Memodenkan silat warisan Melayu



BERTUGAS sebagai polis bantuan di sebuah agensi swasta di Kuala Lumpur memerlukan Mohammad Farhan Mohamad Azlan sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling.

Kebiasaannya pemuda berusia 25 tahun itu akan bertugas di sebelah malam dari pukul 8 malam sehingga 8 pagi.

Rutin harian anak kelahiran Ampang, Selangor itu ialah memastikan kawasan sekitar bangunan setinggi 20 tingkat itu sentiasa selamat daripada pencerobohan orang luar. Justeru itu, selang dua jam sekali, beliau akan membuat rondaan di sekeliling bangunan.

Pada suatu hari, ketika membuat rondaan di belakang bangunan tersebut beliau didatangi oleh seorang lelaki warga asing dalam keadaan mabuk.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu memegang pemutar skru sepanjang 20 sentimeter di tangan kanannya.

Mohammad Farhan terus mendekati lelaki berkenaan dan memintanya beredar dari kawasan tersebut. Malangnya, dia diserang oleh lelaki tersebut dengan pemutar skru.

Dalam keadaan cemas tersebut, tangan kirinya pantas menepis serangan yang dihalakan ke bahagian perut itu sehingga menyebabkan pemutar skru itu terlepas daripada genggaman si penyerang.

Tangan kanannya yang digenggam erat lantas dihayun tepat mengenai bahagian rusuk penyerang sekali gus dia rebah dan berjaya diberkas.

Itulah saat pertama kali, bapa kepada dua cahaya mata itu menggunakan ilmu Silat Cekak Hanafi selepas hampir lima tahun mempelajarinya.

Silat Cekak Hanafi adalah salah satu seni mempertahankan diri yang berasal dari Kedah. Berdasarkan cerita, silat ini pernah digunakan oleh panglima-panglima kanan istana pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II yang merupakan Sultan Kedah ke-21 (1797-1843).

Pengasas

Silat tersebut, kemudiannya diasaskan dan dilahirkan semula oleh Ustaz Hanafi Ahmad pada tanggal 28 Disember 1965.

Jelas Mohammad Farhan, beliau mendalami ilmu persilatan adalah untuk mempertahankan diri, keluarga, agama dan negara.


Salah satu aksi menarik dalam pertunjukan Silat Cekak Hanafi di ibu negara baru-baru ini.


“Saya memilih mempelajari silat ini berbanding seni mempertahankan diri lain kerana ia mudah dipelajari. Dalam tempoh lapan bulan, saya sudah boleh menguasai kesemua 21 buah mata pelajaran yang terdapat dalam silat ini.

“Tambahan pula, ia merupakan seni warisan bangsa yang harus dipelajari oleh orang Melayu. Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan meneruskan warisan ini,” katanya.

Antara buah-buah yang terdapat dalam silat tersebut ialah Pertama, Ali Patah Atas, Lintau, Siku Potong, Selendang dan Pusung Kemanga.

Sementara itu, salah seorang jurulatih, Maisarah Mohd. Merom, 25, berkata, terdapat empat ciri utama dalam Silat Cekak Hanafi iaitu berdiri lurus menunggu serangan (tidak berkuda-kuda), 99 peratus mempertahankan diri, 21 buah mata pelajaran dan empat peringkat mata pelajaran asas iaitu Asas, Jatuh, Potong dan Tamat.

Menurut anak kelahiran Kuching, Sarawak itu, ciri tersebut membuatkan Silat Cekak Hanafi berbeza sama sekali dengan silat-silat lain yang terdapat di Nusantara.

“Silat ini sesuai dipelajari oleh semua golongan bermula dari umur 13 tahun dan ke atas. Ia juga sesuai untuk kaum wanita kerana pergerakannya lebih kepada bahagian tangan berbanding kaki.

“Ilmu dalam silat ini lebih menjurus kepada mempertahankan diri berbanding menyerang. Situasi ini, dapat mendidik penuntutnya menjadi seorang yang penyabar dan berdisiplin,” katanya yang juga merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara, kampus Puncak Alam, Selangor.

Menariknya, Silat Cekak Hanafi juga bebas daripada sebarang ritual yang bercanggah dengan agama Islam.

Pantang larang

Bagaimanapun, setiap penuntut perlu mematuhi pantang larang dalam silat tersebut iaitu dilarang menderhaka kepada ibu, bapa dan guru, bergaduh sesama ahli dan mencaci silat Melayu asli lain.

“Silat ini bebas daripada amalan khurafat. Sebelum memulakan langkah, kami hanya membaca surah al-Fatihah. Ini menjadikan daya penarik kepada generasi muda untuk melibatkan diri dalam silat.

“Dalam semua peringkat persilatan, para penuntut akan berlatih secara berpasangan. Tenaga pengajar hanya menunjukkan kepada penuntut mata pelajaran yang ingin diajar supaya mereka lebih memahami teknik tersebut,” katanya yang menjadi tenaga pengajar selama hampir dua tahun.

Alat kebesaran bagi Silat Cekak Hanafi ialah parang lading yang biasanya dijumpai di negeri Jelapang Padi.


SILAT Cekak Hanafi mempunyai kira-kira 100,000 orang ahli aktif di seluruh negara.


Sebagai senjata, parang lading digunakan dalam silat mempunyai perbezaan yang ketara berbanding yang sering digunakan oleh petani dalam aktiviti harian mereka.

Menariknya, parang lading biasanya mempunyai ukuran tertentu bagi membolehkan ia sesuai dengan si pemakai.

“Pengamal Silat Cekak Hanafi menggunakan parang lading untuk mempertahankan diri daripada serangan pelbagai senjata kecuali senjata api. Ia biasanya diletakkan dalam keadaan matanya tersorok di belakang tangan atau di dalam lengan baju pengamal.

Kesetiaan

“Bagaimanapun, parang lading hanya dianugerahkan kepada mereka yang telah mencapai satu peringkat tertentu membuktikan kesetiaannya kepada persatuan,” terang Maisarah lagi.

Selepas kematian Ustaz Hanafi pada 13 Ogos 1986, jawatan Guru Utama dikosongkan selama tujuh tahun.

Ia kemudiannya diserahkan kepada Md. Radzi iaitu anak keempat Ustaz Hanafi pada 19 Mei 1993 sehinggalah sekarang. Pada 5 Ogos 1995, silat tersebut telah didaftarkan di bawah nama Pertubuhan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi.

Menurut Md. Radzi, matlamat asal persatuan silat tersebut adalah untuk mengembangkan warisan seni bangsa Melayu agar tidak terus ditelan arus pemodenan dunia.

Selepas 50 tahun bertapak di negara ini, hampir 200,000 orang telah mempelajari silat cekak di seluruh dunia.

“Kami mempunyai hampir 100,000 orang penuntut yang masih aktif, 1,542 orang tenaga pengajar dan 250 kelas di seluruh negara. Jumlah tersebut adalah dua kali ganda lebih besar berbanding 25 tahun lalu.

“Kami juga membuka kelas silat di luar negara seperti di Melbourne, Australia, Britain dan Arab Saudi. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutamanya daripada masyarakat tempatan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabat Selat Cekak Hanafi di Taman Malawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara faktor utama membolehkan Silat Cekak Hanafi terus berkembang, beliau memaklumkan, ia disebabkan langkah persatuan memperkenalkannya di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Menerusi langkah tersebut, pihak persatuan berjaya menarik lebih ramai penuntut baharu yang terdiri daripada golongan muda untuk mendalami silat berkenaan.

“Kami sentiasa mempergiatkan promosi-promosi di sekolah menengah dan IPT serta pembaharuan dalam silat ini agar seiring dengan keadaan semasa,” terang Md. Radzi yang telah menjangkau umur 47 tahun.

Pembaharuan

Antara pembaharuan yang dilakukan termasuklah memasukkan elemen muzik moden ke dalam persembahan dan tempat pembelajaran lebih kondusif seperti bilik pendingin hawa.

Mengulas mengenai cabaran menjawat jawatan Guru Utama, beliau memaklumkan kesukaran paling besar adalah menguruskan dan menggerakkan persatuan tersebut.

Katanya, menguruskan sebuah organisasi yang tidak mempunyai dana tetap dalam tempoh lima dekad bukan satu tugas mudah.

“Kami tidak memperoleh sebarang dana daripada pihak tertentu. Persatuan hanya bergantung harap kepada yuran yang dikenakan kepada penuntut iaitu RM30 sebulan untuk membayar sewa bangunan.

“Persatuan menetapkan khidmat jurulatih adalah secara sukarela tanpa sebarang bayaran,” ujarnya sambil memaklumkan pihaknya aktif menerima undangan membuat persembahan di majlis-majlis keramaian.

Di samping itu, persatuan mempunyai perancangan masa panjang yang rapi bagi mengukuhkan dan mengembangkan lagi Silat Cekak Hanafi. Antaranya, membina sebuah bangunan untuk dijadikan ibu pejabat operasi yang baharu di Bangi, Selangor.

Selain itu, Md. Radzi juga merancang mewujudkan Yayasan Ustaz Hanafi bagi menabur bakti kepada masyarakat melalui sumbangan tenaga dan kepakaran.