Nadia gemar projek DIY


PINTU pagar utama ke ruang pameran BebeBundo di Shah Alam ini dilukis dan dicat sendiri Nadia.


PEMILIK nama Farhan Nadia Bakly, 30, tidak pernah menduga populariti segera yang diraih menerusi jenama kasut bayi BebeBundo rekaannya.

Manakan tidak, dalam tempoh kurang dua tahun, ibu kepada dua orang cahaya mata itu berjaya memperoleh lebih 20,800 pengikut di laman Instagram sekali gus mengangkat jenama tersebut ke peringkat antarabangsa.

Di sebalik kejayaan yang dikecapi, Farhan Nadia yang lebih mesra disapa Nadia ada cerita yang melucukan sewaktu awal pembabitannya dalam bidang tersebut.

"Saya bukanlah pandai menjahit sangat, hanya tahu teknik-teknik asas jahitan yang ringkas cukup kalau setakat nak jahit baju anak. Jadi apabila pertama kali cuba membuat kasut, lebih-lebih lagi daripada material bukan fabrik, herot-berot lah jadinya.

"Ada yang terlalu kecil sampai tidak muat untuk memasukkan pergelangan kaki. Selepas beberapa kali cuba, bentuk kasut yang dihasilkan masih pelik, namun sekurang-kurangnya boleh dipakai," selorohnya bersahaja.

Mendapat tunjuk ajar daripada ibu, Norehan Khamsiah Awang, 60, yang mahir dalam seni jahitan, Nadia mempertingkatkan kualiti serta reka bentuk kasut agar ia lebih selesa dipakai.

"Masa mula-mula memasarkan kasut bayi daripada kulit ini di internet, saya terkejut dengan respon yang diterima. Tempahan pada bulan pertama sangat banyak sampai tidak menang tangan saya dibuatnya. Memandangkan saya bekerja di siang hari, saya hanya boleh menjahit pada sebelah malam.

"Jadual saya menjadi semakin sibuk dan ada kalanya terpaksa tidur lewat malam untuk menyiapkan tempahan," katanya yang mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai eksekutif pembangunan perniagaan di sebuah syarikat swasta di Shah Alam untuk menumpukan perhatian terhadap bisnesnya.


NADIA mengambil masa 45 minit untuk menyiapkan sepasang kasut bayi moccasin.


Jadi perintis

Soal penat atau tidak cukup masa bagaimanapun bukan alasan sebenar Nadia mengundur diri daripada lapangan kerjaya yang diceburi sebaliknya anak bongsu daripada empat adik-beradik itu berbuat demikian selepas melihat peluang yang lebih besar di hadapannya.

Apa tidaknya, dengan mempelopori bidang keusahawanan, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem dan Kawalan dari Case Western Reserve University, Ohio, Amerika Syarikat (AS) itu bakal menjadi perintis dalam bidang pembuatan kasut bayi jenis moccasin daripada kulit asli di negara ini.

Kasut moccasin ialah sejenis kasut tapak rata yang diperbuat daripada kulit lembu atau kambing biri-biri. Ia lazimnya dipakai oleh puak Red Indian di AS.

Cerita Nadia, idea untuk menghasilkan moccasin tercetus selepas dia tidak menemui sebarang pembuat atau pengeluar kasut tersebut di Malaysia sewaktu mahu membelikannya buat anak keduanya, Zuleyka Ahmad Asyraf.

"Ia banyak dijual di luar negara tetapi harganya sangat mahal sehingga mencecah RM250. Dari situlah saya terfikir untuk menghasilkan sendiri kasut ini.

"Alhamdulillah, daripada sekadar pakai di kaki anak sendiri, projek Do-It-Yourself (DIY) ini membuahkan hasil sehingga sudah jadi jenama yang dikenali ramai," ujarnya.

Bercakap mengenai DIY, wanita berketurunan Minangkabau itu sebenarnya tidak suka terlalu bergantung dengan khidmat orang sebaliknya gemar melakukan semua secara sendiri.

"Daripada menjahit baju serta aksesori anak-anak sampailah bab memasak, saya akan buat sendiri. Lebih-lebih lagi anak sulung saya, Adam Ahmad Asyraf menghidap alahan protein susu lembu, jadi saya akan menyediakan sendiri juadah sesuai buatnya," kata Nadia.


NADIA tidak pernah menyangka percubaannya membuat kasut bayi moccasin membuahkan hasil selepas jenama BebeBundo kini dikenali ramai.


Creme brulee

Projek DIY Nadia tidak terhenti setakat itu, malah wanita bertubuh genit itu juga tidak kekok bertukang.

Buktinya, dia sanggup menyingsing lengan baju membantunya suaminya, Ahmad Asyraf Rosli, 30, mengubah suai ruang pameran kasut BebeBundo yang terletak di Persiaran Damai, Shah Alam.

"Pintu pagar premis ini saya lukis dan cat berdasarkan kreativiti, manakala pagar yang mengelilingi laman pula dibuat daripada kepingan zink dan polikarbonat serta kayu pallet terpakai.

"Saya lebih suka buat sendiri sebab selain dapat menjimatkan kos, saya juga dapat mempelajari perkara baharu," jelasnya yang juga gemar melancong dan membaca buku di waktu lapang.

Ditanya mengenai makanan kegemarannya, wanita kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu mengakui, biarpun berasal dari negeri yang begitu sinonim dengan makanan pedas itu, dia tidak begitu menggemari juadah yang dimasak pedas.

"Saya lebih gemar makanan manis dan menu kegemaran saya ialah juadah pencuci mulut seperti kek, pastri dan puding. Paling digemari ialah creme brulee," ujarnya tersenyum.