Sam ingin beraksi di Hollywood



FIGURA bernama Shaheizy Sam Abdul Samad ini merupakan salah seorang pelakon yang sukses dalam lapangan seni tanah air.

Perubahan karier yang dilaluinya sepanjang dua dekad berkecimpung dalam arena seni tanah air banyak mengubah laluan hidupnya.

Sejak mula menapak dalam industri lakonan sekitar tahun 1995 menerusi filem Sama Tapi Tak Serupa, portfolio seni jejaka berusia 33 tahun itu dilihat terus cemerlang dan semakin ampuh sehingga ke hari ini.

Kalau menyingkap kembali diari seni Shaheizy Sam atau lebih mesra disapa Sam, dia tidak mengecapi kejayaan dan populariti dalam cara yang singkat serta mudah.

Kredibiliti lakonannya tidak perlu dipertikaikan. Berilah apa sahaja watak kepadanya, dia akan melaksanakannya dengan berkesan.

Jika tidak, mana mungkin gelaran Bintang Paling Popular berjaya diraih sebanyak tiga kali pada tahun 2010, 2012 dan 2014.

Bagi anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu, dia tidak pernah menganggap kejayaan dan deretan anugerah yang dikecapi meletakkannya di zon selesa.

Kata Sam, di sebalik kejayaan yang diterima, dia memendam satu impian besar untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Jujur saya katakan, saya sudah lama memasang impian untuk menjadi pelakon yang menjulang Jalur Gemilang di peringkat Hollywood.

“Saya percaya, andai seorang anak seni berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa, sudah tentu rakan seperjuangan yang lain turut menerima tempias.

“Buat masa ini, saya cuba sehabis baik dalam menjayakan setiap watak yang diberikan dan menerima watak yang bermutu bagi membuka mata orang luar terhadap industri perfileman tanah air,” ujar Sam dalam satu sesi fotografi yang diatur di kediaman milik keluarganya di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Ungkap Sam lagi, dalam merealisasikan impian tersebut, dia memerlukan sokongan padu daripada semua pihak khususnya tenaga produksi yang terlibat dalam menghasilkan setiap naskhah lakonannya.

“Semua terletak pada konsep kerja berpasukan. Apabila kita sama-sama berganding bahu untuk menjayakan sebuah filem berkualiti, secara tidak langsung orang luar akan hormat dan melihat kesungguhan kita,” katanya yang tampak segak dalam persalinan busana jenama tempatan, Black by Atelier Fitton.




Selektif watak

Melanjutkan perbualan, Sam berkata, sejak awal tahun lalu dia sebenarnya sudah mula selektif menerima tawaran lakonan yang berkualiti bagi mencari kepuasan diri sebagai seorang aktor berkredibiliti.

Jika dahulu, mungkin ramai sedia maklum bahawa pelakon filem Polis Evo yang sedang hangat ditayangkan di pawagam sejak 17 September lalu itu tidak pernah cerewet dalam menerima tawaran lakonan kerana menganggap bidang yang diceburi itu lubuk mencari rezeki.

“Saya sedar, pada awal pembabitan tidak dilahirkan dalam kalangan keluarga yang senang mahupun pelakon bertaraf antarabangsa. Atas faktor tersebut saya tidak pernah cerewet memilih tawaran watak yang datang.

“Lagipun perlu akur bahawa saya hanyalah seorang pelakon yang sedang bertatih. Sampai satu tahap, mula sedar bahawa duit sebenarnya tidak akan pernah cukup atau memuaskan hati seseorang,” ujarnya.

Polis Evo

Sementara itu, berbicara mengenai filem Polis Evo arahan pengarah handalan, Ghaz Abu Bakar, Sam yang memegang watak sebagai anggota polis bernama Khai menyifatkan filem gandingannya bersama Zizan Razak itu adalah naskhah hebat dan wajib ditonton.

Menerusi filem tersebut Sam digelar Supercop kerana handal menumpaskan pihak musuh.

“Sejujurnya, saya seorang yang susah nak sarankan khalayak untuk menonton filem lakonan saya, tetapi untuk filem ini saya jamin peminat akan berpuas hati dan terpukau dengan setiap babak serta lagak aksi yang dipersembahkan.


Sam mengakui rapat dengan Syatilla, tetapi menyerahkan kepada takdir tentang jodohnya.


“Lagipun, filem ini sangat istimewa buat diri saya kerana ini merupakan kali pertama memegang watak sebagai anggota polis.

“Sejak kecil lagi saya bercita-cita nak jadi polis kerana ingin mengikut jejak langkah arwah ayah yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor,” ujar Sam melakukan sendiri babak lagak ngeri dalam filem berkenaan.

Tambah Sam, demi merealisasikan watak Inspektor Khai, dia terpaksa menjaga pemakanan untuk mendapatkan bentuk badan sasa dalam tempoh lima bulan bermula April hingga September tahun lalu.

Kahwin

Berbicara lanjut mengenai kisah perhubungannya bersama Syatilla Melvin, Sam memberitahu, hubungannya bersama pelakon drama Aku Isterinya itu hanyalah sekadar teman rapat.

“Buat masa ini, kami memang rapat kerana dia seorang kawan wanita yang setia dan selesa bercerita tentang apa sahaja. Itu yang menyebabkan kami begitu rapat hingga kini.

“Sebenarnya, bukan tidak mahu meletakkan titik noktah dengan siapa saya menjalin hubungan cinta, tetapi biarlah masa yang menentukan,” ujarnya.

Ditebak soalan mengenai perancangannya yang tersasar menamatkan zaman bujang pada tahun lalu, kata Sam, impian dan perasaan itu semakin hampir memandangkan usianya kini sudah mencecah 33 tahun.

“Lagipun saya memang rapat dengan anak-anak saudara, jadi keinginan untuk menimang cahaya mata itu semakin terasa.

“Kalau diikutkan, saya sendiri tidak mahu menangguhkan perkara yang baik, tetapi saya terpaksa akur bahawa jodoh itu ketentuan-Nya,” katanya menutup bicara.