Sharnaaz pentingkan privasi


Noor Nabila dilihat meluahkan perasaannya seperti sedang dilamun cinta dengan Sharnaaz sewaktu memuat naik ucapan ulang tahun buat lelaki itu baru-baru ini.


BIARPUN baru sahaja melewati hidup secara solo selepas tidak lagi mempunyai hubungan dengan Anis Al Idrus sekitar awal tahun ini, aktor Sharnaaz Ahmad kini dilihat sedang intim dengan seorang wanita yang merupakan kakak kepada pelakon dan pengacara popular, Neelofa.

Hubungan mesra mereka mula menjadi bualan hangat peminat apabila tindakan wanita dengan nama Noor Nabila kerap memuat naik gambar mereka berdua di laman Instagram mencetuskan tanda tanya banyak pihak.

Malah, lebih menguatkan kenyataan apabila kebanyakan gambar yang dimuat naik tersebut disertakan dengan kapsyen berbaur ayat-ayat cinta ditujukan buat lelaki kelahiran George Town, Pulau Pinang itu berserta #sayang dipercayai merujuk kepada Sharnaaz Ahmad.

Terkini, Noor Nabila meluahkan perasaannya terhadap Sharnaaz menerusi ucapan ulang tahun ke-30 aktor tersebut.

Sharnaaz yang dihubungi baru-baru ini bagi mendapatkan jawapan mengenai perkara itu hanya menjawab serba ringkas persoalan yang diajukan kepadanya.

Biarpun kurang senang diasak dengan soalan peribadi, aktor berbadan sasa itu tetap menjawab dengan penuh berhemah. Hanya prinsip Sharnaaz, dia tidak akan mengaku jika memang benar bercinta dengan sesiapapun demi privasi diri.

Kosmo!: Sharnaaz, adakah benar hati anda kini telah diisi semula dengan cinta bersama Noor Nabila?

SHARNAAZ: Tidak. Kalau mahu bertanya soal peribadi dan lebih-lebih lagi cinta, saya tidak mahu komen. Setakat ini, saya memang tiada hubungan istimewa dengan mana-mana wanita. Saya memilih untuk tidak mengulas lanjut kerana berasakan perkara sebegini sepatutnya tidak diperbesarkan.

Mengapa anda memilih untuk tidak mengaku perkara ini sedangkan ramai peminat sudah mentafsirkan kalian sememangnya mempunyai hubungan cinta?

Pada saya, sekarang terlalu ramai peminat yang kolot pemikiran. Kalau seseorang artis itu buat sesuatu yang mana melibatkan hal privasi, mengapa perlu menyibuk? Masing-masing ada hidup sendiri.

Walaupun anda menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, namun Noor Nabila dilihat kerap memuat naik gambar anda berdua dengan kapsyen berbaur cinta, apa pula komen anda?

Itu privasi dia. Dia mahu buat apa, letak gambar apa dan kapsyen apa sekali pun, itu terpulang kepada dia. Saya tidak boleh campur tangan sebab itu hidup dia, bukan hidup saya.

Menginjak usia 30 tahun baru-baru ini, apakah yang anda pandang mengenai hala tuju hidup sendiri yang sering kali terumbang-ambing dalam soal cinta?

Pendek cerita, kalau betul selepas ini saya bercinta lagi, wanita itu akan jadi isteri saya. Itu sudah cukup. Tapi, buat masa sekarang tiada perkara istimewa tentang kehidupan peribadi yang saya mahu dikongsikan. Kalau betul pun saya ada seseorang yang istimewa, saya tidak akan mengaku. Biar ia menjadi hal peribadi sendiri.

Bagi saya, kehadiran keluarga di sisi yang sentiasa ada pada saat sukar dan gembira merupakan perkara paling indah yang saya dapat sempena ulang tahun kelahiran baru-baru ini. Sebab itu saya kata, hidup saya adalah privasi saya. Selain hidup sendiri, keluarga adalah keutamaan dalam segala perkara.

Saya adalah hak milik ibu dan bapa. Bukan hak milik peminat atau orang lain. Saya memang begini dari dahulu, suka buat hal sendiri dan tidak mahu ambil pusing dengan kritikan orang lain.

Bagaimana pula dengan karier anda?

Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Mencintaimu yang kini sedang ditayangkan di kaca televisyen.

Pada masa yang sama, saya juga sedang berehat daripada mengambil sebarang tawaran berlakon kerana mahu memberi fokus kepada bisnes kolagen yang diusahakan.