Bertudung bukan untuk nikah – Sarah Hildebrand


PENAMPILAN terkini Sarah Hilderand yang berhijab sepenuhnya sejak beberapa hari lalu.


Hijrah ke arah kebaikan tidak perlu menunggu waktu dan pastinya tidak mengenal usia. Bagi pelakon baharu berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Sarah Hildebrand, keputusan untuk memakai hijab tiada kena mengena dengan karier ataupun permintaan daripada orang tercinta.

Wanita muda itu mengambil langkah berkenaan demi menunaikan kewajipan sebagai hamba Yang Maha Esa. Katanya, niat tersebut telah terdetik sejak Ramadan lalu.

Kosmo! berkesempatan menghubungi pemilik nama sebenar, Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf, 25, bagi berkongsi luahan perasaan tentang penghijrahan yang dilihat berlaku agak drastik itu.

KOSMO!: Boleh Sarah ceritakan lebih lanjut tentang keputusan untuk berhijab penuh?

SARAH: Pertama sekali, saya ingin meluahkan rasa syukur. Alhamdulillah, akhirnya saya diberikan hidayah oleh Allah untuk nekad bertudung. Secara jujurnya, saya tidak mendapat sebarang mimpi, petanda pelik atau diuji sebelum diberi kekuatan berhijrah. Cuma, sejak bulan puasa lalu, hati saya sering berbisik sampai bila mahu berterusan ‘free hair.’ Saya bukan seorang yang suka berpakaian seksi, jadi apa salahnya saya menutup terus apa yang seharusnya ditutup.

Mengapa sekarang niat yang terdetik sejak beberapa bulan lalu itu baru ditunaikan?

Saya takut, bimbang dan bermacam-macam perasaan bermain di fikiran. Saya tidak mahu hal bertudung menjadi perkara main-main, kalau sudah pakai biarlah kekal selamanya. Sepanjang dua bulan ini, saya sering berdoa kepada Tuhan agar dikuatkan hati. Sekarang saya benar-benar nekad. Alhamdulillah, setakat ini semua pihak termasuk ibu memberi respon yang positif. Ibu menjadi orang paling gembira dengan perubahan saya.

Bagaimana jika penghijrahan ini dikatakan ada kaitan dengan perancangan mendirikan rumah tangga dengan Nabil Mahir?

Tidak sama sekali. Keputusan berhijab ini sesuatu yang peribadi, ia tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau perancangan. Buat masa ini, saya dan Nabil belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat.

Bagaimana dengan kerjaya anda sebagai pelakon? Tidakkah bertudung akan menjejaskan peluang untuk anda maju lebih jauh?

Saya yakin dengan rezeki Allah, jadi soal periuk nasi itu tidak mengganggu fikiran. Cuma saya ingin khalayak tahu, walaupun sudah bertudung, saya masih mahu berlakon dan menjadi model.

Kerjaya saya masih berjalan seperti biasa, cuma sekarang saya sedang belajar mengenai ‘pantang larang’ penampilan baharu saya ini. Lagipun yang berubah cuma lahiriah, secara rohaninya saya masih Sarah yang dulu dan tetap sama.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘pantang larang’ penampilan baharu anda?

Maksudnya saya masih dalam proses meneroka dunia hijab ini, apa yang patut dan tidak patut dibuat. Apa yang sesuai dan tidak sesuai bagi wanita bertudung. Saya harap masyarakat atau peminat tidak meletakkan penilaian tertentu untuk saya berubah secara total dalam sekelip mata. Setiap perubahan pasti mengambil masa.

Harapan anda dengan penghijrahan ini?

Saya cuma mahu menjadi hamba Allah yang lebih baik (terdiam dan sedikit teresak). Saya akan berusaha, semoga dengan langkah berhijab ini, niat saya dipermudahkan. Doakanlah agar saya terus istiqamah.