Cabang baharu kerjaya seni Nad Zainal

SETELAH hampir lapan tahun bergelar pelakon, Nad Zainal mula mencari sisi baharu untuk membawa watak yang lebih berat berbanding karakter remaja dan kebudak-budakan.


PERJALANAN seni pelakon genit Nad Zainal mahu digerakkan ke arah transisi baharu setelah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Popular baru-baru ini.

Bermula sebagai pelajar Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), pelakon berusia 24 tahun itu jelas tidak menoleh ke belakang, malah semakin aktif mengembangkan sayap dalam industri tempatan.

Mengakui rezekinya semakin lebat sejak ‘dihadiahkan’ sebuah trofi paling popular oleh peminat, namun anak jati Kuala Lumpur itu bijak menyusun rentak. Dia mahu mengatur strategi agar tidak tenggelam dalam timbunan pelakon baharu.

Mengimbau perjalanan watak yang pernah digalas sebelum ini, Nad merasakan telah tiba masanya untuk melakukan anjakan dalam karakter lakonannya.

Bagi mencari sisi berbeza dalam menterjemahkan watak, Nad kini mengamalkan sikap lebih selektif sewaktu menerima tawaran berlakon berbanding pada awal kemunculannya sekitar tujuh tahun lalu.

Mewujudkan cabang watak baharu, Nad ingin melihat transformasi dalam portfolio kerjayanya sebagai anak seni, sekali gus berusaha melakukan transisi agar lebih variasi dan tidak klise.

“Seseorang pelakon itu perlu mempunyai pengalaman dalam membawa pelbagai watak kerana itu sememangnya telah menjadi tanggungjawab. Bukan setakat itu sahaja, melakonkan peranan yang sama setiap kali terima tawaran akan menyebabkan penonton berasa jemu.

“Memandangkan sebelum ini hampir kesemua karakter saya melibatkan watak komedi dan kebudak-budakan, justeru fokus saya pada tahun ini lebih kepada mencari watak berat.

“Saya ingin membawa karakter wanita matang seperti ibu dan seboleh-bolehnya tawaran watak remaja atau keanak-anakan akan dikurangkan,” jelas pemilik nama sebenar, Farah Nadia Zainal Abidin itu.

Berkongsi cerita mengenai pemilihan watak, pelakon yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-25 pada 16 Mei ini mengidamkan untuk membawa peranan antagonis, tidak kira di kaca televisyen mahupun layar perak.

Merasakan watak tersebut mempunyai nilai komersial tersendiri, perhatian penonton pasti akan tertumpu kepada watak jahat kerana ia adalah kunci sesebuah cerita.

“Bagi saya, membawa watak jahat akan memberi peluang kepada seseorang pelakon untuk belajar lebih banyak perkara terutama menaikkan emosi amarah dalam kalangan penonton.

“Impak daripada penonton turut berbeza jika dibandingkan dengan membawa watak baik kerana ia terhad dan sering menjadi mangsa buli,” tuturnya yang kini sedang mengikuti program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pizza Hut selama tiga bulan bermula April lalu.

Adaptasi novel

Mengajak Nad bercerita tentang kecenderungan penghasilan drama adaptasi novel yang mudah berada di carta teratas dalam senarai wajib tonton audiens ketika ini, Nad mengakui trend berkenaan.

Setiap kali munculnya drama adaptasi di kaca televisyen, adakalanya secara automatik drama dan pelakon yang membintangi karya tersebut menjadi perhatian.

Perkara itu turut terkesan terhadap pelakon drama rantaian Pembantu Rumah Tuan Rumah yang kini sedang rancak ditayangkan menerusi slot Iris di TV3.

Berkisar tentang kehidupan seorang wanita yang kecewa akibat ditipu tunang sendiri, Taufeeq lakonan Hisyam Hamid, gadis itu nekad melarikan diri dan bekerja sebagai pembantu rumah di kediaman Emir (Zoey Rahman).

Meskipun wajahnya menjadi tunjang utama drama tersebut, Nad punya persepsi tersendiri dalam menterjemah karya adaptasi novel ke layar kaca.

“Memang benar saya membintangi drama adaptasi, namun secara teorinya, perubahan cita rasa penonton dilihat akan memberikan kesan negatif terhadap sentuhan penulis skrip.

“Jika melihat kepada drama terdahulu, kebanyakan mereka bertungkus lumus dalam melahirkan idea asal, sebaliknya pada masa kini mereka lebih kepada mengolah semula cerita.

“Bukan bersikap prejudis terhadap karya adaptasi, namun seharusnya kita memberi peluang kepada penggiat seni untuk menghasilkan penulisan mengikut pendapat masing-masing,” ujar Nad saat diminta mengulas tentang kebanjiran drama dan filem adaptasi di pasaran.

Tambahnya lagi, dia tidak berniat untuk mengkritik ataupun berlagak pandai menghakimi mana-mana pihak, sebaliknya bintang muda itu hanya berharap agar pembikin lebih diberi peluang menghasilkan karya olahan sendiri.

Idam kerusi pengarah

Sejajar dengan tempoh lapan tahun bergelumang dalam industri, Nad kini mula merencana agenda baharu dalam mengubah masa depan kerjayanya. Dia turut mengimpikan berada di kerusi pengarah suatu hari nanti.

Menjadikan belakang tabir sebagai medan rujukan, pelakon berbintang Taurus itu tidak lelah mempelajari selok-belok pengarahan di set penggambaran tanpa duduk membuang waktu.

“Bagi saya peluang yang ada sewaktu berada di set penggambaran sama seperti sedang belajar di dalam kelas. Tambahan pula, saya rajin bertanya dan berbincang dengan kru mengenai fungsi serta kegunaan sesebuah peralatan penggambaran.

“Saya turut berjumpa dengan pengarah dan penulis skrip bagi mempelajari teknik penghasilan sesebuah karya selain meminta pandangan daripada mereka tentang dunia pengarahan,” kata pelakon yang memiliki ketinggian 155 sentimeter itu.

Dalam usaha membuktikan kesungguhannya itu, Nad turut mencari peluang menyertai pertandingan filem pendek anjuran stesen televisyen. Dia menonjolkan bakat terpendam sebagai pengarah dan penulis skrip.

Sebagai selebriti, Nad tidak menolak kemungkinan bahawa penyertaannya itu mungkin akan mewujudkan rasa tidak selesa kepada pesaing lain, namun segala kemungkinan bergantung kepada rezeki masing-masing.

“Sekiranya penyertaan saya akan mewujudkan jurang dengan peserta lain, mungkin saya perlu menukar nama kepada nama pena agar tidak dikenali.

“Konsep drama arahan saya nanti akan lebih kepada tema kekeluargaan seperti filem Kabhi Khushi Kabhie Gham. Tidak bermaksud saya meniru karya mereka tetapi nilai seperti itu akan diterapkan dalam karya saya nanti,” katanya bersungguh-sungguh.

Mencari cinta

Beralih soal hati, Nad hanya mampu mengukirkan senyuman seolah-olah mengetahui soalan yang bakal diajukan kepadanya. Meskipun terukir senyuman di bibir, pelakon itu tidak mampu mengelak saat diajukan perihal peribadinya.

Terdahulu, pelakon filem Histeria itu pernah menjalinkan hubungan dengan pelakon Azwan Kombos, namun kisah cinta mereka tidak kesampaian dan putus di tengah jalan sekitar tahun lalu sebelum dikaitkan pula bercinta dengan pengacara Hefny Sahad.

Meskipun pengalaman dahulu banyak memberi impak kepada sisi peribadinya, Nad bagaimanapun tidak menjadikan hal sebegitu sebagai halangan untuk jatuh cinta dan memiliki sebuah keluarga kelak.

“Sejujurnya, buat masa sekarang saya masih solo dan tidak bersedia untuk menjalinkan sebarang hubungan istimewa dengan sesiapa. Namun, sekiranya benar saya mempunyai teman istimewa, perkara itu biarlah menjadi rahsia peribadi dan tidak perlu dihebahkan.

“Melihat kepada pengalaman lalu, saya kini selesa mengambil sikap berdiam diri dan kekal tutup mulut daripada terus menjaja kisah cinta kepada umum,” jelas Nad yang tidak meletakkan sebarang sasaran usia untuk mengakhiri zaman bujang.

Fokus terarah kepada karier, siapa tahu suatu hari Nad Zainal akan berjaya sebagai pengarah wanita pula.