Saya cuma jadi diri sendiri – Nina



TIDAK hidup dek pujian, tidak mati dek cacian. Pepatah ini mungkin sesuai untuk menggambarkan apa yang tersemat dalam sanubari pelakon jelita, Nina Iskandar.

Banyak perkara pahit dan manis dilalui oleh anak seni kelahiran Brunei ini sepanjang mengabdikan diri dalam cabang lakonan.

Terdahulu, Nina atau nama sebenarnya, Nur Akmalina Iskandar, 24, pernah tampil begitu manis, ayu dan jelita dengan imej berhijab. Fasa tersebut berlaku sekitar tahun lalu selepas kata Nina dia menutup aurat untuk menjadi Muslimah yang lebih baik.

Malah, Nina juga pernah membicarakan tentang penghijrahannya yang selari dengan tuntutan pemerintah negara kelahirannya, Brunei. Ketika itu hidup Nina tampak bahagia, lebih-lebih lagi apabila dirinya menjadi tunangan orang.

Namun, sebagai manusia kita hanya mampu merancang. Jika Nina pernah berharap perubahannya bersifat kekal, ternyata apabila Allah mengkehendaki, sebaliknya yang terjadi. Beberapa bulan lalu, penampilan Nina dilihat kembali seperti dahulu.

Dia tidak lagi menyembunyikan rambut di sebalik hijabnya. Hal itu didedahkan sendiri oleh Nina menerusi gambar yang dimuat naik dalam akaun Instagram miliknya.

Sebaik gambar imej terkininya dihidu, Nina dihujani pelbagai reaksi negatif. Tidak melatah, malah kepada media juga Nina enggan memberi sebarang kerjasama. Isu tersebut dibiarkan berlalu seperti angin.

Lebih buruk lagi, pertunangannya dengan ahli perniagaan, Ahmed Haiqal, 31, yang diikat pada tahun lalu juga tidak dapat diselamatkan. Mereka kini sah putus tunang dan Nina kembali menjalani kehidupan sebagai wanita yang tidak mempunyai teman lelaki.

Bertemu dengan wanita itu di Aceh, Indonesia baru-baru ini, Nina tidak lari. Dia sebaliknya menyambut Kosmo! dengan baik. Biar bertali arus soalan disua kepadanya, wanita ini hanya tersenyum. Satu persatu soalan dijawab dengan penuh berhemah.

Diajak bercakap tentang tindakannya untuk melepaskan hijab selepas hanya beberapa bulan melalui fasa tersebut, kata Nina, semua keputusan yang dilakukan adalah atas kehendak dirinya sendiri.

"Jujur saya katakan, keputusan untuk bertudung atau sebaliknya adalah didorong oleh kemahuan saya sendiri. Ia bukan dipengaruhi sesiapa dan saya tidak perlu memuaskan hati semua pihak. Saya yakin dengan keputusan yang diambil. Justeru, saya terima dengan hati terbuka apa orang mahu kata tentang tindakan ini. Apa yang penting, saya lebih tahu dan kenal diri sendiri.

"Apa yang boleh saya kata, hati manusia berubah. Saya tidak terkecuali. Saya cuma harapkan peminat doakan saya untuk menjalani hidup yang lebih sempurna, insya-Allah," ujar Nina yang kini sibuk menjalani penggambaran drama berjudul Lari Mira.

Bercakap mengenai imejnya yang disifatkan lebih berani oleh sesetengah pihak setelah tidak lagi berhijab, Nina ternyata mempunyai alasan tersendiri untuk menangkis segala nista negatif tersebut. Dia kini diasak pula dengan tindakannya mewarnakan rambut kepada warna perang.

Namun tegas Nina, tindakan tersebut diambil kerana komitmen kerja.

"Saya mewarnakan rambut atas tuntutan dan komitmen watak yang sedang saya lakonkan dalam Lari Mira.

"Jangan fikir bukan-bukan. Saya masih lagi tahu batas agama. Saya tahu ramai yang bercakap tentang perkara tersebut. Apa yang boleh saya lakukan? Saya tiada kuasa untuk menghentikan pendapat orang terhadap saya.

"Saya hanya mahu menjadi diri sendiri dan selalu ingatkan kepada diri bahawa semua yang berlaku ke atas diri adalah harga yang harus dibayar demi bergelar anak seni," tuturnya lagi.

Biar sedar dirinya berdepan dengan pelbagai kritikan, namun pelakon yang pernah membintangi filem Perempuan Muka Surat Tujuh itu, banyak perkara yang dipelajarinya kini. Tanpa segan silu dia mengaku melakukan banyak kesilapan dalam hidup dan perkara itu yang membawa dirinya ke lorong fasa lebih matang.

"Manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan termasuklah saya. Saya juga hanya manusia biasa seperti orang lain. Apa yang sudah berlalu, biarlah berlalu. Lebih baik fikirkan perkara yang akan berlaku pada masa depan. Jadikan semalam sebagai pengajaran," ungkapnya optimis sambil tersenyum manis.


PERTAMA kali bergandingan, Nina dan Erlandho mengharapkan drama Lari Mira menerima sambutan memberangsangkan.


Lari Mira

Dalam perkembangan lain, Nina sekarang sedang sibuk menjalani penggambaran drama bertajuk Lari Mira di Aceh, Indonesia.

Berlakon di samping pelakon baharu kelahiran Indonesia bernama Erlandho Saputra, Nina menyifatkan pengalaman tersebut merupakan antara yang paling mencabar sepanjang bergelar pelakon.

"Sepanjang berkampung di sini banyak perkara baharu yang dipelajari. Kehidupan penduduk di sini telah banyak berubah sejak bencana tsunami melanda pada tahun 2004. Mereka lebih menitikberatkan soal agama setelah peristiwa menyayat hati itu.

"Hal tersebut membuatkan saya berasa sangat bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang meskipun banyak lagi yang tidak sempurna dalam diri yang harus diperbaiki," katanya.

Sementara itu, Erlandho berasa bertuah kerana diberi kepercayaan untuk berlakon sebagai watak utama dalam drama tersebut.

"Bukan mudah untuk saya dapat watak ini. Saya betul-betul bekerja keras untuk sampai ke tahap ini. Pada mulanya saya gagal uji bakat.

"Bagaimanapun Alhamdulillah, rezeki ternyata memihak kepada saya apabila diberi peluang kedua oleh pihak produksi. Saya betul-betul bersyukur," ujarnya yang pernah membintangi drama berjudul Munajat Cinta.

Tambahnya lagi, dia sudah lama mahu melebarkan sayapnya sebagai pelakon di Malaysia tetapi tidak berhasil atas kekangan masa dan peluang.

"Kakak saya tinggal di Selangor dan dia selalu inginkan saya mencuba nasib sebagai pelakon di Malaysia. Ternyata, rezeki di Malaysia baru bermula dengan diberi peluang berlakon dalam drama ini.

"Di Indonesia, pelakon sinetron diberi perhatian yang lebih daripada pelakon filem termasuk dari segi bayaran. Saya sendiri tidak mahu dicop sebagai pelakon sinetron. Saya mahu dikenali atas dasar bakat bukan rupa paras," kata pelakon berusia 36 tahun itu.

Bercerita lebih lanjut soal drama yang bakal ditayangkan selepas raya itu, masing-masing memegang watak sebagai Mira (Nina) dan Adi (Erlando).

"Watak sebagai Mira sangat mencabar bagi saya. Dia merupakan seorang gadis moden serta tidak tahu langsung soal agama.

"Cerita ini berdasarkan daripada kisah benar iaitu kisah tsunami yang berlaku pada tahun 2004," ujar Nina.

Tambah Nina, watak Mira membangun dengan adanya karakter Adi yang merupakan penyelamat kepadanya selepas dia terlibat dengan bencana tsunami tersebut.

Dalam pada itu, Erlandho menyatakan, dia membuat persiapan rapi untuk menjayakan watak Adi.

"Memandangkan ini merupakan pengalaman pertama saya berlakon dengan produksi Malaysia, saya berikan yang terbaik bagi menghidupkan watak Adi.

"Saya boleh dikatakan umpama ‘malaikat’ kepada Mira yang berjaya membawa wanita itu keluar dari kepompong jahil yang dipelopori oleh satu sindiket pemerdagangan manusia di Aceh," ujar Erlandho bersemangat.


NINA dan Erlandho menjalani penggambaran drama Lari Mira di Aceh, Indonesia dan Malaysia.


Ramadan dan Syawal

Diajak berbicara tentang bulan Ramadan, kedua-dua pelakon itu mempunyai cerita yang ingin dikongsi bersama peminat.

Menurut Nina, Ramadan kali ini dia fokus kepada penggambaran drama Lari Mira di Aceh dan Kuala Lumpur.

"Walaupun berpuasa, kerja tetap berjalan seperti biasa. Di Aceh, aktiviti pada waktu malam tidak dibenarkan sama sekali. Jadi, kami melakukan penggambaran pada waktu siang. Banyak penduduk tempatan merasa pelik melihat imej saya berambut perang.

"Banyak kali juga ditahan oleh penguasa tempatan kerana di Aceh undang-undang Islam dipraktikkan dengan begitu sempurna sekali," ungkapnya.

Nina berkata, Syawal nanti dia akan pulang ke Brunei selama seminggu bersama keluarga tersayang.

Dalam pada itu, Erlandho berkata, selepas penggambaran drama Lari Mira tamat, dia akan kembali semula ke Jakarta.

"Insya-Allah, saya ingin sekali bekerjasama dengan produksi Malaysia selepas ini. Saya ingin lihat dulu reaksi orang Malaysia apabila drama ini ditayangkan di sana nanti.

"Mungkin Aidilfitri nanti saya akan curi masa untuk ke rumah kakak di Shah Alam, Selangor," ujar pelakon berwajah tampan itu.