Animasi Malaysia cetus fenomena baharu



SEKUMPULAN kanak-kanak kelihatan teruja melihat beberapa karakter animasi yang diperbuat daripada kadbod yang disusun semasa Pameran Animasi Malaysia 2015 ([email protected] 2015) di pusat beli-belah The Summit Subang USJ, baru-baru ini.

Kanak-kanak berusia dalam lingkungan lima hingga 10 tahun itu seperti baru kali pertama melihat beberapa karakter animasi yang suatu ketika dahulu pernah mencetuskan fenomena dalam kalangan kanak-kanak pada sekitar tahun 90-an.

Apabila kru Jurnal bertanyakan tentang salah satu karakter animasi yang dipamerkan, ter­nyata kanak-kanak tersebut tidak tahu, malah tidak pernah mendengar siri animasi yang dimaksudkan iaitu Usop Sontorian.

“Pameran ini bertujuan untuk mengimbas nostalgia sewaktu zaman kegemilangan animasi tempatan yang pernah popular suatu masa dahulu,” kata Pengarah komunikasi [email protected] 2015, Shamsaimun Ezil yang juga merupakan Setiausaha Persa­tuan Animasi Malaysia (Animas).

Katanya lagi, acara tersebut secara tidak langsung dapat memupuk semangat perpaduan masyarakat melalui animasi serta mengetengahkan aspek budaya.

Mengimbas kembali sejarah, contoh pertama animasi di dunia ialah wayang kulit yang pada ketika itu banyak mengetengahkan karakter dewa-dewa yang dimainkan dalam bentuk patung dan sendi tangan dalam animasi guntingan (cutout) yang digerak-gerakkan.

Seorang animator dari Jerman, Lotte Reiniger kemudiannya mendapat ilham melalui permainan wayang kulit untuk menghasilkan sebuah filem yang bertajuk The Adventures of Prince Achmed pada tahun 1926.

Fenomena


ANIMASI Usop Sontorian yang pernah mencetuskan fenomena dalam siri animasi sekitar tahun 90-an.


Di Malaysia, dunia animasi mula diperkenalkan sekitar tahun 1946 apabila tertubuhnya Unit Filem Malaya yang kini dikenali sebagai Filem Negara (Finas) sekaligus menerbitkan siri animasi pendek pertama iaitu Hikayat Sang Kancil (1978) yang ditayangkan pada tahun 1983 yang dihasilkan tanpa suara.

Selepas penerbitan siri animasi pertama itu, beberapa animasi lain diterbitkan sekitar tahun 1984 hingga 1987 iaitu Sang Kancil dan Monyet, Sang Kancil dan Buaya, Gagak Yang Bijak, Arnab Yang Sombong dan Singa Yang Haloba.

Menurut Timbalan Presiden 1 Animas, Ameir Hamzah Hasim, animasi sebenarnya te­lah wujud lebih awal iaitu dalam bentuk lukisan catan pada dinding-dinding gua yang dianggap memenuhi beberapa prinsip asas animasi itu sendiri.

“Animasi mula hangat diperkatakan apabila Presiden Animas, Kamarudin Ismail atau Kamn Ismail mengadakan usahasama dengan kartunis majalah lawak popular Ujang di bawah produksi Kharisma Pictures Sdn. Bhd,” tuturnya sewaktu ditemui di Anifest.

Tambahnya lagi, hasil usahasama dan gabungan idea yang digarap akhirnya telah menghasilkan siri animasi pertama Malaysia iaitu Usop Sontorian sehingga mencetuskan feno­mena luar biasa bermula pada tahun 1996.

Penerbitan siri animasi Usop Sontorian dalam bentuk 2D te­lah menggunakan kaedah komputer sepenuhnya berbanding cara tradisional di mana setiap pergerakan watak dilukis satu demi satu di atas plastik seluloid iaitu sejenis plastik jernih yang memakan masa yang lama.

“Setiap pergerakan selama satu saat, sebanyak 24 lukisan akan dilukis dan ia memerlukan kos yang tinggi sehingga mencecah ratusan ribu ringgit untuk membayar kos tenaga kerja yang ramai berbanding selepas kaedah digital digunakan yang lebih murah selain cepat dan menjimatkan masa,” jelas Amier yang sangat mengagumi pelakon dan pelawak veteran, Mat Sentul yang merupakan seorang penggiat animasi sekitar era 50-an melalui karya yang ditonjolkan dalam beberapa buah filemnya seperti Mat Bond.

Ibarat kejadian air laut yang ada pasang dan surutnya, siri animasi di Malaysia seakan tenggelam ekoran kegawatan ekonomi pada tahun 1997-1998 yang memberi kesan kepada seluruh warga penerbitan animasi tempatan.

Era baharu


SEBAGAI pensyarah, Siti Hajar mahukan pelajarnya boleh berfikir secara kreatif bagi menghasilkan karya baharu yang bermutu dalam dunia animasi.


Sejak itu, dunia animasi tempatan dilihat suram daripada karya-karya yang mampu mencetuskan fenomena dan kegilaan dalam kalangan peminat siri kartun tempatan sehingga munculnya siri animasi Upin dan Ipin sekitar tahun 2006 terbitan produksi Les Copaque Productions (LCP) Sdn. Bhd.

Berbeza dengan animasi Budak Kampung daripada karya Datuk Lat, cerita tentang kehidupan seorang budak kampung itu diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara kerana ianya sudah dikenali melalui penerbitan komiknya terlebih dulu sebelum dihasilkan dalam bentuk animasi.

Siri animasi Upin dan Ipin yang mengangkat tema kehidupan seharian kanak-kanak tadika dari pelbagai kaum yang tinggal di kampung, ternyata memberi satu evolusi baharu dalam memikat hati penonton tanpa mengira pe­ringkat umur.

Dijayakan oleh dua orang adik-beradik kembar sebagai watak utama dan disokong oleh beberapa karakter lain seperti Opah, Kak Ros dan rakan-rakan seusia iaitu Mail, Ehsan, Fizi, Mei Mei dan Jarjit, siri Upin dan Ipin berjaya mewarnai semula siri animasi di Malaysia.

Sewaktu ditebak de­ngan persoalan tentang kekuatan pada animasi Upin dan Ipin, Pengarah Urusan Les Copaque Production Sdn. Bhd., Burhanuddin Md. Razi memberitahu, jalan cerita yang menarik dan asli merupakan kunci utama pada kejayaan siri tersebut.

“Upin dan Ipin membawa penonton dalam realiti sebenar kehidupan kanak-kanak dalam kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia,” ujarnya yang tidak menolak penghasilan siri Upin dan Ipin yang dibuat dalam bentuk 3D menjadikan ia tambah istimewa.

Tuturnya lagi, penghasilan animasi Upin dan Ipin tidak diplagiat daripada mana-mana animasi sedia ada dari dalam mahupun luar negara sekali gus menjadi ia suatu penghasilan produk yang bersifat asli.

Paling menarik, siri animasi itu telah ditayangkan di 14 buah negara termasuk di Turki selain mencatatkan rekod keuntungan tertinggi dalam laman perkongsian YouTube dari seluruh Asia Tenggara oleh Head of Global Content yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Burhanuddin dalam pada itu memberitahu, seperti menjadi kelaziman sesuatu perkara itu pasti akan berhadapan de­ngan beberapa kekangan dalam menghasilkan sesuatu produk berkualiti.

“Kebanyakan penggiat seni akan berhadapan de­ngan masalah utama dari segi modal yang besar,” tuturnya tanpa banyak berselindung.

Peminjam suara kepada watak Tok Dalang itu bagaimanapun tidak menganggap perkara tersebut merupakan masalah utama, sebaliknya meletakkan jalan penceritaan yang lemah dan kreativiti sebagai punca utama kepada mutu sesuatu animasi.

“Penggiat selalunya cuba untuk menghasilkan sesuatu produk melebihi apa yang telah dibuat di pasaran antarabangsa, malangnya ia tidak dapat di­terima,” jelasnya yang menganggap perbuatan itu sama seperti mencetak hasil kerja orang lain.

Kreatif


BIDANG animasi di Malaysia semakin berkembang dan mampu bersaing dengan pasaran animasi global.


Pendapat yang sama turut disuarakan oleh Ketua Pusat Pengajian Animasi di Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Perdana, Siti Hajar Aznam apabila meletakkan kekurangan kandungan dan pengisian dalam produk animasi merupakan kelemahan dalam berkarya.

“Kandungan karya yang baik seharusnya mempunyai skrip yang bagus, penceritaan yang menarik dan mempunyai kreativiti tersendiri,” tuturnya yang telah membentangkan karya animasi tempatan dalam satu forum animasi di Australia beberapa tahun lalu.

Dalam pembentangan yang diadakan di University of Sydney itu, ahli panel dari beberapa buah negara telah memberikan komen tentang karya animasi Malaysia yang dikatakan terlalu bersifat tempatan sehingga hasilnya sukar untuk menembusi pasaran luar negara.

Sebagai pensyarah animasi, Siti Hajar melihat perkembangan animasi di Malaysia kini telah mengalami perkembangan yang baik sejajar dengan sokongan yang diberikan oleh Industri Kreatif Negara melalui dana yang salurkan.

“UiTM sendiri misalnya amat menyokong industri animasi dan banyak melahirkan graduan-graduan berkualiti yang te­lah bekerja di syarikat-syarikat produksi animasi terkemuka,” ujarnya yang berharap pelajarnya mampu mencari identiti sendiri dalam menghasilkan sesuatu animasi.