Sahabat selamanya tema filem Bella dan Jamie


BARISAN orang kuat yang bekerjasama menghasilkan filem Bella dan Jamie. Dari kiri, Izzue Islam, Fairul Nizam Ablah selaku pengarah, Khir Rahman, Juliana Evans, Liyana Jasmay dan Adriana Jasmay yang bertindak sebagai Pengarah Eksekutif Mermaid Studios.


DENGAN objektif mahu mengembalikan era industri perfileman negara ke arah lebih baik dan diterima ramai, pelakon Liyana Jasmay, 27, mengambil inisiatif menerbitkan sebuah filem berjudul Bella dan Jamie yang bersifat trendy dengan peredaran zaman.

Mengetengahkan konsep dan tema persahabatan sejati dalam kalangan anak muda, filem itu diterbitkan oleh syarikat produksi milik keluarga Liyana sendiri, Mermaid Studios.

Ia sekali gus menjadikan filem Bella dan Jamie lakonan Liyana sebagai Bella dan Juliana Evans (Jamie) itu sebagai filem pertama terbitan Mermaid Studios.

Idea dan skrip asal filem tersebut datangnya daripada Liyana sendiri dan bergabung bersama Fairul Nizam Ablah yang juga selaku pengarah bagi filem tersebut.

Bagi Liyana, idea menerbitkan sebuah jalan cerita yang mengikut arus semasa dan kena dengan jiwa penonton pada zaman sekarang menyebabkan dia tidak menunggu lama untuk menerbitkan filem bergenre santai seumpama itu.

“Pada mulanya saya belum memutuskan cerita ini untuk dijadikan sebuah filem sehinggalah saya terfikir, mengapa membazirkan idea yang diperah dengan otak dengan begitu sahaja?

“Jadi saya ambil keputusan untuk terbitkan sebuah filem yang kena dengan trend pada zaman sekarang. Sudah tentu filem ini menyasarkan golongan muda kerana saya tahu, konsep persahabatan sejati antara dua orang gadis begitu sinonim dengan jiwa anak muda masa kini.

“Selain trendy, jalan cerita yang ringkas, tidak terlalu berat dan bersifat realistik merupakan ciri-ciri bagi filem ini. Saya suka untuk membuat sesuatu perkara itu dengan pantas kerana saya percaya, kalau saya simpan idea untuk filem ini untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang, sudah tentu ia tidak lagi relevan pada masa tersebut,” terang Liyana.

Tambahnya, konsep dan mengikut kehendak penonton adalah dua perkara yang sangat memberi kesan kepada sesuatu naskhah itu sama ada ia diterima atau tidak oleh khalayak.

“Selalunya seseorang penerbit filem itu jarang untuk menitikberatkan soal trendy. Seharusnya, sewaktu mendapat idea untuk membuat sesebuah filem, idea tersebut tidak perlu diperam terlalu lama sehingga dua tahun kemudian barulah ia ditayangkan. Sebab perkara seperti itu boleh memberi kesan kepada minat penonton untuk pergi ke panggung wayang.

“Sebab itu, saya tekankan konsep yang mengikut peredaran semasa dalam filem ini. Untung atau rugi bukan soal utama, yang penting ia memberi kepuasan kepada saya untuk memberi sesuatu naskhah yang dekat dengan hati penonton,” ujarnya.

Filem Bella dan Jamie sudah memulakan penggambaran sejak 21 April lalu di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Damansara. Penggambaran dijangka memakan masa selama dua minggu.

Dalam pada itu, mengulas tentang pemilihan pelakon pula, Liyana memberitahu bahawa nama pelakon Juliana Evans dan Khir Rahman memang sudah lama tersemat dalam benaknya ketika kali pertama bercadang mahu menerbitkan filem tersebut.

“Saya suka ambil seseorang yang sudah ada keserasian dengan saya sebelum ini. Sebelum ini, saya pernah bekerjasama dengan Juliana, jadi keserasian itu sudah lama ada antara kami berdua. Sebab itu saya awal-awal lagi memberikan tawaran filem ini kepada Juliana sejak awal Januari lalu.

“Begitu juga dengan Khir Rahman dan Izzue Islam. Saya tahu bagaimana cara kerja mereka. Sebab itu saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan orang yang mempunyai disiplin tinggi,” tegas Liyana.

Memandangkan ia merupakan filem pertama terbitan syarikat milik keluarganya, Liyana berkata, proses pembikinan filem tersebut hanya mengeluarkan kos perbelanjaan yang kecil sementelah segala perancangan dari segi pakaian, skrip dan lokasi sudah disediakan dengan rapi.

Dalam perancangan, Bella dan Jamie bakal ditayangkan di pawagam menjelang awal tahun depan.

Filem tersebut mengisahkan tentang dua orang sahabat Bella dan Jamie yang sangat akrab. Hubungan mereka bertambah ceria apabila mendapat tahu ibu dan bapa mereka mahu mendirikan rumah tangga.

Namun, konflik mula tercetus apabila Jamie mendapat tahu yang Bella telah menjalinkan hubungan dengan bekas kekasihnya, Reza lakonan Izzue.

Kemuncak filem itu menjadi semakin rumit apabila persahabatan mereka tergugat selepas Jamie merancang untuk menggagalkan perkahwinan ibu bapa mereka kerana dia tidak mahu mempunyai hubungan saudara tiri dengan seorang pengkhianat seperti Bella.