Pengulas sukan dibayangi kontroversi

Dari kiri: Burn, Sharon, Zainal dan Rizal melalui proses pembelajaran yang berterusan untuk memperbaiki mutu pengulasan.


PERASAAN janggal pasti dirasai para peminat jika suara Allahyarham Datuk Hasbullah Awang tidak kedengaran dalam ulasan perlawanan bola sepak secara langsung. Seperti irama dan lagu, suara pengulas sukan legenda itu menjadi pelengkap arena bola sepak negara.

Lontaran suara spontan, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) bersilat di situ dalam perlawanan Piala AFF Suzuki 2012 antara Malaysia menentang Thailand masih terngiang-ngiang selain intonasinya menjadikan beliau antara permata pengulas sukan bola sepak Malaysia.

Bagaimanapun, sejak kehilangan beliau, dunia pengulas sukan dilihat semakin sepi dan tidak ramai yang berjaya menonjol.

Menurut penganalisis sukan tempatan, Muhammad Rizal Hashim yang terkenal menerusi rancangan Dengan Izin, muka-muka lama pengulas sukan telah meninggalkan satu penanda aras yang cukup tinggi, sekali gus menjadi cabaran besar buat barisan pelapis.

“Bertahan dalam gelanggang pengulas sukan bukanlah sesuatu yang mudah, namun pengulas seperti Allahyarham Hasbullah, Zainal Abidin Rawop dan Datuk Rahim Razali berjaya mencipta pengaruh menerusi kewibawaan masing-masing yang terbentuk hasil pengalaman berpuluh tahun.

“Menghampiri pencapaian orang-orang hebat seperti mereka bukanlah perkara mudah apatah lagi pada hari ini penonton dan pendengar lebih mudah serta cepat mengkritik persembahan pelapis menerusi laman sosial sedangkan segelintir daripada wajah-wajah baharu itu belum bersedia menghadapi cabaran tersebut,” katanya.

Tambahnya, walaupun telah 24 tahun menjadi pengamal media sukan, dia tidak menganggap dirinya hebat sebaliknya menjadikan waktu harian sebagai proses pembelajaran untuk memperbaiki mutu persembahan.

Ujarnya, dia juga tidak terlepas daripada menerima kritikan daripada orang ramai, terutama persembahannya dalam rancangan Dengan Izin yang berkonsepkan hard-talk.

Rancangan tersebut mengupas dan merungkai isu-isu semasa bersama tetamu yang terdiri daripada orang penting dalam meningkatkan prestasi sukan negara.

Jelasnya, ramai penonton tidak memahami konsep Dengan Izin yang sememangnya sengaja meletakkan tetamu jemputan dalam keadaan resah.

Justeru, kritikan sering dilemparkan kepada dirinya dengan segelintir menyatakan tindak-tanduk yang dibuatnya itu tidak menghormati dan memberi peluang kepada tetamu untuk mempertahankan diri menjawab soalan kontroversi.

Begitupun, bekas wartawan Berita Harian dan The Malay Mail itu turut mendapat tempat dalam kalangan pengikut sukan negara kerana hujah-hujah serta fakta bernas yang dilontarkannya. Malah, dia merupakan satu-satunya pengamal media yang diberi penghormatan mengundi dalam anugerah berprestij Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Ballon d’Or.

Acara besar

Dalam pada itu, selepas ‘kehilangan’ pengulas legenda, Zainal Abidin antara nama yang sering disebut sebagai pengganti Hasbullah. Mengulas mengenai apresiasi itu, Zainal menyifatkan perkara tersebut bersifat subjektif dan dia tidak pernah menjulang dirinya sebagai legenda.

“Ia bergantung kepada penerimaan setiap individu. Walaupun berpengalaman menjadi pengulas untuk acara-acara besar seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan Olimpik dan Piala Dunia, saya masih dalam proses belajar terutama terma-terma dalam pelbagai acara sukan.

“Sebagai pengulas, kami perlu sentiasa berada tiga langkah di hadapan penonton dan pendengar dari segi maklumat serta fakta dalam sukan berkaitan,” katanya.

Ditebak soalan mengenai kontroversi pengulas berat sebelah yang dihadapinya dalam perlawanan melibatkan pasukan tanah airnya, Johor Darul Takzim pada awal tahun lalu, Zainal turut menyifatkan perkara itu sebagai subjektif.

“Pengulas sukan bola sepak Inggeris terrkenal, Martin Bruce Tyler juga pernah dikritik kerana didakwa pro kepada pasukannya. Namun, perkara ini bergantung kepada penerimaan dan perspektif penonton itu sendiri.

“Jika satu-satu pasukan mempamerkan percubaan yang baik, sebagai pengulas yang profesional, saya perlu menyatakan perkara tersebut dan sebaliknya. Setiap kali sebelum turun ke ‘gelanggang’, perkara utama yang sering saya ingatkan kepada diri sendiri adalah supaya tidak memihak kepada mana-mana pasukan,” jelasnya yang tidak mahu dikaitkan dengan kontroversi.

Zainal Abidin memberitahu, sebelum satu-satu perlawanan bermula, dia terlebih dahulu akan membuat kajian mengenai prestasi pasukan dan figura utama dalam permainan yang lepas supaya dapat menyokong setiap hujah dilontarkan.

Selain itu, dia turut mengaplikasikan teknik pengulasan oleh Hasbullah, Rahim dan hos rancangan Helo Malaysia, Sherkawi Jirim.

Seorang lagi hos, Rueben Thevandran atau lebih dikenali sebagai Burn, mengendalikan rancangan sukan bukan sesuatu yang mudah dan jauh berbeza dengan bidang hiburan yang pernah diceburinya selepas keluar daripada rancangan Akademi Fantasia (AF) pada tahun 2003.

Tidak menafikan, perjalanan karier yang dipilih adalah pusingan 360 darjah kerana bakatnya sebelum ini lebih terarah kepada bidang nyanyian.

“Saya telah mengasah bakat sebagai penyanyi koir di gereja sebelum menyertai AF musim pertama sebagai pintu untuk menceburi dunia hiburan. Secara kebetulan, rancangan tersebut pada waktu itu menjadi sangat popular. Selepas keluar dari AF, saya mendapat tawaran menjadi penyampai radio Era FM dan bertahan selama empat tahun sebelum beralih ke stesen radio X-Fresh FM selama tiga tahun.

“Saya kemudian ditawarkan oleh Astro Arena untuk menjadi hos Aktifdepia dan Grandstand Ahad yang bermula pada tahun 2011. Melihat persaingan sengit bidang nyanyian, mendorong saya membuat keputusan mengetepikan bidang hiburan,” jelasnya.

Cemuhan

Menurut Burn, permulaan karier sebagai hos bukanlah satu kenangan manis kerana kemunculan awalnya sebagai pelapor perkembangan sukan dikritik dan dipertikaikan oleh penonton.

Ramai yang mempersoalkan pemilihan dan kebolehan dirinya sebagai hos sukan dan pelbagai cemuhan diterima, terutama di laman sosial.

Begitupun, segala kritikan yang dilemparkan kepadanya ditukar kepada sudut positif dan menjadikannya lebih nekad untuk menjadi pengulas sukan terbaik. Burn mengambil masa selama tiga tahun untuk menyesuaikan diri dan yakin dalam setiap penampilan.

Sementara itu, satu-satunya ‘bunga’ dalam gelanggang pengacaraan sukan, Sharon Wee, pula berhadapan cabaran lebih besar kerana persepsi negatif mengenai kebolehan golongan wanita mengendalikan program sukan.

Bagaimanapun, latar belakang dirinya sebagai bekas atlet negara dalam sukan skuasy berjaya ‘memujuk’ penonton lelaki sekali gus mendapatkan kepercayaan mereka. Sharon mula disunting oleh Astro Arena pada tahun 2010 untuk membantu Shauki Kahar yang sebagai pengulas utama sukan skuasy.

Usaha anak kelahiran Melaka itu berbaloi apabila diberi kepercayaan mengendalikan pusingan akhir Kejohanan Badminton Dunia yang menyaksikan Datuk Lee Chong Wei menentang musuh tradisi, Lin Dan pada tahun 2011 dan 2013.

Ujarnya, menjadikan Hasbullah dan Zainal sebagai rujukannya, dia berjaya mendapatkan intonasi yang betul.

“Saya pernah menjadi atlet negara dan ia merupakan kelebihan buat diri saya kerana telah sedia maklum mengenai undang-undang permainan serta fakta. Justeru, keyakinan untuk menjadi pengulas sukan datang secara semula jadi. Begitupun, saya sering menajamkan kemahiran intonasi.

“Pengalaman lalu juga menjadikan saya lebih sensitif dalam mengkritik pemain dan atlet negara dengan penggunaan bahasa yang betul. Saya memahami kesusahan dan dedikasi mereka dalam mendapatkan pingat emas untuk negara. Justeru, dalam kritikan yang dilemparkan, saya juga memotivasikan pemain dengan menyatakan peningkatan mutu persembahan yang diberikan,” jelasnya.

Sharon berkata, sehingga kini dia berusaha keras untuk meletakkan namanya setara dengan barisan pengulas sukan tersohor yang lain dengan melakukan kajian serta mencari bahan-bahan rujukan untuk membuat ulasan terbaik demi menjaga prestasi sebagai pengulas sukan wanita pertama negara.