Melaka kembali warnai Liga M


BARISAN pemain Melaka United meraikan kejayaan mereka selepas muncul juara Liga FAM 2015 hasil kemenangan 3-2 ke atas Perlis pada final di Stadium Hang Jebat, Melaka malam kelmarin.


MELAKA kembali mewarnai bola sepak negara. Selepas sekian lama tersisih daripada saingan liga utama negara sejak 2010, skuad yang kini dikenali sebagai Melaka United itu kembali menempah tempat dalam Liga Premier musim depan ekoran kejayaan muncul juara keseluruhan Piala FAM 2015.

Kejayaan tersebut diperoleh selepas menewaskan pencabar, Perlis 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Hang Jebat, Melaka malam kelmarin.

Sentuhan jurulatih serba boleh, Mat Zan Mat Aris telah meletakkan Melaka United ke landasan yang betul dalam misi mereka untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri Hang Tuah itu.

Pada aksi malam kelmarin, kemeriahan mula dirasai apabila perlawanan akhir itu disaksikan kira-kra 40,000 penyokong setia skuad Sang Kancil itu.

Walaupun ia sekadar kejohanan divisyen ketiga dalam saingan Liga Malaysia, tetapi kejayaan tersebut membuktikan Melaka sudah mula mengorak langkah untuk memulihkan imej bola sepak mereka.

Mereka sudah menanti selama 32 tahun untuk bergelar juara selepas kali terakhir melakukannya pada 1983 apabila menjuarai saingan Liga Premier Divisyen 1.

Kemenangan yang mereka lakar malam kelmarin sudah pastinya akan membuka lembaran baharu buat bola sepak Melaka.

Pada perlawanan tersebut, Melaka United memperoleh gol menerusi jaringan hatrik Nur Syamil Abd. Ghani pada minit ke-37, 71 dan 92 manakala Perlis menghasilkan jaringan menerusi Mohd. Syafiq Azmi pada minit ke-15 dan 59.

Selaku juara Piala Liga FAM, Melaka United membawa pulang piala dan hadiah wang tunai RM60,000 manakala Perlis selaku naib juara membawa pulang RM30,000.

Kemenangan itu menjadi hadiah paling bermakna buat penyokong-penyokong Melaka yang sememangnya dahagakan kejayaan sejak 32 tahun lalu.

Menurut Mat Zan, ia bukan perlawanan yang mudah buat skuad kendaliannya, tetapi atas semangat juang serta disiplin yang tinggi dipamerkan oleh anak-anak buahnya, akhirnya mereka menempa kejayaan yang sangat bermakna.

Pengendali berpengalaman itu memuji aksi yang dipamerkan oleh barisan pemainnya yang mengikut segala perancangan serta komitmen yang tinggi sepanjang perlawanan tersebut.

“Alhamdulillah keseluruhan pemain menunjukkan kesungguhan yang tinggi dan berjuang habis-habisan bagi membuktikan kita mampu meraih kemenangan yang diharapkan peminat bola seluruh negeri ini.

“Selain itu, sumbangan Nur Syamil pada perlawanan akhir ini seharusnya diberi pujian kerana berjaya menterjemahkan gol hasil daripada umpanan rakan sepasukan untuk membolehkan kita meraih kemenangan ini,” katanya.

Mat Zan berkata, walaupun Perlis mempunyai rekod yang lebih baik dan tidak pernah kalah dalam 18 perlawanan peringkat kumpulan namun beliau berbangga serta berpuas hati dapat memberi kemenangan paling bermakna untuk penyokong-penyokong Melaka.