Jelajah Eropah Salammusik

Salammusik bakal mengadakan persembahan selama sebulan pada sebuah festival muzik di Belgium dan Belanda bermula 21 Julai depan.


Jika diputar kembali masa, ada suatu waktu lagu Cerita Kedai Kopi nyanyian Salammusik galak dipasang dan boleh dikatakan menjadi satu fenomena kerana menyentuh tentang lumrah kehidupan masyarakat kita.

Ironi, memang itu matlamat anak-anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Salammusik iaitu mahu setiap ciptaan yang dihasilkan boleh diambil pengajaran dan bukan sekadar hiburan.

Unik dan tersendiri, Salammusik juga bukan satu kumpulan yang menawarkan penampilan menarik mahupun gaya yang cantik, sebaliknya mereka cukup dikenali sebagai penggiat seni yang realistik.

Selepas memenangi Anugerah Industri Muzik (AIM19) ke-19 pada tahun 2012 dan penghasilan album O setahun selepas itu, lama mereka menyepi tanpa single mahupun album kompilasi.

Akhirnya selepas hampir dua tahun menghilang, Salammusik kembali dengan mempertaruhkan single bertajuk Terima Kasih.

Jemputan berbayar

Vokalis kumpulan itu, Ashraaf Salam A. Azlan berkata, single terbaharu yang dihasilkan ditujukan khas buat semua pihak yang sentiasa menyokong kumpulan mereka, dari mula berkecimpung sehingga menjejak langkah ke luar negara.

“Isi lagu Terima Kasih cukup ringkas, ia satu tanda penghargaan Salammusik dan berharap semua pihak akan teruskan sokongan kepada kami sehingga ke akhirnya.

“Penghasilan lagu ini juga seiring dengan kejayaan kami dijemput hadir ke festival muzik di Eropah pada bulan Julai nanti untuk tahun ketiga berturut-turut,” kata Salam ketika ditemui pada sidang akhbar pelancaran video muzik Terima Kasih di Studio Gema Pelagu, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Selain Salam, ahli lain terdiri daripada Talal Zahnan (keyboard), Eyza Bahra (penyanyi), M. Irhas (trompet), Bulya (dram), Firdaus Aziz atau Payung (trompet), Ferdaus Nadzir (bass), Ammar Habir (gitar), Jay Tan (penulis puisi) dan Kamal Razali (gitar).

Meskipun perjalanan seni mereka agak perlahan di negara sendiri, namun Salammusik sebenarnya sudah mempunyai peminat di luar negara.

Bermula dengan penyertaan kali pertama jelajah Eropah pada tahun 2013 secara persendirian tanpa sebarang tajaan, kegigihan Salammusik untuk mengembangkan muzik Malaysia di luar negara mula membuahkan hasil.

Pada tahun ini, Salammusik secara rasminya diberi penghormatan untuk membuat persembahan di dua buah negara iaitu Belgium dan Belanda untuk acara festival terbesar di Eropah bermula 21 Julai depan.

Salah satu festival yang akan dihadiri Salammusik di Belgium ialah Zomer van Antwerpen dengan jangkaan penonton hadir mencecah 280,000 orang.

Bangga membawa nama Malaysia untuk diperkenalkan kepada peminat muzik seantero dunia, Salam berkata, setiap susunan lagu, persiapan pentas dan pemilihan pakaian diselit juga elemen tradisional tanah air.

Tambah manis, kehadiran mereka untuk memeriahkan festival berkenaan atas jemputan berbayar. Salammusik juga tidak dipanggil sekadar mengisi tempat kosong tetapi terdapat permintaan untuk membuat persembahan di situ.

“Walaupun membuat persembahan di pentas antarabangsa tetapi 80peratus daripada lagu yang bakal dinyanyikan oleh Salammusik adalah berbahasa Melayu.

“Bagi kami, muzik itu universal. Bahasa bukan penghalang untuk sesuatu muzik itu diterima dan dicintai,” tuturnya yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini di perantauan bersama ahli lain.

Menurut Salam lagi, antara perkara menarik yang pernah dialami ketika membuat persembahan di festival luar negara ialah terdapat beberapa orang pengunjung mendekati mereka dan menyatakan kekaguman terhadap elemen muzik dibawakan.

“Pengunjung berkenaan berkata pada saya, walaupun kami tidak memahami bahasa lagu anda, namun tahu apa yang cuba disampaikan melaluinya.

“Mendengar kata-kata sedemikian, apa lagi yang kami harapkan. Matlamat sudah tercapai, masyarakat dunia sudah kenal bagaimana muzik tradisional kita,” ulasnya yang mahu kejayaaan Salammusik menembusi pasaran dunia menjadi pembuka langkah pada pemuzik lain untuk berbuat perkara sama.

Lain tempat, lain peminat

Ketika diajukan tentang perbezaan menyertai festival di luar negara, Salam berkata, peminat di luar negara lebih bersifat terbuka berbanding dengan penggemar muzik tempatan yang lebih sopan.

Meskipun begitu, menurutnya, Salammusik tidak pernah membezakan antara peminat di luar dan dalam negara kerana mempunyai keistimewaan masing-masing.

“Mereka yang menghadiri festival di luar negara hadir ialah berseronok dan akan benar-benar menikmati setiap muzik yang dipersembahkan.

“Di Malaysia juga, jika kita pergi ke konsert atau gig pasti suasananya berbeza dengan konsert yang diadakan di Jom Heboh misalnya, yang lebih kepada konsep bersantai bersama keluarga.

“Matlamat Salammusik adalah membuat persembahan dan semua peminat dapat menerimanya dengan baik,” jelasnya yang lebih selesa jika dapat berinteraksi dengan penonton apabila berada di pentas.

Selain itu, Salam sempat menyatakan pendiriannya yang tidak bersetuju dengan penyataan bahawa penonton di festival lebih bersemangat kerana mereka mengambil bahan terlarang seperti dadah.

Menurut Salam, pilihan untuk mengambil dadah adalah keputusan yang dibuat oleh individu, bukan sesuatu yang wajib seperti jika mahu berseronok di festival, maka perlu mengambil dadah.

“Ia satu perbuatan yang merepek kerana tiada bukti mengatakan bahawa untuk menghayati muzik, kita perlu khayal.

“Itu semua tanggungjawab masing-masing dan tiada kaitan dengan kehadiran ke festival muzik,” tuturnya tegas.

Muzik sebagai terapi

Mengulas lanjut tentang penghasilan album ketiga mereka, kumpulan ini lebih selesa untuk tidak terburu-buru dan mengambil masa supaya karya yang dihasilkan kelak berkualiti dan tidak mahu diukur dengan kuantiti.

Mengakui sejak beberapa tahun ini mereka sibuk menguruskan jelajah ke Eropah dan pembinaan studio, Gema Pelagu menyebabkan proses pembikinan album terhenti seketika.

Sudah merakamkan beberapa buah lagu untuk album baharu, kekangan masa dan komitmen peribadi beberapa ahli kumpulan menghadkan masa untuk Salammusik tampil dengan single sehingga Terima Kasih dihasilkan.

“Kami lebih suka mengambil masa untuk menghasilkan kerja yang terbaik dan memuaskan.

“Muzik itu terapi, kalau dibuat dalam keadaan tertekan pasti tidak akan menjadi. Jadi, biar lambat asalkan tidak mengecewakan,” ujarnya menyimpul kata.