar Oktober 2012 itu turut ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.