Julia, ratu Raja Kapcai


JULIA menjalani latihan lakonan selama enam bulan anjuran Finas bagi memantapkan lagi bakat seninya sebagai pendatang baharu.


BAGI peminat drama bersiri Asam Pedas Untuk Dia pasti mengenali seraut wajah kacukan yang membawa watak Syafinas. Syafinas merupakan kekasih kepada Ziyad lakonan Syukri Yahaya. Meskipun masih berusia setahun jagung dalam industri, bakat wanita kacukan Melayu-Itali, Julia Marin mula menarik perhatian pihak produksi tempatan.

Menjadi artis di bawah naungan Metrowealth (MIG), pemilik nama lengkap Julia Farhana Marin pada awalnya tidak dibenarkan untuk menceburkan diri dalam bidang lakonan oleh ibunya kerana masih muda.

Dia sudah mula mahu menjadi pelakon sejak berusia 12 tahun. Namun, selepas dipujuk, minat untuk bergelar anak seni akhirnya terlaksana sebaik sahaja dia tamat pengajian dan memiliki diploma dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

“Saya telah memberitahu mama (panggilan buat ibunya) untuk menjadi artis ketika berusia 12 tahun. Sewaktu itu saya memang teringin sangat untuk menjadi pelakon. Namun mama menghalang, katanya saya perlu habis belajar sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

“Berkat daripada kesabaran, saya akhirnya berjaya memenuhi permintaan mama, sekali gus merealisasikan impian untuk berkecimpung dalam dunia seni,” ujar Julia yang merupakan bekas pelajar jurusan Komunikasi Massa.

Berkongsi pengalaman sebelum bergelar pelakon, Julia pernah hadir ke sesi uji bakat filem Ratu The Movie pada tahun 2011 tanpa pengetahuan ibunya. Berjaya mendapat tawaran watak pelakon pembantu, minat Julia mendapat tentangan oleh ibunya disebabkan usianya baru menjengah 17 tahun ketika itu.

Seiring masa silih berganti, Julia akhirnya berjaya mencapai impian bergelar pelakon dan kini membintangi beberapa buah drama termasuk Ella Fitra, Asam Pedas Untuk Dia, Syurga Tanpa Cinta, Warna Cinta Impian dan Putera Makassar. Terkini wanita berusia 22 tahun itu bakal muncul dalam filem ke-105 terbitan MIG bertajuk Raja Kapcai.

Berlakon bersama barisan pelawak terkenal seperti Fad (Bocey), Syuk SYJ, Rahim (R2), Serina Redzuawan dan bintang MIG, Shahiez, Julia nyata teruja apabila diberi kepercayaan menggalas watak utama dalam filem tersebut.

“Pastinya peluang ini akan saya gunakan sebaik mungkin. Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak MIG yang memberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pelakon utama dalam filem ini.

“Sebagai pendatang baharu, masih banyak perkara yang perlu saya pelajari untuk kekal lama dalam industri. Disebabkan itu juga, saya telah menjalani latihan lakonan yang dianjurkan oleh Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) selama enam bulan.

“Sepanjang tempoh itu saya diajar bagaimana mahu memahami watak dengan lebih baik termasuk teknik emosi yang betul,” tutur wanita kelahiran Sabah itu.

Bakal ditayangkan sekitar penghujung tahun ini, filem Raja Kapcai berkisahkan tentang dunia perlumbaan permotoran.

Memegang watak sebagai Tasha iaitu adik kepada Zack lakonan Fad Bocey yang telah terpisah sejak kecil, Tasha dijaga oleh bapanya Rudy (Rahim R2), manakala Zack pula dibesarkan bersama ibunya Minah (Serina Ridzuawan).

Bercerita mengenai bidang lakonan, Julia mengakui minat untuk menjadi pelakon telah lama wujud sejak berusia kanak-kanak. Ketika itu, menurut Julia, dia akan pasti akan melakonkan semula karakter yang diminatinya bermula daripada cara bercakap, pergerakan sehingga kepada tingkah laku watak tersebut.

Perkara itu kadangkala akan berlanjutan sehingga dia menemui watak lain untuk dilakonkan. Biarpun kedengaran sedikit pelik, hal itu telah sebati dengan dirinya selain dianggap biasa oleh ahli keluarga yang lain. Kecenderungan itu membuatkan diri gemar menyertai aktiviti seni teater sewaktu bersekolah di Australia.

Jelas anak pertama daripada tiga orang adik-beradik itu, dia pasti akan menyertai aktiviti pementasan teater di sekolah (Australia) sehingga mereka kembali semula ke tanah air sewaktu dia berusia 12 tahun.

Menjadikan aktres Lisa Surihani sebagai mentor, Julia nyata teruja saat bercerita mengenai idolanya itu. Baginya, Lisa bijak dalam merencana agenda kerjaya seninya sehingga mampu meraih ke kedudukan sekarang.

“Pada saya dia seorang pelakon yang hebat dan mempunyai daya tarikan tersendiri di layar perak. Selain itu, saya juga kagum melihat perkembangan kerjaya seninya yang kini antara barisan pelakon bertaraf kelas A.

“Sementelah, dia juga merupakan salah seorang daripada bekas bintang yang pernah digilap oleh MIG. Jadi perkara itu mengukuhkan lagi minat saya terhadap Lisa,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Dalam perkembangan lain, selain membintangi Raja Kapcai, tahun ini juga menyaksikan Julia menggalas tanggungjawab sebagai hos bagi sebuah rancangan, Projek Kampus yang bersiaran di saluran HyppTV dan sibuk menjalani sesi penggambaran sebuah telemovie raya.

Memegang watak sebagai hantu yang dahagakan darah lelaki duda untuk kekal cantik, telemovie raya itu akan bersiaran di saluran Astro Ria (104) bertajuk Hantu Raya Tumpang Beraya yang turut dibintangi oleh Atikah Suhaime, Farid Kamil, Epy Kodiang dan Sharisa Haris Chong.