'Untuk apa cari pengganti'



Di sebalik rumah teres dua setengah tingkat yang terletak di kawasan perumahan elit Damansara, Kuala Lumpur tinggal seorang ibu bersama dua anak lelaki yang kini semakin membesar.

Rita Rudaini, itulah nama ibu yang menghuni kediaman besar itu ditemani dua orang anak lelakinya, Aidit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.

Biar ramai yang melihat pelakon cantik itu menyimpan seribu duka di sebalik jiwanya, namun Rita cukup bahagia mencurah mawaddah cinta kepada dua orang cahaya mata yang memberi senyuman di wajahnya.

"Saya rasa lebih mudah menjaga budak lelaki kecil daripada orang besar. Hati saya gembira dan mereka (budak kecil) juga tidak pernah buat saya sakit hati dan kecewa," ungkapnya penuh makna.

Dialah ibu, dia jugalah bapa kepada dua anak kecil yang disapa Rayyan dan Arjuna itu. Cukup hanya Rayyan dan Arjuna yang menjadi pencucuh semangatnya dalam kehidupan seharian.

Anak kecil itu menjadi kekuatan buat Rita untuk menongkah arus badai yang acap kali singgah dalam kotak kehidupannya.


SEBELUM tidur, Rita selalu memasang ayat-ayat suci al-Quran untuk diperdengarkan kepada Rayyan dan Arjuna.


Tidak lelah

Rita juga tidak pernah lelah menjaga dua orang heronya yang kini sedang membesar dengan cukup aktif, namun tidak pula terjangkau di akalnya untuk mencari bapa buat Rayyan dan juga Arjuna.

"Saya tidak pernah berasa lelah jaga dua orang hero, malah saya rasa selesa menjaga mereka seorang diri.

"Ramai orang cakap kahwinlah dan cari bapa baharu kepada anak-anak. Pada saya, untuk apa nak cari pengganti sedangkan saya selesa hidup macam ini (hidup bertiga). Ada juga yang kata kalau ada suami lebih mudah jaga dua orang anak yang sedang membesar. Saya rasa sama sahaja. Kebanyakan memang ibu yang uruskan anak-anak berbanding suami.

"Disebabkan itu, saya tiada hati untuk berkahwin. Banyak faktor lain juga. Saya takut orang tak sayang anak saya. Selain itu, saya tidak mahu lagi penat menjaga hati lelaki. Tapi saya juga tidak dapat menolak andai Tuhan menentukan jodoh saya dengan seseorang selepas ini," luah Rita yang bercerai talak satu dengan pemain bola sepak, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak pada 5 September 2013 di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan selepas lima tahun bersama.

Sesekali Rayyan mencelah dalam perbualan ibunya dengan kru Sensasi Bintang. 'Ibu lagi seminit ya'. Merujuk pada temu bual yang berlangsung. Kami ketawa melihat telatah si kecil. Tiada rasa kecil hati jauh sekali mahu memarahi si kecil yang kini semakin pandai berkata-kata itu.

Selepas itu, dia (Rayyan) terus bermain pedang dengan adiknya. Suasana teres dua setengah tingkat itu memang kecoh dengan dua anak kecil yang masih belum kenal erti sebenar kehidupan itu.


SELAIN bakal muncul menerusi filem Love Supermoon pada 22 Oktober nanti, kelibat pelakon cantik ini juga dapat ditonton menerusi drama bersiri dan telemovie terbitan Zeel PRoduction.


Lasak dan sangat aktif

Melihat betapa lasaknya kedua-dua anak Rita bermain sambil memanjat sana dan sini, terdetik di hati tabahnya ibu ini menjaga anak-anaknya.

"Budak-budak tidak sama perangai. Kalau anak kita dengan anak orang lain sama perangai kan senang. Anak saya dua-dua ini memang kategori lasak dan sangat aktif. Jaga mereka memang kena banyak sabar. Sampaikan adakalanya saya rasa tulang dah berbunyi," jelasnya sambil ketawa menampakkan barisan gigi yang putih.

Walaupun penat tetapi bila tengok anak-anak membesar di depan mata, sebagai ibu, akui Rita, dia sangat bersyukur.

"Macam Rayyan, Alhamdulillah, dia suka mengaji. Saya tanya dia bila dah besar nak jadi apa? Tak sangka dia cakap mahu jadi ustaz dan mengajar orang mengaji. Walaupun usianya baru enam tahun, dia tahu apa dia mahukan," ujar Rita yang menyambut raya di dua kampung iaitu Kampung Utan Aji, Kangar, Perlis dan kediaman abangnya di Bukit Kayu Hitam, Kedah.


RITA terlibat dalam perniagaan demi masa depan kedua-dua orang anaknya iaitu Rayyan dan Arjuna.


Suratan atau kebetulan

Sengaja menyelami hati pelakon berusia 39 tahun itu dan bertanya mengenai kedua-dua perkahwinan terdahulunya. Gagal dalam kedua-dua perkahwinan yang mana kedua-duanya juga merupakan pasangan kembar, hatinya ditebak sama ada selepas ini dia akan mengelak untuk berkahwin dengan pasangan kembar atau lelaki yang lebih muda dari usianya.

"Jodoh sudah tertulis. Saya juga tidak minta untuk berkahwin dengan pasangan kembar. Perkara kembar atau usia lebih muda bukan masalah kepada perceraian tetapi ia sebenarnya bergantung pada sikap seseorang itu dan macam mana pendiriannya," ulasnya.