Aksi lasak Polis Evo


Pengarah filem Ghaz (kanan) bersama para pelakon Polis Evo. Filem tersebut yang kini sudah memasuki pawagam menerima respons positif dalam kalangan penonton.


BUKAN mudah untuk merealisasikan sebuah filem aksi tanpa komitmen penuh sesebuah produksi yang sanggup bertungkus-lumus memastikan setiap apa yang dipertontonkan kepada peminat mendapat reaksi positif yang diharapkan.

Filem Polis Evo arahan sutradara Ghaz Abu Bakar sarat berdepan cabaran sebelum akhirnya dapat disempurnakan dalam bentuk filem yang kini semakin mendapat sambutan penonton dari segi kutipan tiket di panggung wayang.

Menurut Ghaz, sebelum ini penggambaran filem tersebut tertunda beberapa kali berikutan garis panduan skrip Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan sejumlah pindaan.

“Apa yang boleh saya katakan, mereka (pihak polis) sendiri terkejut apabila menonton hasil filem ini. Mereka sukakan jalan ceritanya yang mengangkat imej dan martabat pihak polis di negara ini.

“Filem ini merupakan tulisan atau karya asal empat anak muda yang baru sahaja tamat pengajian di sebuah institusi perfileman di luar negara. Saya sebagai pengarah membantu dari segi suntikan elemen komedi untuk menampakkan jalan cerita lebih mudah dihadam tetapi tetap sarat dengan aksi-aksi yang mendebarkan,” ujarnya pada malam media filem Polis Evo di ibu negara baru-baru ini.

Tambah beliau, skrip filem tersebut mengambil masa setahun untuk disiapkan sebelum diluluskan untuk menjalani penggambaran.

Bercakap soal pembikinan filem yang banyak menggunakan kesan bunyi, sinematografi serta aksi lasak yang berbeza daripada filem-filem aksi tempatan yang pernah menemui peminat sebelum ini, Ghaz berpuas hati dengan hasil akhir filem yang menelan bajet sebanyak RM2.4 juta itu.

“Alhamdulillah, saya begitu berbangga dengan hasil filem ini. Ia adalah bukti komitmen penuh daripada semua pihak yang terlibat.

“Kalau hendak dibandingkan dengan filem-filem aksi Hollywood, masih banyak yang perlu diperbaiki. Tetapi, apa yang boleh saya katakan, filem ini mempunyai nilai serta ciri bermotifkan Malaysia yang begitu dekat dengan masyarakat tempatan,” katanya penuh optimis.

Menurutnya lagi, komitmen dan keserasian pelakon seperti Zizan, Shaheizy Sam dan Nora Danish banyak membantu kelancaran filem untuk menjadi satu naskhah aksi tempatan kegemaran ramai.

Dari segi kesan khas teknik imej janaan komputer (CGI), Ghaz memberitahu tidak banyak yang digunakan dalam Polis Evo.

“Hanya 20 peratus CGI yang digunakan dalam filem ini. Selebihnya, banyak bermain dengan helah kamera dan aksi sebenar.

“Apa yang saya boleh janjikan kelainan filem ini adalah daripada sudut pergerakan kamera serta aspek teknikal yang menggunakan teknologi kamera berdefinisi tinggi (HD),” katanya lagi.

Mengulas mengenai harapan terhadap filem yang sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 17 September lalu, Ghaz berharap filem arahannya itu mendapat tempat dalam kalangan peminat tempatan.

Ghaz berharap, semoga filem tersebut dapat memberi nafas baharu dalam industri filem tempatan sekali gus mendapat sambutan menggalakkan dari peminat filem di negara ini.

Polis Evo mengisahkan tentang dua anggota polis, Khai lakonan Shaheizy Sam dan Sani (Zizan Razak) yang mempunyai personaliti berbeza. Mereka diarahkan untuk bekerjasama dalam menumpaskan satu operasi pengedaran dadah.

Untuk menjayakan misi tersebut, mereka terpaksa bekerjasama dan lama-kelamaan hubungan mereka menjadi semakin akrab. Khai mula jatuh hati kepada adik Sani, Anis (Nora Danish).

Keadaan menjadi semakin runcing apabila ketua pengedar dadah, Azrail (Ayie Hushairi) menceroboh kediaman keluarga Sani dan menculik adiknya, Anis.