Azraai Khor letak jawatan


AZRAAI (tengah) dilaporkan akan meletak jawatan selaku jurulatih Kelantan ekoran gangguan ‘tangan ghaib’ dalam pasukan.


SELEPAS mempamerkan aksi hambar dalam saingan Liga Super ketika ini, Kelantan menerima tamparan hebat apabila pe­ngendali pasukan, Mohd. Azraai Khor Abdullah dilaporkan bakal melepaskan jawatannya itu dalam masa terdekat.

Sumber Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mendedahkan, pengendali berusia 63 tahun itu berbuat demikian selepas hilang sabar dengan ke­renah ‘tangan ghaib’ yang mengganggu tugasnya mengemudi pasukan, sekali gus menyaksikan The Red Warriors semakin hilang sengat.

Dedah sumber itu lagi, Azraai memberitahu, beliau sudah rimas dengan keadaan tersebut sehingga mengakibatkan banyak perancangannya untuk memperkemaskan pasukan terbantut gara-gara kerenah ‘tangan ghaib’ ini.

“Dia (Azraai) sudah menghantar surat peletakan jawatannya kepada KAFA dan mahu berehat daripada terus mengendalikan pasukan. Azraai berkata, jika dia te­rus bimbing Kelantan, dikhuatiri prestasi pasukan akan menjadi lebih teruk.

“Daripada keadaan menjadi lebih buruk, Azraai memberi­tahu lebih baik dia mengundurkan diri dan memberikan tugas itu kepada mereka yang lebih layak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kota Bharu semalam.

Katanya, Azraai percaya Kelantan masih mampu memperbaiki kedudukan seterusnya kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Dalam pada itu, usaha wartawan Kosmo! untuk menghubungi Azraai bagi mendapatkan komen tidak berhasil.

Azraai dilantik menjadi jurulatih Kelantan pada 24 Mac lalu bagi menggantikan Goerge Boateng.

Sejak mengambil alih tugas daripada Boateng, Azraai melakar lima kekalahan, satu menang dan satu seri dalam saingan Liga Super setakat ini.

Pencapaian terbaik Azraai ialah membimbing Kelantan mara ke final Piala FA sebelum tumbang 1-3 kepada ­Lions XII.

Tambah sumber itu lagi, Azraai mengakui kecewa dengan sumbangan yang dipamerkan oleh pemain import dan menyifatkan prestasi mereka hanya gah pada nama sahaja.

“Azraai kata, dia boleh te­rima kekalahan kepada ­Lions XII tetapi ada beberapa pemain import gagal mempamerkan aksi sebenar berbanding prestasi lampau.

“Tambah Azraai lagi, jika dia keluarkan pemain itu, ada orang akan marah dan mempersoalkan tindakan itu, sedangkan pemain terbabit gagal memberikan sumbangan kepada pasukan,” dedah sumber itu lagi.

Katanya, Azraai mengucapkan terima kasih kepada KAFA kerana memberikannya peluang mengendalikan pasukan.