Unplugged, dua dekad Siti Nurhaliza


SITI melancarkan album Unplugged yang rakamannya diambil daripada Konsert Unplugged Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya. (Dari kiri), Siti, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia & Singapura, Kenny Ong Chun Eng dan Mujahid Abd. Wahab.


Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin melengkapkan dua dekad pembabitannya dalam industri muzik dengan pelancaran album terbaharu yang berjudul Unplugged pada Rabu lalu di Duchess Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Menurut Siti, album tersebut cukup istimewa kerana ia merupakan hasil rakaman daripada Konsert Unplugged Datuk Siti Nurhaliza yang berlangsung di Istana Budaya pada 7 April lalu.

“Memang album Unplugged ini agak istimewa kerana ia berbeza dengan album sedia ada. Sepanjang 20 tahun menyanyi, saya sudah buat pelbagai album antaranya tradisional, pop dan bersama kumpulan orkestra. Bagaimanapun rakaman lagu secara unplugged membuatkan muzik itu lebih menonjol dan memberi rasa yang berbeza.

“Meskipun dalam album Unplugged banyak lagu lama tetapi ia memberi pengalaman baharu untuk peminat kerana terdapat lebih daripada 20 lagu diadun menjadi medley,” tutur Siti.

Bagaimanapun daripada 18 buah lagu yang dimuatkan dalam album tersebut, tiga buah lagu merupakan lagu baharu iaitu Mikraj Cinta, Engkau dan Menatap Dalam Mimpi. Kata Siti, tiga buah lagu baharu itu merupakan bonus untuk peminat yang membeli album berkenaan.

“Bagi saya apa salahnya memberi bonus kepada peminat yang membeli album ini dengan memuatkan tiga buah lagu baharu. Kebanyakan lagu lama sudah mesra di telinga peminat, jadi saya ingin beri kejutan kepada mereka,” luah Siti.

Bercakap tentang single pertamanya daripada album Unplugged iaitu Mikraj Cinta, kata wanita berusia 36 tahun itu, beliau sudah lama menyimpan hasrat untuk merakamkan lagu ketuhanan terbaharu. Justeru, beliau memilih bekerjasama dengan penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun untuk single pertama tersebut.

“Mikraj Cinta sebuah lagu yang indah hasil Hafiz Hamidun. Walaupun dia dikenali sebagai penyanyi nasyid tetapi berjaya memberi nafas moden dan elemen timur tengah yang saya inginkan dalam lagu tersebut.

“Sebenarnya sejak terlibat dengan persembahan Sirah Junjungan di Istana Budaya, saya sudah menyimpan niat untuk keluarkan sebuah lagu ketuhanan. Alhamdulillah, niat saya terlaksana apabila lagu Mikraj Cinta berjaya dihasilkan dan dilancarkan pada bulan Ramadan,” tutur Siti.

Tambah istimewa, terang Siti, album Unplugged itu juga akan diterbitkan dalam bentuk piring hitam dan berada di pasaran selepas hari raya. Ujarnya, penerbitan semula album piring hitam itu tidak hanya membangkitkan nostalgia tetapi juga sebagai langkah daripada pihaknya untuk mendidik peminat mendapatkan album yang original.

“Salah satu cara untuk membuatkan peminat membeli album yang original adalah bentuk luaran sesebuah album dan isi dalamnya. Selain menawarkan muzik indah dan kulit album yang cantik dipandang, album piring hitam mempunyai nostalgia tersendiri yang tidak boleh didapati di medium lain. Saya yakin ia akan membantu penjualan album,” ujar Siti.

Album berbentuk fizikal Unplugged yang merupakan hasil kerjasama pihak Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. dan Universal Music Sdn. Bhd. itu menerima sambutan menggalakkan apabila telah terjual sebanyak 5,000 unit sejak dipasarkan pada 30 Jun lalu. Peminat juga boleh mendapatkan album tersebut secara digital menerusi iTunes, Spotify, Deezer dan KKBox.

Umrah

Beralih bicara kepada rutin hariannya pada bulan Ramadan, Siti memberitahu tahun ini beliau belum berkesempatan untuk menjejaki bazar Ramadan. Selain jadual kerja yang padat, beliau juga bimbang akan diserbu orang ramai jika ke bazar Ramadan sekali gus mengganggu pengunjung yang mencari juadah berbuka.

“Saya rindu suasana di bazar Ramadan kerana ketika kecil pernah membantu ibu bapa berniaga di bazar. Tahun ini belum sempat ke bazar sebab sibuk dan jika pergi ke bazar saya bimbang tidak boleh bergerak kerana dikerumuni peminat.

“Bagi melepaskan kerinduan, saya akan meninjau bazar Ramadan dari dalam kereta sahaja. Cukuplah dapat melihat suasana bazar Ramadan dari jauh,” katanya yang sering memasak juadah untuk berbuka puasa.

Selain itu, Siti juga kembali kepada rutin tahunannya apabila akan menunaikan umrah bersama suami, Datuk Khalid Mohamad Jiwa. Menurutnya yang akan bertolak ke Mekah pada minggu ini, beliau akan berada di sana selama seminggu sebelum pulang ke Malaysia untuk menyambut hari raya.

“Alhamdulillah, tahun ini saya akan menunaikan umrah bersama suami dan beberapa orang rakan. Saya akan pergi selama seminggu dan pulang beraya di Malaysia. Sebenarnya setiap tahun saya rasa rindu untuk berpuasa di Mekah, suasananya berbeza dengan Malaysia. Itu yang menyebabkan saya rasa terpanggil untuk ke sana hampir setiap tahun.

“Saya harap pemergian ke Mekah kali ini akan mendapat keberkatan Allah. Doakan yang terbaik buat saya,” kata Siti.