Status janda buat Sari sibuk


SARI YANTI menjelaskan dakwaan sikap tidak profesional itu hanya satu isu kecil dan tidak perlu diperbesarkan.


Sejak kebelakangan ini, kelibat Sari Yanti kurang kelihatan di kaca televisyen berbanding pada awal penampilannya dalam industri.

Biarpun dilihat sepi daripada menghasilkan produk baharu, Sari sebenar sedang sibuk menguruskan produksi selain menyusun semula kerjaya seninya.

Jarang dihurung kontroversi, kisah rumah tangga yang dibina bersama Mohd. Eddy Casmady pada 16 Januari 2009 mendapat perhatian apabila mereka sah bercerai secara tebus talak sebanyak RM10,000 di Mahkamah Syariah Seremban, Negeri Sembilan pada 11 Disember tahun lalu.

Berakhir dengan ceritera rumah tangga, ibu kepada Barr Al-Aliy, 5, dan Basit Al-Haq, 3, kini dilanda cerita baharu apabila ada pihak melabelkan Sari sebagai seorang yang tidak profesional serta acap kali lari daripada media.

Menjawab segala persoalan, Sari yang ditemui Kosmo! dalam majlis pelancaran produk baharu RediGlow di sebuah hotel di ibu kota jelas tidak melenting saat diajukan soalan tersebut, sebaliknya hanya membalas dengan senyuman.

KOSMO!: Menerusi sebuah ruangan pojok, Sari dikatakan bersikap tidak profesional apabila membatalkan satu sesi fotografi pada saat-saat akhir. Apakah komen anda mengenai isu itu?

Saya mengakui perkara itu berlaku, namun segalanya telah diberitahu terlebih sebelum sesi fotografi bermula. Benar, tujuannya untuk mempromosikan telefilem Perangkap Perkahwinan tetapi saya bukannya tunjang utama cerita tersebut. Saya hanya menjalankan tugas selaku penerbit.

Bolehkah anda jelaskan situasi sebenar dan bagaimana perkara itu terjadi?

Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini dan malu kerana perkara itu berlaku. Namun, saya telah menghubungi dan menjelaskan hal sebenar mengenai perkara itu kerana segalanya diuruskan oleh Thumb Suhaimi. Sepatutnya mengikut perancangan, saya dan Dynas akan bertolak ke Perak pada sebelah petang untuk menjalani sesi penggambaran bersama pihak Royal Belum. Kemudian, mereka meminta agar jadual diubah berikutan cuaca yang mendung selain bimbang keselamatan di sana nanti. Saya pula menumpang menaiki kenderaan bersama Dynas untuk ke sana. Disebabkan itu segala jadual kerja saya berubah ekoran hal tersebut. Bagaimanapun, saya telah memaklumkan hal itu terlebih awal kepada penulis berkenaan.

Adakah tindakan anda itu menjejaskan sesi fotografi yang seharusnya diadakan bersama pelakon utama telefilem Perangkap Perkahwinan iaitu Nadiya Nisaa dan Amy Mastura?

Apa yang saya tahu segalanya berjalan lancar. Sesi fotografi itu tetap juga diteruskan meskipun tanpa kehadiran saya. Perkara itu juga tidak perlu diperbesarkan kerana isunya kecil. Saya mengharapkan agar semua pihak memahami situasi sebenar kerana ini adalah pertama kali saya terpaksa membatalkan sesi fotografi pada saat akhir.

Selain daripada dakwaan tidak profesional, muncul desas-desus mengatakan anda kini kerap lari daripada bertemu media. Apakah sebenarnya yang berlaku?

Agak lucu bagaimana perkara itu berlaku (ketawa). Perkara itu tidak benar sama sekali kerana saya tidak pernah lari daripada media. Seperti hari ini, saya menjawab pertanyaan media namun itu bergantung sama ada jawapan itu memuaskan hati semua pihak atau tidak. Pada saya ini hanya permainan sesetengah pihak yang cuba mencetuskan isu.

Beralih kepada kehidupan peribadi, bagaimanakah kehidupan anda setelah bergelar janda serta pembahagian masa antara menguruskan anak-anak dengan kerjaya?

Segalanya seperti biasa. Memandangkan sekarang musim cuti sekolah, saya banyak menghabiskan masa dengan anak-anak kerana jika hari biasa mereka akan bersama bekas suami. Saya akan memastikan segala urusan kerja dihabiskan terlebih dahulu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada mereka.

Bolehkah kongsikan serba sedikit mengenai perkembangan kerjaya seni anda sekarang?

Dalam masa terdekat ini saya akan memulakan sesi penggambaran sebuah naskhah raya bertajuk Inayah yang bakal bersiaran di saluran Astro. Selain itu saya juga membintangi drama bersiri sempena Ramadan di Astro Oasis (saluran 106) berjudul Mail Dan Sudir Sambut Ramadan yang akan mula ditayangkan 15 Jun ini pukul 7.30 malam. Saya juga terbabit dengan sebuah lagi naskhah arahan pelakon hebat Elly Suriati bertajuk Ramadan Berteduh Syawal.