Mengejar komitmen kerja

Ardell Aryana percaya kerja kuat dan tidak berputus asa merupakan kunci kejayaan.


IBARAT kata pepatah, usaha tangga kejayaan. Barangkali pepatah tersebut menjadi pegangan utama bagi pelakon yang namanya mula melonjak sejak beberapa siri drama lakonannya mendapat perhatian pemerhati dan peminat tempatan seperti Baby Ana Untuk Siapa dan Asam Pedas Untuk Dia. Pelakon baharu itu dikenali dengan nama pentas Ardell Aryana.

Mahu terus melangkah sehingga mencapai satu tahap yang memuaskan hasrat dan cita-citanya sebagai pelakon, Ardell mengakui banyak cabaran dan halangan yang perlu ditempuhinya sepanjang menceburi bidang lakonan. Sementelah, inilah satu-satunya periuk nasinya buat masa kini.

Empunya nama sebenar, Nurul Hidayah Mohd. Amin yang tidak lokek dengan senyuman dengan ramah berkongsi tentang rencana serta rutin hidupnya yang kian sibuk.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan dari mula saya berkecimpung dalam bidang ini sehingga ke hari ini. Saya tidak mahu mengeluh apabila ada cakap-cakap mengatakan nama saya sebagai pelakon masih lagi samar-samar walaupun sudah empat tahun bergelar pelakon.

“Bagi saya, rezeki sentiasa ada untuk orang yang rajin berusaha. Jadi, saya perlu berusaha lebih keras dan memberikan komitmen seratus peratus dalam bidang ini. Rezeki saya semakin melimpah ruah sejak menjayakan watak Sarah dalam drama Baby Ana Milik Siapa. Saya bertambah bersemangat apabila ramai berpuas hati dan memuji lakonan saya dalam drama tersebut,” ujarnya penuh optimis.

Getus Ardell, banyak lagi perkara yang perlu dipelajarinya dalam cabang lakonan. Katanya, ia merangkumi soal teknikal dan kerja belakang tabir supaya kerja yang dilakukannya kini bukan sekadar lakonan semata-mata. Dia mahu menjadi seorang pelakon yang penuh ilmu tentang pekerjaan yang dilakukannya.


SELAIN berlakon, Ardell juga mempunyai bakat menulis skrip.


Tidak putus asa

Akui Ardell, saiz badannya yang kecil menjadi isu kepada pengarah untuk mengambilnya berlakon sebagai watak utama dalam sesebuah produksi. Namun begitu, dia tetap bersyukur dengan rezeki yang masih lagi ada buat dirinya dalam bidang lakonan.

“Sejujurnya, memang ada isu berkenaan saiz badan saya kerana ramai pengarah mahukan heroin yang mempunyai saiz fizikal wanita Asia normal. Saya berketinggian cuma 150 sentimeter. Kadangkala ada tawaran lakonan yang hampir menjadi milik saya tetapi ditolak oleh kerana saiz saya yang begitu kecil.

“Namun begitu, saya tetap percaya pada rezeki dan yakin bahawa masih ada ruang dan peluang untuk saya, insya-Allah pasti ada,” luahnya bersemangat.

Bercerita lebih lanjut mengenai filem pertamanya iaitu CCTV, Ardell gembira kerana diberi peluang untuk berlakon di bawah arahan pengarah baharu, Daven R..

“Seronok bekerja dengannya kerana banyak memberi tunjuk ajar yang berguna kepada saya. Sebenarnya ketika pergi ke sesi uji bakat filem tersebut, saya fikir hanya terpilih untuk membawakan watak pembantu. Tidak sangka pula ia merupakan watak utama. Apa pun, saya sudah melakukan yang terbaik dan saya berharap saya dapat menonjolkan bakat dalam banyak filem lain selepas ini,” tuturnya.

Tulis skrip

Dalam kesibukan rutinnya sebagai pelakon, siapa sangka ada bakat terpendam lain yang selama ini terselindung di sebalik wajah jelita gadis berbintang Aries ini.

Ardell juga mempunyai minat dan bakat dalam bidang penulisan skrip. Katanya, dia menulis skrip untuk sebuah drama yang bakal ditayangkan tidak lama lagi berjudul Penipuan Seorang Ibu.

“Saya bersyukur kerana dapat menonjolkan bakat dalam bidang penulisan skrip. Terima kasih kepada pengurus saya iaitu Abang Fadzil yang memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk terus memperbaiki diri menjadi anak seni yang lebih berkaliber.

“Tidak lupa kepada rakan seperjuangan, Yana Samsuddin yang sudi memberi tunjuk ajar kepada saya untuk berjinak-jinak menulis skrip. Saya akan terus menulis jika ada kelapangan,” katanya penuh semangat.

Selain itu, Ardell juga dilamar oleh sebuah produksi televisyen untuk mengacarakan sebuah program.

“Ia masih dalam proses perbincangan lagi. Apa yang saya dengar ia adalah sebuah program memancing dan saya harap saya dapat melakukan yang terbaik sekiranya ia menjadi satu kenyataan,” ujarnya.


JARANG tampil feminin, Ardell baru-baru ini dituduh sebagai tomboy. Dia bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.


Signifikan peminat

Percaya tulang belakang kepada survivalnya dalam bidang hiburan selama ini berpunca daripada sokongan padu peminat, Ardell sangat menghargai jasa mereka yang memberi sokongan kepadanya.

“Saya bangga dan bersyukur kerana dikurniakan peminat yang memahami dan memberi sokongan yang penuh kepada saya. Kami selalu berkomunikasi menerusi aplikasi WhatsApp dan itu menjadikan ikatan semakin utuh. Saya selalu berpegang kepada moto ‘tanpa peminat, siapalah kita’ dan rasanya semua selebriti juga memegang moto yang sama.

“Saya sendiri terkejut peminat sudi memakai baju-T tertera nama dan akaun Instagram saya apabila menghadiri mana-mana acara,” tutur Ardell menutup perbualan.