Khidmat penghantaran makanan sihat



Apabila jam menunjukkan pukul 12.30 tengah hari, Siti Noorwahiza Abdul Wahap, 35, mula bersedia untuk menunggu bekalan makanan tengah harinya. Eksekutif dalam bidang perbankan itu tidak gusar memikirkan di mana lokasi untuk menikmati makan tengah hari setiap hari kerjanya iaitu dari hari Isnin hingga Jumaat.

Ini memandangkan, dia telah membuat pesanan makanan daripada sebuah perusahaan makanan yang turut menyediakan khidmat penghantaran harian secara percuma, Dietliciouss.

Menariknya, menu yang disediakan oleh perusahaan itu adalah makanan sihat, sekali gus bersesuaian dengan dirinya yang mahu menjaga kesihatan.

“Bahan-bahan yang digunakan biasanya daripada material organik, berkualiti dan menu yang dibuat divariasikan serta diolah supaya menjadi juadah sihat. Saya masih dapat memakan spageti, nasi berlaukkan asam pedas ikan atau masak lemak ayam namun bezanya ia disediakan secara sihat.

“Dalam tempoh sebulan, kira-kira RM300 atau RM400 dihabiskan untuk makanan tengah hari sihat ini. Ia berbaloi kerana jika dihitung dengan bahan yang diguna, nilainya sama jika saya membeli dan memasak sendiri menu-menu tersebut,” jelasnya yang menjadi pelanggan setia Dietliciouss sejak awal penubuhan premis tersebut pada April tahun lalu.

Hasrat awalnya melanggan makanan sihat tersebut adalah untuk mengurangkan berat badan yang dahulunya mencecah 87 kilogram (kg).

Bagaimanapun, setelah berjaya mengurangkan sehingga 10kg, dia masih meneruskan langganan itu kerana mahu menjadikan pemakanan sihat sebagai budaya selain menjaga kesihatan memandangkan keluarganya mempunyai sejarah penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis.

Bagi anak kelahiran Ipoh, Perak itu, pemakanan adalah faktor penting yang perlu dijaga dalam mengekalkan kesihatan badan selain tidak menolak senaman juga perlu dilakukan bagi memastikan penurunan berat badan cepat berlaku.

Punca

Empat tahun lalu, Malaysia ‘dianugerahkan’ sebagai juara dalam kategori negara memiliki penduduk paling gemuk di rantau Asia dengan sekurang-kurangnya 48 peratus rakyatnya mengalami masalah obesiti.


NORHUDA melakukan proses pembungkusan makanan sebelum disejukbekukan untuk dihantar kepada pelanggan jarak jauh.


Jika ditelusuri, situasi tersebut berpunca daripada gaya pemakanan yang tidak sihat dalam kalangan rakyat negara ini yang kaya dengan juadah mewah dan wajib dicuba seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik. Juadah-juadah tersebut tinggi dengan kandungan lemak, garam dan gula.

Disebabkan itu, kepekaan dalam memilih bahan untuk memasak perlu dititikberatkan bagi menghasilkan badan yang sihat dan cergas dalam menjalani kehidupan seharian.

Atas dasar keprihatinan tentang fenomena kegemukan dan gaya hidup yang tidak sihat ‘memanggil’ Norhuda Zainol, 35, untuk mewujudkan Dietliciouss dalam menggalakkan amalan pemakanan sihat dalam kalangan masyarakat.

Dietliciouss merupakan gabungan perkataan diet dan delicious yang dijadikan simbolik kepada wanita tersebut untuk memberitahu komuniti bahawa makanan sihat juga sedap ketika disantap seperti makanan rutin.

Norhuda yang merupakan anak kelahiran Johor berkata, Dietliciouss bukanlah sebuah restoran tetapi perkhidmatan menyediakan juadah dan khidmat penghantaran makanan sihat mengikut keperluan harian individu. Menu-menu tersebut mendapat kelulusan oleh ahli dietetik bertauliah.

Menceritakan detik awal penubuhan Dietliciouss, isteri kepada Mustapha Kamal Omar, 35, memberitahu, dia pada mulanya secara suka-suka memuat naik gambar makanan yang dimasak secara sihat untuk mengurangkan berat badannya di laman Instagram miliknya pada tahun lalu.

“Kawan-kawan teruja melihat gambar-gambar tersebut malah meminta saya menyediakan makanan sihat tersebut kepada mereka.

“Jadi, Dietliciouss bermula dengan penyediaan makanan sihat sebanyak tiga pek dengan modal tidak melebihi RM10,” jelas wanita itu yang kini mampu memperoleh pendapatan mencecah lima angka sebulan melalui penyediaan menu sihat setelah lebih setahun memulakan operasi perniagaannya.

Bermula dengan perjuangan untuk mengurangkan berat badan sendiri yang melebihi berat badan ideal, Norhuda yang bertindak sebagai pengasas perusahaan tersebut bersama suami mampu berbangga dengan hasil bertandang.

Dietliciouss yang berpusat di Taman Ukay Perdana, Ampang, Selangor kini membekalkan makanan tengah hari kepada pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor malah turut mendapat permintaan daripada peminat makanan sihat dari Johor dan Pulau Pinang.

Harga

Bagi pelanggan berdekatan sekitar Kuala Lumpur, Damansara, Ampang dan Bangsar, Dietliciouss menyediakan penghantaran makanan secara percuma sekitar pukul 12 tengah hari hingga 1 tengah hari manakala untuk luar kawasan tersebut, makanan yang disejuk beku akan dihantar melalui khidmat penghantaran berbayar sebanyak tiga kali seminggu.


MOHAMAD IZAUNI (depan) menyediakan hidangan seawal seawal 8 pagi.


Setiap pek makanan berharga antara RM10 hingga RM15 berbeza mengikut jenis masakan itu mengandungi kandungan nutrisi asas seperti karbohidrat, protein dan sayur-sayuran yang disediakan mengikut jumlah keperluan badan manusia.

“Saya akan memastikan makanan dihantar tepat pada masanya. Jika ada kelewatan, pelanggan akan dimaklumkan atau ganti rugi akan diberikan sebagai tanda memohon maaf.

“Selain itu, untuk memastikan terdapat kepelbagaian dalam menu yang disediakan, makanan-makanan yang biasa dimakan sama ada masakan tradisional Melayu, Cina, Barat, Mexico mahupun India akan diolah dan digabung mengikut kesesuaian supaya lebih sihat dan enak.

Jadi, setiap hari menu yang disediakan berbeza membuatkan pelanggan tidak akan jemu.

“Sebagai contoh, biasanya masak lemak menggunakan santan namun Dietliciouss menggantikan dengan susu rendah lemak. Selain itu, saya mengurangkan penggunaan garam malah memasukkan garam yang rendah kandungan sodium sebagai alternatif. Makanan lebih sihat namun masih mengekalkan rasa asal menu,” ujarnya yang kini mempunyai dua orang cef di dapur Dietliciouss.

Makanan sihat yang disediakan oleh Norhuda adalah menu yang disediakan menggunakan bahan-bahan yang sihat dan mengikut keperluan asas badan. Bagi menjamin kualiti bahan yang digunakan, wanita tersebut akan membeli dan memilih sendiri bahan mentah khususnya sayur-sayuran.

Mengakui diri sebagai seorang cerewet, dia mahu memberikan yang terbaik buat pelanggan dengan menggunakan bahan berkualiti dan segar untuk menyediakan menu-menu menarik seperti salmon asam pedas, barbeku ayam dan pais talapia.

Lulusan Institut Bina Negara dalam bidang Teknologi Maklumat itu berkata, dia turut menyediakan menu untuk wanita berpantang dan individu yang membina badan malah pelanggan boleh membuat permintaan khusus mengikut keperluan masing-masing.

Berazam mahu memiliki trak makanan sendiri untuk menghantar produknya buat pelanggan jarak jauh dan meluaskan pasaran, Norhuda banyak mempromosikan perniagaannya menerusi laman sosial Instagram, Dietliciouss.

Ujian

Walaupun menghadapi ujian seperti pelanggan lambat turun untuk mengambil makanan yang dihantar dan tidak mengambil pesanan yang ditempah, Norhuda tidak pernah serik dan putus asa dalam meneruskan misi menjadikan pemakanan sihat sebagai budaya masyarakat negara ini.

Sementara itu, orang belakang tabir yang bertindak sebagai cef, Mohamad Izauni Md. Yusof, 29, yang berpengalaman lebih lapan tahun dalam bidang masakan berkata, dapur Dietliciouss banyak menggunakan teknik masakan secara stim atau bakar dalam penyediaan bahan protein seperti ikan, daging dan ayam.

Biasanya, Mohamad Izauni akan menyediakan sekitar 60 hingga 120 pek makanan berdasarkan jumlah tempahan pada setiap hari mengikut menu yang telah dibincangkan bersama Norhuda dan suami serta ahli diatetik yang dilantik.

“Seawal 8 pagi saya akan ke dapur dan memulakan kerja. Dalam tempoh dua jam, segalanya sudah usai dan urusan pembungkusan dan penghantaran akan dilakukan selepas itu.

“Sehingga kini, terdapat kira-kira 70 menu telah disediakan yang ditukar ganti dan diolah buat pelanggan kami,” kongsinya yang mula berkhidmat di Dietliciouss sejak Januari lalu.

Mohamad Izauni turut dibantu oleh rakan setugas, Fahmi Samsudin sebagai cef bertanggungjawab menyediakan makanan untuk membina otot.