Acara jamu tetamu tiga hari dua malam

AHLI rewang bekerjasama menyiapkan bahan-bahan untuk memasak sambil berceloteh dan bertanya khabar.


TANGANNYA ligat menghiris satu persatu bawang merah dan putih sambil bergelak tawa mendengar celoteh masing-masing. Suasana itu sangat menghiburkan bagi Maslina Mohd. Ikhwan, 43, kerana ia merupakan peluang kepadanya beramah mesra dan mengeratkan silaturahim bersama rakan, jiran dan sanak saudara ketika melakukan aktiviti rewang sempena kenduri kahwin anak saudaranya di kampung Bukit Kerayong, Kapar, Selangor.

Menurut Maslina, dia memulakan tugas seawal pukul 7 pagi untuk membantu menyediakan bahan-bahan masakan. Rutin itu bermula sejak hari Jumaat sehingga Ahad kerana tetamu yang datang mengikut kesesuaian masa masing-masing akan dihidangkan menu yang berbeza-beza.

Dia yang baru sahaja selesai mengadakan kenduri kahwin anak perempuannya pada Ogos lalu tidak lokek berkongsi pengalaman dan menyumbangkan tenaga bagi memastikan majlis tersebut berjalan lancar.

“Semasa saya mengadakan kenduri sebelum ini ramai yang datang membantu. Mereka juga menyumbang barang-barang asas untuk memasak seperti beras, minyak, bawang, kentang dan gula. Di samping itu, ada juga yang memberi kudapan dan pemanis mulut seperti kerepek serta kuih-muih.

“Kini, giliran saya pula untuk berbuat demikian. Kerjasama dan bantu-membantu menjadi tradisi kami orang Jawa dengan mengadakan aktiviti rewang untuk menolong dan meringankan beban tuan rumah,” kata ibu kepada enam orang cahaya mata itu.

Rewang berasal daripada perkataan Jawa iaitu ewang yang bermaksud tolong-menolong. Ia merupakan tradisi masyarakat Jawa sejak dahulu lagi.

Orang Jawa akan mengadakan majlis perkahwinan selama tiga hari berturut-turut dengan menyediakan pelbagai makanan dan menu berbeza setiap hari.

Penempatan orang Jawa tertumpu di bahagian barat Semenanjung Malaysia terutama di barat Johor, Selangor dan Perak. Tempat yang mula diduduki dipercayai di Parit Jawa, Muar, Johor. Kebanyakan imigran Jawa yang datang ke Tanah Melayu berasal dari beberapa buah daerah di Pulau Jawa seperti di Jawa Barat, Jawa Tengah dan Jawa Timur.

Sementara itu, ketua rewang atau ketua tukang masak, Aniza Mohd. Sani, 43, berkata, dia akan terlebih dulu berbincang dengan tuan rumah mengenai menu yang bakal dihidangkan dan jumlah tetamu bagi memastikan makanan mencukupi.

“Majlis kenduri kahwin ini akan berlangsung selama tiga hari. Oleh itu, saya perlu merancang dengan teliti supaya makanan sentiasa mencukupi untuk tetamu yang datang bermula dari tengah hari Jumaat hingga petang Ahad.

“Menu pula akan dimasak mengikut permintaan tuan rumah. Bermula hari Jumaat hingga Sabtu kami akan menyediakan makanan berbeza. Kira-kira lebih 10 menu dihidangkan kepada tetamu sepanjang majlis ini,” katanya yang merupakan ibu saudara kepada pengantin perempuan.

Menurut Aniza, antara menu istimewa masyarakat Jawa yang dihidangkan pada hari Jumaat ialah nasi ambeng, pecal lele pada Sabtu dan pecal pada hari Ahad.

Aniza yang sudah lima tahun menjadi ketua rewang memberitahu, dia bertanggungjawab menyediakan bahan-bahan masakan bersama ahli rewang agar kuantiti yang disediakan menepati dengan jumlah hidangan kerana jika terkurang atau terlebih akan menjejaskan kualiti rasanya.

“Saya akan memastikan semua bahan telah dipotong dan dibersihkan bagi melancarkan proses memasak dan makanan disiapkan tepat pada masanya. Sebagai contoh, makanan untuk hidangan tengah hari perlu disiapkan selewat-lewatnya pada pukul 12.30 tengah hari.

“Ketepatan waktu itu juga membolehkan ahli rewang menikmati makanan dan berehat seketika sebelum menyambung kerja-kerja memasak pada sebelah petang untuk makan malam pula,” jelasnya.

Berkampung


ORANG lelaki tidak ketinggalan membantu menyiapkan barang-barang mentah untuk dimasak.


Menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, walaupun mereka berkampung selama tiga hari sempena majlis kahwin tersebut tetapi ia tidak membebankan kerana setiap ahli rewang sudah maklum akan tugas masing-masing.

“Pada hari Jumaat malam Sabtu kenduri penanggah telah diadakan iaitu mengumpulkan semua ahli-ahli rewang untuk pembahagian tugas,” katanya.

Aniza memberitahu, rewang adalah tradisi masyarakat Jawa. Ia merupakan cara terbaik untuk mengeratkan silaturahim dan memupuk sikap kerjasama serta tolong-menolong. Oleh itu, mereka jarang mengupah katering kerana ia memerlukan kos tinggi disebabkan waktu kenduri berlangsung selama tiga hari.

Tambahnya, dia dan juga ahli rewang yang lain melakukannya secara sukarela tanpa sebarang upah. Tradisi tersebut berterusan untuk membantu tuan rumah mengadakan kenduri-kendara.

Menariknya, kebanyakan barang-barang disumbangkan oleh jiran tetangga, saudara-mara dan rakan-rakan. Bantuan seumpama itu meringankan beban tuan rumah memandangkan tempoh masa kenduri yang panjang.

Sementara itu, Nadzerah Sarman, 44, yang merupakan tuan rumah memberitahu dia dan suaminya, Ahmad Daud Sulaiman, 50, memperuntukkan lebih RM10,000 untuk majlis perkahwinan anak perempuan sulungnya bagi memastikan barang-barang dan kelengkapan untuk kenduri itu mencukupi.

Nadzerah yang bekerja sebagai pendidik melahirkan rasa syukur kerana jiran tetangga dan sanak saudara banyak membantu membuat persiapan untuk majlis tersebut. Sehubungan itu, dia tidak bimbang walaupun pertama kali mengadakan majlis kenduri perkahwinan anaknya.

Mengulas mengenai pengisian sepanjang tiga hari majlis perkahwinan itu berlangsung Nadzerah berkata, pada hari Jumaat adalah majlis nikah manakala malamnya pula tahlil dan doa selamat. Pada hari Sabtu diadakan khatam al-Quran dan marhaban. Hari terakhir iaitu Ahad adalah majlis persandingan.

“Majlis yang berlangsung tiga hari ini memberi peluang kepada rakan-rakan dan saudara-mara untuk datang mengikut masa kelapangan masing-masing. Ahli rewang juga mempunyai masa yang panjang untuk bergaul mesra dan bertanya khabar serta bercerita mengenai kehidupan masing-masing.

“Aktiviti rewang menjadi pengerat hubungan kami sebagai komuniti Jawa. Selain itu, ia juga menjadi tempat untuk memperkenalkan adat dan budaya orang Jawa kepada generasi muda agar tidak ditelan zaman,” kata ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Bagi generasi muda yang mengikuti aktiviti rewang pada majlis tersebut, Muhammad Iqbal Saihani, 24, memberitahu, dia mengambil peluang tersebut untuk bergaul dengan generasi lama di samping menyumbang tenaga.

“Sejak kecil lagi ayah sudah membawa saya mengikuti aktiviti rewang. Aktiviti ini sudah sebati dalam diri saya dan tidak mempunyai masalah untuk melakukan kerja-kerja rewang,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu. Muhammad Iqbal ditugaskan untuk memotong kayu, mengangkat barang dan menjadi pembantu tukang masak.

Tujuh tahun


SENARAI menu yang dihidangkan untuk majlis perkahwinan anak tuan rumah.


Jumlah ahli rewang pada waktu pagi lebih ramai sekitar 200 orang manakala pada sesi petang dianggarkan 100 orang.

Menurut Nadzerah, majlis perkahwinan tersebut adalah yang pertama dalam keluarganya memandangkan pengantin perempuan, Farah Hafizah Ahmad Daud merupakan anak sulung daripada empat beradik.

Farah Hafizah, 23, yang bekerja sebagai kerani bersama pasangannya, Mohd. Kamal Hasan Mohd. Sani, 23, diraikan dalam sebuah majlis yang cukup meriah berlatar suasana desa.

Mohd. Kamal yang berasal dari Kampung Bukit Kucing, Kuala Selangor, Selangor merupakan seorang jurutera.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana majlis perkahwinan berjalan lancar kerana ia merupakan majlis yang pertama diadakan dalam keluarga. Paling penting, saya cukup gembira kerana diraikan selepas percintaan yang terjalin sejak di sekolah menengah selama tujuh tahun berakhir di jenjang pelamin,” kata Farah Hafizah yang berpeluang mengenali rakan-rakan ibu bapanya sepanjang majlis berlangsung selama tiga hari.