‘Susah untuk terima orang lain’



LEBIH lima tahun mengenalinya sebagai seorang penyanyi sejak menyertai Akademi Fantasia musim kelapan pada 2010, jarang sekali ada cerita panas tercatit dalam sejarah kerjaya penyanyi yang berkulit putih gebu ini.

Pernah melalui bunga-bunga cinta bersama penyanyi Hafiz Suip, Adira dan pasangannya ketika itu masih muda untuk menilai cinta sehingga percintaan tersebut tidak berkekalan.

Biarpun begitu, suci cinta penyanyi Ombak Rindu itu ibarat sari bunga yang menarik hati sang lebah. Empunya diri kemudiannya diintai Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia, Shahrul Nasrun Kamarudin.

Setelah menganyam cinta sehingga mengikat tali pertunangan dengan Shahrul, hubungan tersebut juga akhirnya berkecai dan tidak mampu dicantum kembali.

Lalu musnah impian penyanyi de­ngan nama sebenar Siti Adira Suhaimi itu untuk mendirikan rumah tangga pada sambutan hari jadinya yang ke-24 pada 19 September ini.

“Sepatutnya kami berkahwin pada tarikh hari jadi saya iaitu 19 September ini. Siapa yang tidak sedih sebab semua­nya sudah dirancang. Nak buat macam mana tidak ada jodoh. Tidak ada guna saya salahkan sesiapa dalam situasi yang sudah berlaku.

“Sebagai manusia, bagi saya bercinta dan putus itu sesuatu yang normal. Saya terima suratan takdir yang tertulis. Kita cuma boleh merancang dan berusaha tetapi Tuhan yang menentukan semuanya,” luah Adira mengenai rahsia hati yang dipendam selepas putus tunang dengan Shahrul pada pertengahan April lalu.

Sunyi

Enggan membiarkan dirinya hanyut dengan perkara yang sudah tertulis dalam kamus hidupnya, Adira akui adakalanya pe­rasaan sunyi hidup kembali solo datang bertamu di sudut hati.

“Perasaan sunyi itu memang ada tetapi bergantung macam mana kita me­nangani situasi tersebut. Mungkin saya akan sibukkan diri dengan bermain gitar untuk tidak memikirkan tentang apa yang sudah berlaku.




“Alhamdulillah, sekarang saya sudah meneruskan kehidupan. Apa yang saya nampak di depan selepas ini, jika benda yang elok untuk hidup saya akan teruskan,” jelas Adira yang mengakui tidak mahu ambil kisah lagi mengenai segala gosip mengenai bekas tunangnya itu.

Kata bidalan, pengalaman mengajar kita untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang. Kata-kata itu turut dipegang Adira saat ini.

Penyanyi berasal dari Kundasang, Sabah itu me­ngakui, dia tidak pernah menyesal mengenali Shahrul dan mengambil keputusan untuk bertunang dengan lelaki itu.

Malah, segala apa yang berlaku juga tidak membuatkan dirinya menuding 100 peratus kesalahan pada lelaki itu.

Ada yang cuba mendekati

“Memang manusia itu tidak sempurna. Ada yang buat silap. Saya tidak salahkan dia. Saya juga tidak mahu salahkan sesiapa. Mungkin kekurangan itu datangnya dari diri saya.

“Saya juga tidak pernah menyesal me­ngenali, bercinta dan kemudiannya bertunang dengannya. Sebabnya, sepanjang pengenalan kami banyak perkara yang saya belajar daripada dia,” lentur Adira yang berdoa agar Shahrul menemui wani­ta yang lebih baik daripadanya.

Tidak dinafikan Adira masih lagi me­nyendiri sekarang walaupun ada seseorang yang cuba mengetuk pintu hatinya.

Adira berpegang pada prinsip profesionalisme, biarpun sudah tidak mempunyai apa-apa pertalian dengan Shahrul dan keluarga lelaki itu, tetapi dia masih ingin menjaga hati mereka.

“Memang ada yang ingin mencuba (mengurat) tetapi saya masih lagi menghormati perasaan keluarga dia. Saya tidak mahu dilabelkan perempuan yang bukan-bukan. Hati ibu saya juga kena jaga. Biarlah saya memilih untuk hidup solo ketika ini. Pada masa sama, saya akui, hati saya belum terbuka lagi untuk sesiapa. Susah untuk terima orang lain dalam hidup selepas dia,” luah Adira tanpa berselindung.




Tidak lengkap sekiranya tidak me­nyentuh mengenai perihal kerjaya nya­nyian penyanyi ramah ini.

Tulis lirik lagu

Tika ini, dia sedang dalam rangka promosi lagu baharu hasil ciptaan Edry iaitu Kekasih Teragung Dunia.

“Lagu ini merupakan single terbaharu saya selepas Hilang, Untuk Cinta dan Siapalah Kita. Lagu Kekasih Teragung Dunia ini sebenarnya diciptakan Edry khas buat isteri ke­sayangannya.

“Insya-Allah, saya juga sedang mengumpul material untuk album terbaharu. Pada masa sama, saya juga berusaha untuk buat lagu sendiri. Kalau saya sudah bersedia, saya akan keluarkan lagu tersebut,” ujar­nya yang menulis lagu menyentuh mengenai kisah peribadinya.

Tidak kisah berkongsi kisah peribadi dengan peminat, bagi Adira, pengalaman yang terjadi dalam hidupnya banyak membantunya dalam penulisan lirik lagu.

“Sebenarnya apa yang terjadi sepanjang perjalanan hidup, saya rasa itu sangat membantu dalam menulis lagu. Masa kesunyian duduk sorang-sorang, ilham lagi banyak datang. Saya tidak kisah berkongsi kisah peribadi dengan peminat. Ia bukan tentang diri saya semata-mata tetapi juga melalui pengalaman orang lain,” ulasnya.

Menjelang sambutan Hari Raya Aidil­adha pada 24 September ini, Adira juga cukup teruja apabila akan pulang ke kampung halamannya di Kundasang.

Tidak hanya menyambut perayaan tersebut, ibunya turut mengadakan sam­butan hari jadinya.

“Ibu memberitahu ingin mengadakan sambutan hari jadi saya di kampung pada Hari Raya Haji nanti. Sememangnya, saya kerap pulang ke kampung bertemu ibu. Kadang-kadang, saya akan balik naik kapal terbang untuk temannya makan tengah hari dan pulang semula ke Kuala Lumpur pada waktu malam,” katanya.