Laman sosial erat hubungan


Rangkaian sosial Frag Nebenan berkembang seperti sindrom Facebook dan mewujudkan hubungan antara penduduk tempatan dan aktiviti sosial bersama jiran tetangga.


beberapa orang penghuni kelihatan sedang berbual di tengah-tengah blok apartmen moden di daerah ke-15 Vienna, Austria sambil menikmati sajian minum petang.

Pertemuan pada petang itu turut membabitkan seorang pekerja sosial yang baru dilatih sebagai guru bahasa, pelakon dan guru Shiatsu.

Marianne Gramsl, 74, merupakan ibu kepada seorang anak lelaki berusia 12 tahun.

Anehnya, kesemua mereka tidak mengenali antara satu sama lain beberapa jam sebelum itu.

Pertemuan itu berpunca daripada laman rangkaian media sosial percuma yang dipanggil Frag Nebenan (Ask Next Door).

Rangkaian itu berjaya menghubungkan penduduk di Vienna yang meliputi jarak 750 meter antara satu sama lain.

Hasil platform yang sama di Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat (AS), laman web itu adalah sebahagian daripada trend yang berkembang seperti sindrom Facebook. Ia mewujudkan hubungan antara penduduk tempatan dan aktiviti sosial bersama jiran tetangga.

Frag Nebenan mendapat sambutan yang menggalakkan merangkumi semua lapisan usia sejak ia dilancarkan pada Mei tahun ini.

Lebih 12,500 orang pengguna telah mendaftar dan sebanyak 400 mendaftarkan diri setiap minggu.

Gramsl berkata, dia menyertai komuniti itu selepas berasa tidak puas hati dengan jiran yang cepat marah di kawasan rumahnya.

“Selama bertahun-tahun saya menegurnya ketika terserempak di tangga tetapi dia enggan membalas teguran saya. Laman web Frag Nebenan adalah saluran terbaik untuk berjumpa dengan mereka yang ingin berkawan,” jelas Gramsl.

Walaupun Vienna merupakan ibu kota yang kecil, sebanyak 1.7 peratus daripada penghuni menginginkan kehidupan berkualiti.

Pengasas Frag Nebenan, Stefan Theissbacher melihat pengasingan urban sebagai salah satu daripada masalah itu.

“Visi saya adalah untuk mentransformasikan kawasan kejiranan kepada komuniti-komuniti kecil.

“Ia bukan mengenai mencipta hubungan yang baik tetapi mereka perlu mengenali penghuni di sebelah rumah dan jiran-jiran lain yang berpotensi untuk menjalinkan persahabatan,” kata lelaki berusia 33 tahun itu.

Theissbacher berkata, dia terpanggil untuk mewujudkan komuniti rangkaian sosial itu selepas menyedari tidak pernah bercakap atau bertegur sapa dengan jiran-jiran walaupun sudah menetap di apartmen tersebut selama setahun.

Proses pendaftaran komuniti itu juga mempunyai nilai sentuhan peribadi yang menyenangkan.

Selepas mengisi borang dalam talian, individu akan menerima poskad dengan tulisan tangan berserta kod unik untuk pengesahan alamat.

Sebaik menjadi ahli baharu, individu itu boleh menentukan sama ada ingin berkongsi maklumat dengan orang ramai dalam kawasan kejiranan atau meluaskan radius kejiranan.

Tawaran


Theissbacher mencipta rangkaian Frag Nebenan untuk mentransformasikan kawasan kejiranan kepada komuniti-komuniti kecil.


Theissbacher memberitahu, peraturan yang disediakan sangat mudah.

“Kami tidak menerima iklan, kenyataan politik berkaitan dengan parti-parti atau komunikasi yang tidak mesra,” katanya.

Frag Nebenan menawarkan empat kategori iaitu saling membantu, cadangan bagi perkhidmatan tempatan, kumpulan dan iklan.

Bagaimanapun, kategori yang pertama menjadi pilihan ramai kerana prospek menjimatkan wang.

Kemudahan yang ditawarkan secara percuma itu termasuk keinginan untuk meminjam pengisar, memindahkan perabot atau menyiram pokok bunga jiran sebelah rumah.

Butang ucapan terima kasih disediakan dalam setiap status untuk menunjukkan ekspresi atau penghargaan secara umum.

Pembuat filem, Romana Caren Lakinger mengubah suai dapurnya tanpa mengeluarkan wang bagi proses mengecat kerana kemurahan jiran-jiran dalam Frag Nebenan.

“Saya tidak merancang untuk mengecat corak jaluran kuning di dinding sehingga saya menerima warna itu.

“Hasilnya, apa yang idamkan dapat dizahirkan,” kata ibu tunggal itu sambil menudingkan hari ke arah sebuah tab besar bernilai 21 euro (RM95) yang diterimanya secara percuma.

Dalam pada itu, kemahiran juga boleh ditukar dalam perkongsian ekonomi secara online itu.

Seorang pendandan rambut menawarkan potongan secara percuma sebagai pertukaran untuk belajar bahasa Sepanyol.

Setengah status di laman Frag Nebenan yang hampir serupa dengan laman AS, Next Door itu, mencerminkan komponen sosial yang lebih meluas.

Notis yang dikemukakan oleh penduduk di daerah 8 Barbara Mandl untuk mencari sumbangan bagi sebuah kem pelarian di luar Vienna mencetuskan tindak balas yang positif dalam kalangan ahli.

“Saya suka komitmen yang diberikan. Jika anda memerlukan bantuan, saya dengan senang hati akan datang ke Traiskirchen, Austria,” kata seorang.

Namun, beberapa ahli turut menyuarakan keengganan untuk membuka pintu kepada orang asing.

“Menghadiri perjumpaan ahli kumpulan sangat mudah tetapi membenarkan seseorang menjaga haiwan kesayangan anda apabila anda bercuti memerlukan kepercayaan,” kata seorang pesara berusia 62 tahun dan ahli kumpulan perbualan Perancis, Susanne Eisler kepada Frag Nebenan. – AFP