Risteena hadam cacian

MEMILIH untuk menangguhkan pelajaran sekali lagi, Risteena menganggap ia satu keputusan yang sukar dibuat.


KONTROVERSI dan kritikan negatif, itu antara perkara wajib yang perlu dihadam bagi mereka yang memilih dunia hiburan sebagai lubuk mencari rezeki.

Suka atau tidak, dua perkara itu menjadi rencah utama dan asam garam yang sudah lama bercambah subur memberi warna suram dalam profil seorang artis.

Bagi pelakon muda Risteena Munim, dia pernah menjadi sasaran segelintir peminat dalam industri yang melabelkannya sebagai pelakon kayu ketika awal kemunculannya menerusi drama Playboy Itu Suami Aku.

Diasak dengan kritikan pedas bertubi-tubi nyata tidak mematahkan semangat pelakon berusia 25 tahun itu untuk terus mengorak langkah melawan arus negatif.

Meskipun sudah menghampiri penghujung tahun, ada sesuatu yang ingin dihamparkan oleh pelakon drama Menjinak Ombak itu.

Ubi berisi

Kelibat yang jarang dilihat menerusi paparan skrin televisyen sejak kebelakangan ini menguatkan persepsi peminat yang beranggapan pemilik nama sebenar Nur Risteena Zainul Ilyas tidak laku dengan sebarang tawaran berlakon.

Seperti perumpamaan diam-diam ubi berisi, itu situasi karier Risteena. Dia sebenarnya punya agenda yang tersembunyi. Terkini, pelakon itu muncul dengan sebuah filem baharu berjudul Girlfriend Kontrak bergandingan bersama aktor kacak, Keith Foo.

Bakal ditayangkan pada 24 September ini, filem bergenre romantik komedi itu menampilkan sisi matang Risteena selaku pelakon utama wanita.

Membawa watak seorang gadis kampung merupakan satu cabaran baharu buat Risteena. Manakan tidak, watak Alisa yang dipegangnya menuntut dia menjalani penggambaran di ladang lembu, di dalam parit dan bendang sawah.

Tambah menggelikan hati, Risteena berkongsi pengalaman ketika melakukan penggambaran filem tersebut sekitar awal tahun 2014.

“Untuk menjayakan watak itu, saya terpaksa menghidu bau tahi lembu sepanjang hari. Perasaan itu hanya Tuhan yang tahu.

“Lebih erotik, dalam satu babak saya terjatuh atas tahi lembu benar-benar menguji mentaliti selaku pelakon. Walaupun tahi lembu digantikan dengan coklat, tetapi ia masih memberi kesan kepada fizikal saya.

“Bayangkan, rambut saya menjadi keras dek coklat tersebut, malah tangan timbul ruam-ruam kecil, kemerahan dan berasa gatal. Siapa yang boleh tahan kalau begitu, tetapi demi filem ini saya cekalkan hati. Saya fikirkan penerimaan peminat pada masa sekarang membuatkan saya kuat untuk berlakon walaupun di dalam kandang lembu,” tuturnya ceria.

Lakonan


Bront Palarae merupakan salah seorang pelakon yang banyak memberi tunjuk ajar kepada Risteena.


Kata Risteena, manusia mampu berubah menjadi lebih baik. Asalkan diberi peluang untuk memajukan diri. Bahkan, dalam masa sama pelakon kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang itu turut mengiyakan bahawa kritikan negatif sebenarnya mampu membantu mendidik jiwa pelakon baharu sepertinya.

Baginya, itu semua fitrah dan realiti yang harus dilalui mana-mana pelakon baharu yang sedang bertatih dalam dunia hiburan.

Menyifatkan segala kritikan pedas selaku proses pembelajaran terbaik, Risteena melapangkan dada dan fikiran menerima perkara tersebut sebagai pengalaman yang banyak mengajarnya.

“Saya percaya tidak semua pelakon dilahirkan dengan bakat yang hebat pada awal pembabitan mereka. Sejujurnya saya tidak malu untuk mengaku kekurangan diri. Memang dahulu saya tidak pandai berlakon dan keras di hadapan kamera.

“Saya anggap semua itu sebagai pengalaman yang mengajar erti dewasa. Saya percaya semua orang pernah mengalami pengalaman kurang matang seumpama itu.

“Bagaimanapun, saya percaya pengalaman dan praktikal dalam lakonan merupakan asas paling penting untuk saya terus belajar mendalami ilmu lakonan. Hal itulah yang saya praktikkan kini supaya skil lakonan saya bertambah baik,” tuturnya tersenyum.

Beralih bicara mengenai kehidupannya sebagai seorang pelajar, Risteena kini memutuskan untuk menyambung pengajian di sebuah kolej swasta.

Risteena mengaku selepas beberapa kali menangguh pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, dia tidak akan melanjutkan pengajiannya di sana.

Sebaliknya, wanita itu menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di universiti swasta memandangkan kekangan masa dan komitmen yang banyak terhadap bidang lakonan memaksanya melakukan keputusan itu.

“Pihak universiti memberi tempoh setahun untuk menyambung pengajian. Jika saya tidak menyambung pengajian dalam tempoh yang telah diberikan, maka rayuan tersebut akan terkubur begitu sahaja.

“Oleh sebab itu, saya fikir, lebih elok saya sambung di universiti swasta. Bila-bila pun saya boleh sambung belajar dan tiada had waktu. Kalau bukan sekarang, sudah bergelar isteri orang pun saya masih boleh sambung belajar,” selorohnya.

Katanya lagi, menyedari tindakannya mendahului lakonan berbanding pelajaran adalah sesuatu yang merugikan sementelah baki pengajiannya hanya tinggal setahun, Risteena punya alasan tersendiri.

“Apabila bercakap soal belajar, ramai yang melabelkan saya terlalu mementingkan nama dan populariti berbanding ilmu. Tidak dinafikan ilmu sangat penting dan berguna untuk seseorang, tetapi dalam hal ini saya harus memilih antara satu.

“Memandangkan saya masih mempunyai pilihan dan jalan lain untuk menyambung pelajaran, mengapa tidak saya dahulukan rezeki berlakon yang sedang banyak ketika ini,” ujarnya.