Skrip Jwanita untuk Maya Karin Osman Ali


Osman bersama sandaran utamanya dalam Jwanita, Maya Karin yang memegang karakter sebagai pembunuh psiko. Filem tersebut bakal ditayangkan pada 24 September depan.


Jangka masa tiga tahun boleh dikatakan satu tempoh yang panjang, namun itulah yang terpaksa ditelan oleh pengarah terkenal, Osman Ali bagi mendapatkan tarikh tayangan sebuah filem seram psiko arahannya, Jwanita.

Masih setia menampilkan aktres cantik, Maya Karin sebagai teraju utama, Jwanita turut menampilkan Bront Palarae, Cristina Suzanne dan Marsha Milan di barisan hadapan.

Diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas, Jwanita tidak hanya sebuah filem seram tetapi sarat adegan ganas, ilmu hitam, darah dan air mata.

Berpeluang beramah mesra sempena tayangan khas filem tersebut di Kafe Skrin, Hulu Kelang baru-baru ini, Osman selaku pengarah berbesar hati menyerahkan karya terbaharunya itu untuk dikritik dan dinilai khalayak menjelang kemunculan di pawagam pada 24 September nanti.

KOSMO!: Akhirnya Jwanita telah mendapat tarikh untuk ditayangkan. Boleh Osman kongsikan debaran yang dirasai menjelang tayangannya pada bulan depan.

OSMAN ALI: Alhamdulillah, syukur kerana Jwanita akhirnya mendapat tarikh tayangan meskipun sudah disiapkan sejak tiga tahun lalu. Walaupun agak lama terperap tetapi apa yang penting, karya saya masih berpeluang untuk ditonton oleh peminat filem di luar sana.

Bagaimanakah anda mendapat inspirasi untuk menghasilkan Jwanita dan berapa lama masa yang diambil untuk disiapkan? Jika tidak silap ia merupakan karya seram kedua anda selepas Puaka Tebing Biru.

Saya menghasilkan Jwanita berdasarkan pengamatan terhadap kejadian-kejadian jenayah dan isu sosial yang kerap berlaku dalam masyarakat di sekeliling kita. Saya hanya memperuntukkan masa kurang dari sebulan untuk menyudahkan penulisan skrip.

Benar, selepas 10 tahun membikin Puaka Tebing Biru, baru kini saya terpanggil untuk sekali lagi membuat filem seram. Sekarang, saya melihat penonton sudah lebih terbuka dan boleh menerima cerita berkaitan ilmu hitam berbanding dahulu.

Mengapa anda memilih Maya sebagai Jwanita? Adakah skrip filem itu ditulis khas untuk aktres itu?

Memang benar, ketika menulis skrip Jwanita, dalam fikiran saya hanya terbayang wajah Maya. Tujuannya, saya mahu penonton melihat sisi berbeza Maya dan menghilangkan watak Izzah yang pernah dilakonkannya dalam Ombak Rindu. Pada mulanya, saya teragak-agak untuk menawarkan watak ini untuk Maya kerana bimbang dia tidak bersetuju, namun syukur kerana dia sangat berminat ketika skrip diusulkan kepadanya. Bagi saya, Maya merupakan calon terbaik untuk menjayakan watak Jwanita dan melihat pada hasilnya, saya amat berpuas hati.

Apakah signifikan filem ini diberi judul Jwanita?

Filem ini berkisar seorang wanita yang mengalami masalah kecelaruan dalam jiwa. Saya kemudian mendapat idea untuk menggabungkan dua perkataan iaitu jiwa dan wanita menjadi Jwanita iaitu nama watak utama filem ini.

Apakah punca Jwanita mengambil masa yang lama untuk ditayangkan?

Sebenarnya, filem ini adalah proses penggambaran yang paling cepat pernah saya lakukan iaitu dalam masa sebulan sahaja. Jika diikutkan filem-filem saya yang lain seperti Sejoli dan Pilot Cafe, mengambil masa lebih lama iaitu sekitar 45 hari. Apa yang melambatkan ialah proses suntingan seperti proses pasca produksi yang panjang selain teknik janaan imej komputer (CGI) yang memakan masa lama.

Filem ini berunsur seram dan ganas, adakah berdepan masalah dengan pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk mendapat kelulusan? Berapa peratus adegan filem ini terpaksa dipotong?

Secara keseluruhannya, hanya 30 peratus sahaja yang dipotong oleh LPF untuk filem ini. Malah ada sesetengah daripadanya, pihak kami sudah jangka tidak akan melepasi piawaian seperti babak Maya (Jwanita) melapah daging manusia yang dibunuhnya untuk santapan keluarga Julaika (Cristina) dan Hairi (Bront).

Pada mulanya banyak babak terpaksa dipotong tetapi setelah mendapat persetujuan bersama, babak-babak seram dan ganas dalam Jwanita boleh dikekalkan dengan syarat filem ini diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas. Filem Hollywood dengan klasifikasi sama ada yang masih dapat sambutan, jadi saya harap Jwanita juga begitu.